Thursday, 27 September 2018

MINYAK MATI TERBUNUH

27.9.2018
Assalamualaikum..

Tajuk: Minyak Mati Terbunuh

Tadi baru sahaja pokcik berbual dengan salah seorang ahli group kita perihal mistik. Dia kemudiannya menceritakan pengalamannya suatu masa dahulu..

Kisah berlaku di Terengganu. Suatu hari ayahnya mengajak dia balik ke kampungnya. Rupa-rupanya untuk melihat emak saudaranya yang sakit. Kemungkinan emak saudaranya itu sudah mengalami sakit misteri lebih kurang dua tahun..

Alkisah, bapa saudaranya dahulu orang susah. Pendek kata, sanak saudara pun tak pandang. Maklumlah kerja hanya mengambil upah menanam padi sahaja. Namun begitu, kehidupannya mula berubah apabila menerima kerja di pelantar minyak. Dia makin senang dan mula membeli tanah dan sebagainya.. Dua minggu dihabiskan di atas pelantar minyak manakala dua minggu di darat...

Ketika itu barulah sanak saudara mula membuka mata. Timbullah cerita bahawa si isterinya berperangai tak senonoh ketika dia tiada. Ada dalam kalangan saudara menawarkan anak mereka kepadanya untuk dijadikan isteri... Alhamdulillah, dia tidak terpengaruh dengan fitnah yang dilemparkan kerana dia lebih mengenali isterinya yang hidup susah bersamanya selama ini..

Apabila hasrat mereka tidak tercapai maka usaha dilakukan bagi merenggangkan hubungan mereka suami isteri. Tujuannya supaya mereka berpisah. Setelah itu berlakulah kejadian misteri pada setiap malam Selasa. Apabila malam Selasa, si isteri akan kerasukan. Rumah dilemparkan dengan pasir dan kedengaran orang berjalan di atas atap..

Bukan setakat gangguan biasa, orang di dalam rumah itu juga diganggu. Selimut mereka ditarik ketika sedang tidur dan pelbagai lagi kejadian aneh yang berlaku. Kejadian tersebut hanya berlaku pada malam Selasa... Ramai perawat dipanggil untuk ikhtiarkan namun tidak berhasil. Kejadian malam Selasa terus berlaku namun si suami tetap sabar dan terus berusaha.

Suatu hari seorang ustaz dipanggil ke rumah. Ustaz berkenaan meneruskan usaha hinggalah malam ketiga. Pada malam ketiga dia mengajak muridnya pergi ke telaga berhampiran dengan rumah itu. Anak muridnya disuruh terjun ke dalam telaga itu. Setelah menyelam, dikeluarkan sebotol minyak. Kemungkinan besar minyak mati terbunuh. Wallahuaklam..

Entah apa dilakukan, akhirnya selesai juga masalah hamba Allah itu seizinNya. Begitulah sekelumit kisah tentang hasad dengki apabila berasa iri dengan kesenangan orang lain. Apabila syaitan mula berbisik maka mereka tergamak melakukan sesuatu yang ditegah oleh agama. Moga kita semua tidak tergolong dalam kelompok berkenaan. Moga kita semua terhindar daripada hasad dengki makhluk iaitu jin, syaitan dan manusia.

Moga berjumpa lagi.
Walllahuaklam..
Salam hormat semua ahli group..

#GambarSekadarHiasan


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.