Tuesday 16 July 2013

TRAGEDI MENIMPA LAGI ( PART 16 )

                Kasihan Biru. Badannya menjadi kurus dan seperti tidak terurus. Kami telah memandikannya sehingga bersih. Badannya dipenuhi dengan minyak hitam. Aku tak tahu sama ada ini perbuatan khiatan atau pun Biru terjatuh ke dalam bekas minyak hitam itu. Sekirannya ia perbuatan khianat, moga Allah akan membalas setiap kekejaman yang telah dilakukan oleh manusia tersebut. Setelah dibersihkan, Biru terus makan makanan yang dihidangkan. Aku berasa sungguh sayu apabila melihat Biru makan dengan gelojohnya. Makanlah Biru. Setelah peristiwa yang berlaku, Biru tidak begitu aktif lagi. Ia lebih suka termenung berbeza dengan perwatakannya sebelum ini. Biru juga lebih suka untuk berada di dalam rumah berbanding dengan dahulu. Kadang kala apabila aku membuka  ' sliding door ' rumahku selebar-lebarnya agar Biru keluar tetapi masih tidak berkesan. Mungkin Biru masih trauma dengan apa yang berlaku.

               Selepas kejadian itu kesihatan Biru mula terganggu. Biru sering sahaja demam dan muntah-muntah. Seperti biasa, kami akan bergegas ke klinik haiwan yang berdekatan setiap kali Biru mengalami masalah kesihatan. Alhamdulillah, setelah beberapa minggu berlalu Biru kini kembali aktif dan ceria. Perubahan ini turut menggembirakan aku. Biru juga sudah mula mengikutku bersiar-siar di taman dengan menunggang motosikal. Biru akan duduk dengan diam di dalam raga motosikalku. Ketika bersiar-siar inilah Biru seolah-olah bangga kerana dibawa bersiar oleh ayahnya. Aku boleh merasai perasaannya itu. Masakan tidak, apabila bertemu dengan kucing yang berkeliaran di sekitar taman itu, biru akan mendongakkan kepalanya. Biru,Biru, sampai begitu sekali perasaan banggamu terhadap aku. Sesungguhnya aku pun begitu.

            Kini Biru sudah pun berani untuk bermain di kawasan luar rumah sambil memakan rumput yang tumbuh. Menurut kata orang, kucing akan memakan rumput untuk membuang ' hair ball ' yang terdapat di dalam badannya. Dengan memakan rumput, mereka akan termuntah dan mengeluarkan ' hair ball ' tersebut. Pada suatu hari, Biru pulang dengan keadaan yang tidak bermaya. Dia telah memuntahkan rumput yang telah dimakannya. Muntahnya berwarna hijau. Aku tahu Biru telah termakan rumput yang telah diracun oleh seseorang. Walau pun Biru tidak memakan rumput yang telah diracun, aku percaya ia telah menjilat bulunya yang telah dicemari oleh racun rumput. Biru tidak mampu lagi untuk berdiri. Badannya seakan-akan lumpuh. Ketika aku mengangkatnya untuk membawanya ke klinik, habis bajuku dicemari dengan muntah dan najisnya. Mungkin Biru terlalu sakit dan menderita sehingga tidak dapat mengawal anggota badannya. " Bersabarlah Biru. Kita akan ke klinik.Kuatkan hati dan semangatmu," bicaraku dengan Biru tanpa didengari oleh isteriku. Biru kini semakin lemah dan kakinya kejang. " Ya Allah, selamatkan Biru."

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.