Assallamualaikum dan salam sejahtera Pokcik dan sahabat2, posting ini hanya bertujuan untuk berkongsi serba sedikit maklumat mengenai bagaimana minyak dagu dihasilkan yang penuh dengan segala kekhurafatan dan kesesatan seperti yang pernah diceritakan kepada saya oleh seorang rakan yang mengaku pernah terlibat secara langsung dengan seorang bomoh Siam.
Mengikut dari ceritanya, minyak dagu yang paling ampuh atau “POWER” dalam bahasa orang sekarang mestilah diperolehi dari seorang wanita yang sedang mengandung dan mati dibunuh. Selain dari itu memang ada kaedah lain untuk menghasilkan minyak dagu ini tapi minyak dagu ini lebih ampuh dan mujarab jika kematian wanita yang mengandung itu lebih tragis seperti disiksa tanpa belas kesihan sebelum dia mati dibunuh.
Untuk upacara ini dilaksanakan hari yang paling mujarab ialah pada hari selasa. Setelah dipastikan kubur wanita mengandung yang mati dibunuh tersebut maka bergeraklah pada malamnya rakan saya ini bersama bomoh Siam tersebut menuju ke kubur yang dimaksudkan. Segala bahan2 untuk upacara mendapatkan minyak dagu itu disediakan sepenuhnya oleh bomoh Siam tersebut jadi rakan saya hanya diminta mengekori bomoh tersebut sebagai “Lam” bomoh itu disamping dijanjikan untuk mendapat sedikit habuan dari minyak dagu yang bakal diperolehi nanti.
Mereka pun tiba betul-betul di hadapan kubur wanita mengandung yang mati dibunuh itu pada waktu tengah malam dan mulalah kerja mengorek tanah kubur. Rakan saya yang berhempas-pulas seorang diri mengorek tanah kubur tersebut dan sekali sekala dibantu sedikit oleh bomoh Siam tersebut kerana bomoh Siam itu sibuk menyediakan bhn2 untuk upacara pemujaannya sebentar lagi. Hampir satu jam mengorek tanah akhirnya mata cangkul menyentuh badan mayat yang elok berbungkus kain kapan yang sudah bertukar warna merah tanah.
Bomoh Siam itu kemudian terjun ke dalam liang lahad dan sambil dibantu oleh rakan saya itu, mereka membuka kain kapan yang menutupi tubuh mayat. Terlihatlah wajah wanita malang itu dengan disinari cahaya dari lampu gasolin yang diletakkan bersebelahan kubur itu. Tanpa menunggu sesaat pun, bomoh Siam itu terus menghayunkan kapak tajam yang dibawanya dan dengan sekali hayun sahaja terus terpotong dan terputus leher wanita yang tidak berdosa itu. Rakan saya menceritakan dia hampir pengsan bila melihatkan peristiwa itu berlaku betul-betul di hadapan matanya. Masih ada darah yang keluar dari leher yang dipotong itu semasa bomoh Siam itu memegang rambut mayat wanita itu dengan tangan kanannya untuk dibawa naik ke atas kubur.
Kedua-dua mereka pun keluar dari lubang kubur tersebut dan bomoh Siam itu terus merodokkan sebatang kayu yang telah diasah tajam di satu hujungnya masuk ke dalam telinga kiri mayat wanita itu dan tembus keluar ke telinga kanannya. Kemudian diletakkan kepala yang tergantung pada batang kayu itu di atas dua kayu berbentuk Y yang telah sedia dipacakkan bomoh tersebut semasa rakan saya itu tadi sibuk menggali tanah kubur. Di bawah kepala mayat wanita yang kini tergantung pada dua kayu di kiri dan kanan seperti kita memanggang ayam terdapat kayu-kayu kering yang dikutip bomoh itu dari sekitar kawasan tanah kubur dan ketulan-ketulan arang yang dibawa oleh bomoh Siam dari rumahnya tadi.
Terus dibakarnya kayu-kayu kering dan arang itu sehingga apinya naik mengenai bahagian bawah dagu kepala mayat yang tergantung tu. Kepala mayat wanita itu disalai berjam lamanya dan semasa proses menyalai kepala itu, rakan saya dan bomoh itu duduk bersila di hadapan kepala tersebut. Bomoh itu berterusan membaca mentera yang tidak difahami bahasanya dan sekali-sekala terdengar bomoh Siam itu memberi salam. Rakan saya itu beritahu dia pun agak hairan kenapa bomoh Siam tersebut berulang-kali memberi salam. Setelah hampir setengah jam kepala wanita itu disalai, tiba-tiba kedua biji mata wanita itu terbuka dan anak matanya memandang ke arah bomoh Siam itu dan seterusnya memandang tepat pula ke arah rakan saya itu. Rakan saya cakap ketika itu dia punyalah menggeletar ketakutan sampai rasa macam nak terkencing. Tak cukup dengan itu, kepala mayat wanita itu tiba-tiba membuka luas mulutnya dan lidahnya pulak terjelir keluar dengan begitu panjang menjilat-jilat muka bomoh Siam itu. Masa itulah rakan saya terus pengsan sebentar. Bila dia sedar, dia terlihat bomoh Siam itu sedang menadah minyak yang keluar dari dagu di kepala mayat itu dengan sebotol kaca kecil menyerupai botol minyak atar.
Proses tadahan minyak dagu itu dengan bacaan mentera oleh bomoh Siam tersebut mengambil masa hampir 3 jam lamanya. Begitu tekun bomoh Siam itu menadah setiap kali terlihat titisan minyak berkumpul di bawah dagu di kepala mayat wanita itu. Mengikut apa yang diceritakan rakan saya itu, bahang api yang terbakar di bawah kepala yang tergantung pada dua batang kayu itu tidak begitu terasa kerana dinginnya suasana malam di tanah perkuburan yang terletak agak jauh dalam hutan di hujung kampung.
Tiba-tiba dalam keadaan tergesa-gesa bomoh Siam tersebut menyuruh rakan saya untuk meletakkan semula kepala tersebut di tempat asalnya dan menimbus kembali tanah kubur yang digali tadi secepat mungkin. Kurang dari sejam semuanya sudah selesai dan dalam tempoh sejam lagi Subuh bakal menjelang tiba. Botol yang berisi minyak dagu tersebut ditutup dan dililit dengan 3 benang berwarna merah, kuning dan hitam. Selepas itu dibalut dengan kain berwarna hitam dengan bacaan mentera yang tertentu. Mengikut rakan saya lagi, walaupun hampir 3 jam menadah minyak dagu itu, jumlah minyak dagu yang terkumpul di dalam botol kecil itu adalah sangat sedikit, hanya setengah botol sahaja. Bomoh Siam itu dan rakan saya bergegas pulang keluar dari kawasan tanah perkuburan itu dengan langkah yang cukup laju. Mengikut kata rakan saya, bomoh Siam itu memberitahu kepadanya jika kokok sulung ayam jantan berbunyi atau azan Subuh berkumandang maka akan sia-sialah apa yang mereka telah usahakan sepanjang malam itu kerana itulah pantang minyak dagu tersebut.
Semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, bomoh Siam itu menurunkan petua dan pantang larang kepada rakan saya itu antaranya, minyak dagu tersebut tidak boleh dibawa masuk ke dalam rumah dan jangan sekali-kali dibawa pergi ke masjid atau madrasah/surau ….. cara menyimpannya hendaklah samada di tanam di dalam tanah atau disorokkan di perdu pokok-pokok yang besar ….. Jangan memegang atau membawanya malah jangan berada berdekatannya jika hari hujan kerana takut dipanah petir ….. minyak dagu ini ianya hidup sebab dijaga oleh khadam jin sebab tu setiap kali bulan mengambang penuh, minyak dagu ini akan bertambah semula ke jumlah yang asal walaupun telah susut dengan banyak ….. lebih lama minyak dagu ini disimpan maka akan lebih kemujarabannya untuk digunakan sebagai minyak Pengasih, Penunduk dan Penggerun ….. Semoga kita semua sentiasa dilindungi Allah SWT dari terlibat dengan perkara-perkara syirik seperti ini.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.