Tuesday 16 July 2013

JANGAN TINGGALKAN BIRU...( PART 8 )

               Semakin hari Biru semakin dewasa. Namun kemanjaannya terhadap kami makin lama makin bertambah. Kasihku terhadapnya juga semakin mendalam. Teringat aku akan kenangan membawa Biru pulang ke kampungku di Perlis. Seperti dijangkakan, Biru akan menjadi tidak tenteram apabila melihat kami menyediakan kelengkapan untuk pulang ke kampung. Ia kelihatan resah dan berjalan ke sana ke mari seperti tidak tentu arah. Aku tersenyum sambil memikirkan apa yang difikirkan oleh Biru. " Mesti ayah dan ibu nak pergi ke mana-mana. Siap mengemaskan pakaian lagi. Jangan tinggalkan aku sudahlah." Mungkin itulah yang bermain di fikiran Biru.
             
           Setelah itu aku keluar dari rumah untuk menghidupkan enjin kereta. ' Sliding door ' rumahku sengaja dibiarkan terbuka. Sebaik sahaja pintu kereta dibuka, Biru terus melompat masuk ke dalamnya seraya duduk di tempat pemandu. Geli hati aku melihat tingkah laku Biru. Isteriku hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala tanpa bersuara sepatah pun melihat akan aksi Biru. Tidak lama kemudian isteriku mula merapati Biru seraya berkata, " Takkan ibu nak tinggalkan Biru. Birukan anak ibu." Kepala Biru diusap dengan manja. Biru menggoyang-goyangkan badannya sebagai tanda puas.

            Setelah semua sudah bersedia, aku pun memulakan perjalanan untuk pulang ke kampung. Kebiasaannya aku akan memulakan perjalanan pada awal pagi. Perjalanan ini akan mengambil masa lebih kurang 10 jam. Oleh sebab perjalanan agak jauh, Biru mudah berasa bosan. Setelah puas duduk bersamaku yang sedang memandu kereta, Biru akan pergi ke tempat duduk di bahagian belakang sambil melihat pemandangan di luar. Itulah yang akan dilakukan oleh Biru di sepanjang perjalanan sehinggalah kami tiba di tempat yang dituju. Kini timbul pula masalah baru. Di Perlis aku tinggal di rumah ibu saudaraku. Ibu saudaraku tidak menggemari kucing kerana menurutnya anaknya begitu takut akan kucing. Biru, Biru apa yang harus ayah buat untuk menjaga hatimu dan juga ibu saudaraku itu..........................

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.