Tuesday 16 July 2013

MASIH BERKESEMPATAN BERSAMAMU ( PART 13 )

            Setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Semuanya telah ditentukan oleh Allah. Begitu juga dengan pepatah yang mengatakan berpantang mati sebelum ajal. Alhamdulillah, berkat doa dan keazaman Biru maka  Biru mula pulih setelah diberikan suntikan oleh doktor. Menurut doktor berkenaan, Biru mempunyai pertahanan badan yang kuat. Kami turut mengiakan kata-kata doktor tersebut kerana Biru telah menjalani kehidupan yang sihat dan diberi pemakanan yang terbaik. Biru juga diberi suntikan vaksin dan menjalani pemeriksaan kesihatan daripada klinik haiwan yang bertauliah di Kuantan. Masakan tidak, dia hanya memakan makanan daripada jenama Royal Canin iaitu salah satu jenama makanan kucing yang terkenal. Doktor juga mengesahkan bahawa Biru hanya berada dalam keadaan terkejut kerana tidak pernah mengalami situasi sebegitu. Antara sindrom yang dapat dilihat ialah kehilangan keupayaan untuk mengimbangkan badan.
          Aku benar-benar bersyukur. Bagaimana ayahmu ini tidak risau Biru, sudahlah nafasmu seakan-akan berhenti, badanmu bergetar malahan dirimu juga tidak mampu untuk berdiri. Kini isteriku sudah mampu tersenyum dan tidak lupa melafazkan rasa bersyukur kepada Allah kerana Biru masih lagi dipanjangkan usia. Tidak cukup dengan itu, isteriku turut mengusap Biru sambil mengurut kakinya dengan mesra. Biru masih tidak aktif mungkin kesan daripada suntikan yang telah diberikan. Tidak lama selepas itu, barulah Biru mula bergerak secara perlahan dan terus datang untuk duduk di atas ribaanku yang sedang memandu. Biru,Biru, Allah masih memberikan masa kepada kami untuk memberikan kasih sayang kepadamu.
          Setelah seminggu kejadian itu berlaku, aku pun kembali ke Kuantan. Biru pun sudah semakin sihat dan bertenaga. Walau bagaimana pun, kami masih memberikan perhatian yang khusus kepadanya. Ubat yang dibekalkan oleh doktor juga telah pun habis. Oleh sebab cuti penggal persekolahan masih lagi berbaki maka kami mengambil peluang ini untuk memastikan Biru benar-benar sihat dan sembuh seperti sediakala. Genap sebulan, Biru pun pulih seperti biasa. Biru juga semakin lincah dan dan bersemangat. Biru juga sudah melupakan apa yang telah berlaku. Begitulah Biru, mudah sahaja melupakan peristiwa pahit yang hampir-hampir meragut nyawanya. Entah bagaimana secara tiba-tiba hatiku terdetik, " Apakah yang akan berlaku sekiranya kami kehilanganmu? Siapakah yang akan menenangkan ayahmu ini?"

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.