Thursday, 20 September 2018

USTAZ KAYANGAN

30.5.2018
Assalamualaikum...

Bicara malam pula kali ini. Kita akan bicarakan perihal kepercayaan orang ramai terhadap perubatan alternatif pula kali ini  yang berkaitan dengan posting pokcik semalam..

Ramai tidak yakin dengan perubatan alternatif kerana unsur kayangan yang ditampilkan dan mereka mengaku sebagai salah seorang perawat.. Kita ambil contoh, posting pokcik semalam berkaitan dengan busung tetapi ada juga hamba Allah yang kononnya scan bahawa si sakit merupakan ibu tumpang kepada bayi daripada alam lain.. Maksudnya rahim si ibu dipinjamkan sementara dan apabila cukup tempohnya maka bayi ghaib itu akan diambil..

Pokcik pun tak tahu bagaimana pemikiran sesetengah hamba Allah yang membuat andaian sebegitu.. Alhamdulillah Allah permudahkan dan beri kesembuhan.. Kebiasaannya kalau kes busung ini, pokcik akan ambil berat dan pandang serius.  Pokcik pernah menceritakan pengalaman pokcik dahulu. Ada seorang hamba Allah yang mengalami masalah ini dan dia berpesan kepada sahabat pokcik agar memberitahu pokcik supaya berjumpa dengannya kerana dia ingin berikhtiar...

Namun, ketentuan Allah mengatasi segalanya. Ada sahaja kekangan sehingga kami tidak sempat berjumpa. Dia dikejarkan ke hospital dan meninggal dunia lebih kurang dua hari ketika berada di hospital.. Ini meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri pokcik. Sebab itulah pokcik kongsikan posting hamba Allah yang terkena busung itu ke dalam group ini.. Salah satu tujuannya, salah seorang sahabat akan usahakan dan sekiranya tidak mendapat respons maka pokcik sendiri akan ikhtiarkan...

Alhamdulillah apabila pokcik mengajak Nisa Radzi usahakan bersama, beliau bersetuju. Kita tak bercerita bab kesembuhan tetapi sekadar berikhtiar sekurang-kurangnya bagi memuaskan hati pokcik. Ketentuan Allah pokcik pegang dengan erat dan kejap. Setelah berusaha barulah kita serahkan bab kesembuhan kepada yang Haq.. Tiada daya upaya kita melainkan berdoa dan memohon pertolongan kepadaNya.

Pokcik juga nak buka minda tentang pandangan sahabat kita tuan  Hembusan Tok Empat perihal hamba Allah yang bagi pokcik bermain dengan fikirannya dan menceritakan hal di luar kotak pemikiran dan boleh memesongkan pegangan kita sebagai orang Islam.. Kalau kita lihat dari sudut yang lebih luas, bagaimana pula pandangan orang ramai terhadap pemikiran seperti itu.. Bukankah sudah hilang kepercayaan mereka dan menganggap semua pengamal perubatan alternatif berpandangan seperti itu.. Bukankah sedikit sebanyak masyarakat akan memandang  serong kepada para pengamal perubatan alternatif kerana adanya golongan sebegini.. Bak kata pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga.. Ini bukan setitik lagi dah, golongan ini mempunyai pengikut yang tersediri..

Kini timbul pula persoalan. Adakah mereka ini perawat? Memang ada dalam kalangan mereka perawat. Ada juga menggelarkan diri mereka ustaz. Pengalaman Ad Nor Ali, dia pernah berjumpa dengan perawat yang menggelarkan diri ustaz tetapi masih kayangan. Apa tidaknya. Dia mengaku boleh masuk ke dalam syurga dan melihat keadaan di dalamnya dan keluar kembali ke dunia.. Bagi orang yang taksub, hal sebegitu mudah untuk difahami pun mereka tidak dapat menilai dan menimbang dengan kewarasan pemikiran.. Hebat ustaz ni katanya..

Kelompok yang lain bukanlah perawat tetapi peniaga. Golongan ini mengambil kesempatan atas kecetekan pemikiran si pembeli. Mereka akan letakkan barangan yang dijual dengan pelbagai kelebihan yang ditokok tambah. Nama permata pun diubah menjadi nama yang gah. Contohnya geliga sakti putera Haikal Penguasa Gunung Tahan.. Pembeli yang taksub akan membelinya kononnya ia geliga yang diberikan oleh orang bunian.. Kalau ada pun, permata sedemikian sudah tentu tidak akan dijual kerana keistimewaan pemberian seseorang. Ini, ada pulak stok dapur kerana dapat beratus-ratus biji. Entahlah...

Golongan ini juga terdiri daripada penjual yang menjual secara mistik kononnya. Contohnya nama kita di alam sebelah. Sesiapa yang nak tahu kita raja atau sebagainya di alam sebelah, bolehlah bagi duit dan dia akan deal dengan orang di alam sebelah.. Macam-macam yang kita akan jumpa apabila terlibat dalam dunia mistik ini.. Kini, pertimbangan kita yang hanya dapat menyelamatkan diri daripada terlalu taksub akan alam mistik yang mana kalau kita hanyut maka sudah kita nak mencapai tangan ke tebing bagi menyelamatkan diri. Berhati-hatilah...

Kita kembali kepada topik pada malam ini. Apabila terlalu banyak cabang kayangan, apa pandangan orang awam terhadap golongan ini. Apa pula pandangan orang daripada agama lain apabila melihat keadaan ini.. Bukankah secara tidak langsung, akan hilang hormat mereka kepada para pengamal perubatan alternatif sungguhpun dia tidak termasuk dalam golongan yang pokcik nyatakan di atas. Pokcik pernah usahakan seorang yang berbangsa Cina. Katanya dia pergi berubat di Sungai Ular Kuantan kalau tak salah pokcik. Perawat tu beri jaminan, isterinya akan pulang ke pangkuannya dalam masa tiga hari.. Persoalan pokcik, bolehkah umat Islam mengambil tempat Allah dengan memberi jaminan atas sesuatu yang bukan haknya?

Pokcik percaya ramai daripada anggota yang menjadi ahli group ini menjadi pemerhati bagi melihat sejauh mana pegangan perawat dalam group ini. Adakah kita juga kayangan?  Hihihihihi. In shaa Allah, sahabat perawat dalam ini akan menentang kepercayaan karut-marut yang melanggar syariat Islam.. Sama-samalah kita jaga dan memantau ahli yang mula cenderung ke arah ini kerana ini group kita... Kita bercakap hanya dalam lingkungan group ini kerana kita bukannya penyelamat dunia.. Pokcik bercakap tentang hal ini juga kerana pokcik terlibat secara langsung dalam kes busung yang diusahakan bersama Nisa. Moga berjumpa lagi. Maaf andai ada tersalah bicara dan kurang enak pada halwa telinga. Sesungguhnya tiada manusia yang sempurna.. Wallahuaklam.. Salam hormat..

Santaiiiiiiiiii....

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.