Tuesday 16 July 2013

KENANGAN MANIS DI JOHOR ( PART 19 )

Dalam debaran, aku pun melangkah untuk masuk ke dalam rumah datuk isteriku itu. Kami disambut dengan mesra biarpun mereka baru sahaja cuba untuk melelapkan mata selepas selesai bersahur. " Eh, bawa kucing! Apa namanya? " tegur nenek isteriku. Melihat sambutan dan penerimaan mereka hatiku menjadi senang. " Namanya Biru. Ia selalu mengikut sahaja ke mana sahaja saya pergi," terangku dengan mesra.

Setelah itu aku bersalaman dengan mereka. Biruku biarkan bebas di dalam rumah  tersebut. Bukan main gembira lagi Biru apabila ia bebas untuk bergerak ke sana ke mari. Tambahan pula rumah itu agak luas berbanding dengan rumah kami yang berada di taman perumahan. Setelah meletakkan barang yang dibawa di dalam bilik, aku pun menyiapkan tempat najis Biru di dalam bilik yang disediakan khas untuknya. Aku agak terkejut dengan layanan baik yang diberikan kepada Biru.
                
 Menjelang pagi iaitu selepas Subuh, hampir kesemua bapa saudara serta ibu saudara isteriku sudah bangun. Mereka turut mengalu-alukan kedatangan kami. Mereka juga tidak berasa janggal dengan kehadiran Biru. Anak-anak mereka yang baru bangun daripada tidur juga turut bermain dan bermesra dengan Biru. Aku agak senang dengan keadaan itu. Oleh sebab hari raya akan menjelma pada keesokan hari maka mereka bangun awal untuk membuat persediaan bagi menyambut hari lebaran tersebut.

Biru yang kebosanan hanya terus keluar dari rumah dan bermain di halaman. Aku hanya membiarkannya bermain kerana masing-masing agak sibuk di dalam rumah. Sesekali aku menjenguk keluar rumah kerana aku khuatiri Biru akan bermain jauh dan tidak tahu jalan untuk pulang. Maklumlah, ia berada di tempat yang begitu asing baginya. Suasana raya disambut dengan meriah sekali. Ramai kanak-kanak dan sanak saudara yang datang untuk menziarahi sesama muslim. Tidak ketinggalan juga, ada sahabat adik iparku yang datang walaupun berlainan agama dan kepercayaan. Semangat inilah yang menjadikan negara Malaysia sebuah negara yang unik.

Setelah beraya di Johor selama empat hari, maka kami pun berangkat pulang ke Kuantan. Sepanjang perjalanan kami isikan dengan cerita kemeriahan hari raya. Aku lihat wajah ibu mertuaku begitu ceria. Syukurlah semua yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna dengan izin Allah. Setelah hampir separuh perjalanan, tiba-tiba susana bertukar menjadi sepi. Rupa-rupanya isteri dan ibu mertuaku sudah melelapkan mata.

Dalam suasana yang sunyi inilah aku mula tersenyum sendiri. Aku berasa seronok kerana Biru telah diperlakukan dengan baik sekali. In sha Allah, sekiranya masa mengizinkan dan umur kami panjang, aku akan membawa Biru lagi untuk beraya di Johor. Semoga impian dan harapan aku akan tercapai. Sambil memandu kereta, aku bergurau dengan Biru untuk menghilangkan rasa bosan dan mengantuk. Sesekali Biru mengigit jariku dengan mesra.

Semakin aku cuba melarikan jariku, Biru semakin kuat memegang tanganku dan menarik jariku ke mulutnya. Aku ketawa melihat gelagatnya itu. Biru, sesungguhnya engkaulah penghibur hatiku. Kini Johor semakin jauh kami tinggalkan dan Kuantan seolah-olah memanggil dan mengalukan kepulangan kami. Sungguhpun begitu, kenangan beraya bersama Biru tidak mungkin dapat aku padamkan dalam lipatan ingatanku. Aku berdoa semoga kami dapat beraya di Johor lagi bersama-sama. Namun takdir Tuhan tiada siapa yang dapat menduga.   

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.