Sunday, 16 September 2018

MAYAT HIDUP KUAT MAKAN

24.8.2018

Assalamualaikum..

Kali ini pokcik akan kongsikan satu kes yang viral dalam FB suatu ketika dahulu. Kejadian berlaku di Terengganu. Sebenarnya pokcik sendiri tidak pernah mengetahui hal ini sehinggalah seorang ahli group membuat posting tentang hal ini.

Cucunya membuat posting perihal neneknya yang sakit dan sudah tinggal rangka namun masih kuat makan. Dia merayu kepada para ustaz, perawat atau bomoh untuk usahakan neneknya itu. Sehinggalah sampai satu tahap, dia berdoa agar Allah mengambil nyawa neneknya itu.

Pada mulanya pokcik pun tidak menyangka bahawa hamba Allah itu seorang wanita kerana gambarnya yang duduk di atas kerusi roda tanpa berbaju. Sudah hilang bentuk perempuannya. Secara peribadi, pada pendapat pokcik, walaupun sudah terdesak, kita haruslah menjaga aib seseorang. Tambah-tambah lagi, si sakit juga merupakan neneknya sendiri.

Sebenarnya rakyat Malaysia memang pokcik puji atas keprihatinan dan sikap tolong-menolong. Apabila sudah tular di media masa, ramailah para perawat dari merata ceruk tampil untuk memberikan khidmat. Bab bayaran, keihlasan dan seumpamanya pokcik tak akan sentuh kerana itu hak mereka. Siapa kita yang layak menilai keihlasan seseorang melainkan Allah. Hanya Allah sebaik-baik penilai dan tiada satu pun terlepas daripada-Nya.


Oleh sebab seorang ahli memasukkan kes ini ke dalam group maka pokcik meminta salah seorang sahabat usahakannya. Tambahan pula pokcik memang berasa sangat kasihan melihat keadaannya. Sahabat itu terus menghubungi cucu  hamba Allah itu untuk usahakan.. Tak salah kita membantu. Kesembuhan dan kesannya semua milik Dia.

Sahabat yang pokcik minta usahakan itu sebenarnya antara sahabat yang pokcik percaya dan boleh harap. Dia sangat low profile dan membantu tanpa banyak soal jawab. Tambahan pula dia merupakan salah seorang ahli dalam group FB pokcik. Rasa macam nak UP sahaja namanya. Boleh kot..Hihihihi.. Namanya Fazrin RipperCrust. Jangan marah noo Fazrin, nama pokcik masukkan dalam kisah kali ini.

Alhamdulillah sahabat pokcik ini usahakannya. Memang dia bersungguh-sungguh usahakan nenek si cucu itu. Kisah ini hanya Fazrin dan pokcik sahaja yang tahu kerana dia menghubungi pokcik sepanjang usaha yang dia lakukan ketika itu. Bukan Fazrin sahaja, ramai dan perawat yang berusaha secara berdepan namun masih tidak menemui jalan penyudah. Macam pokcik cakap tadi, kita Cuma insan biasa yang hanya memohon serta berdoa kepada-Nya. Selebihnya kita bertawakkal dan berserah sahaja selepas usaha dilakukan. Tiada apa yang kita perlu malukan dan sesalkan sekiranya kita melakukan perkara baik.

Usaha sahabat pokcik masih tidak berjodoh kerana apabila pokcik menghubungi cucunya itu, hamba Allah itu masih kuat makan dan keadaannya masih tidak berubah. Dia seperti kecewa kerana katanya sudah ramai para ustaz dan perawat yang datang dan usahakan namun keadaannya masih begitu juga.

Oleh sebab pokcik yang meminta tolong sahabat usahakan maka pokcik tidak boleh berlepas tangan. Pokcik sendiri rasa bertanggungjawab untuk mengusahakannya sendiri. Bukan kata kita bagus kerana memang tak bagus pun. Kita bukannya arif seperti kebanyakan perawat di luar sana. Tambahan pula pokcik bukanlah perawat. Pokcik hanya insan biasa yang menolong dengan sekelumit doa dan mengharapkan ehsan-Nya.

Pokcik akhirnya mengambil keputusan untuk usahakannya sendiri. Selepas usahakannya pokcik meminta dia beritahu keadaannya namun dia sudah balik ke KL setahu pokcik. Hamba Allah itu tinggal bersama pak ngahnya. Masalah juga nak hubungi pak ngahnya tambahan pula pokcik hanya berurusan dengan cucunya itu.

Keesokannya pokcik mendapat khabar si sakit telah menemui ilahi. Alhamdulillah berakhirlah penderitaannya di dunia ini. Bukan pokcik gembira kerana dia meninggal dunia tetapi bersyukur kerana sekurang-kurangnya dapat meringankan beban si sakit dan ahli keluarganya yang silih berganti menjaganya dengan tabah dan kesabaran.

Sekian sahaja kisah pada kali ini. Semoga kita yang masih hidup dapat mengambil iktibar daripada kisah pada kali ini. Moga kita semua terselamat dan dilindungi oleh Allah daripada BISIKAN SYAITAN. Moga arwah  ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.. Aamiin.. Salam hormat.

-POKCIK SEMAN





No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.