Tuesday 16 July 2013

BIRU KE JOHOR ( PART 18 )

            Setelah seminggu kejadian itu berlaku kedaan kesihatan Biru kini semakin baik. Biru mula ceria dan keluar dari rumah pada setiap petang untuk bermain. Aku turut gembira dengan keadaan itu. Tidak berapa lama kemudian, kami menyambut bulan puasa. Aku begitu teruja kerana menanti-nantikan bulan yang penuh keberkatan ini. Biru seperti biasa. Takkan Biru pun turut berpuasa. Hehehehe. Sebulan terasa berlalu dengan begitu cepat. Sedar tidak sedar hari berlalu dengan begitu pantas. Bulan Syawal seolah-olah menggambil umatnya yang berjaya menunaikan ibadah puasa dengan sabar dan bertakwa. Pada tahun itu, kami bercadang untuk beraya di Johor iaitu di kampung isteriku. Sudah semestinya, kami akan membawa Biru bersama untuk beraya di Felda Taib Andak di Kulai Johor. Namun begitu, aku juga berasa agak ragu dengan penerimaan keluarga isteriku di Johor terhadap Biru.

          Dua hari sebelum ketibaan Bulan Syawal kami telah berangkat ke Johor ditemani oleh ibu mertuaku. Kami bertolak lebih kurang pukul 12.00 tengah malam. Aku lebih suka memandu pada waktu malam kerana suasana yang sepi dan cuacanya agak dingin. Sepanjang perjalanan, Biru lebih banyak menyepi diri. Mungkin Biru turut tertanya-tanya ke manakah destinasi kami pada kali ini. Sesekali tangannya mengurut-urut pehaku. Barangkali Biru turut bimbang aku berasa mengantuk. Manalah tahu. Cuaca yang dingin dan suhu yang sejuk di dalam kereta membuatkan Biru mudah tertidur. Sesekali aku terdengar dengkurannya yang agak kuat. Aku tersenyum dan kulihat isteri dan ibu mertuaku juga turut tersenyum dan mereka ketawa dengan perlahan. Aku turut menyelimutkan Biru yang sedang kesejukan. Alhamdulillah perjalanan kami ke Johor tidak mengalami sebarang masalah.

         Kami tiba di Johor lebih kurang pukul 6.00 pagi. Kelihatan lampu rumah datuk isteriku masih lagi terpasang walaupun penghuninya sudah masuk tidur semula setelah selesai bersahur. Biru juga sudah sedar daripada tidurnya yang lena. Sudah menjadi kebiasaan, kucing akan melakukan senaman setelah bangun daripada tidur. Mungkin untuk membetulkan tulang atau pun melonggarkan urat yang tegang setelah tidur dengan nyenyaknya. Setelah sampai, ibu mertuaku merupakan orang yang pertama sekali turun dari kereta. Maklumlah, mungkin ingin segera melepaskan rasa rindu kepada kedua-dua ibu bapanya. Isteriku pula mula mengeluarkan beg dan barangan yang dibawa. Aku masih lagi tenang. Biru yang masih duduk di ribaanku juga kelihatan bersahaja. Setelah itu, Biru memandangku dan mengiau seolah-olah bertanya ke mana kita akan pergi. Aku tersenyum dan mencium Biru seraya berkata, " Sayang, kita telah sampai di Johor. Biru jangan nakal-nakal tau." Setelah itu kepalanya kuusap dengan penuh kemesraan. Kini timbul pula persoalan dalam diriku. Hatiku tertanya-tanya bagaimanakah penerimaan mereka terhadap Biru. Adakah Biru akan mendapat layanan yang sama seperti di Perlis. Hanya masa dan waktu yang akan menentukan.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.