Tuesday 16 July 2013

PUCATNYA BIBIRMU ( PART 17 )

                Tidak lama kemudian kami pun sampai di klinik haiwan. Biru terus dimasukkan ke bilik rawatan khas. Isteriku sudah tidak dapat membendung air matanya daripada mengalir. Aku juga turut berasa sebak apabila berhadapan situasi sebegitu. Aku hanya mampu menenangkannya sambil berpesan agar sentiasa mengingati Allah. Namun begitu, kata-kataku hanyalah sekadar mainan di bibir. Dalam hatiku tidak ada siapa yang tahu melainkan Allah. Kini Biru berhadapan dengan saat yang sangat getir. Aku meminta kebenaran daripada doktor untuk masuk ke dalam bilik rawatan itu. Aku dibenarkan masuk. Aku dapat melihat riak wajah Biru yang sedang mengerang kesakitan. Bibirnya begitu pucat.  Sesekali terdengar suaranya yang perlahan seolah-olah menahan kesakitan yang amat sangat. Aku lihat doktor telah memberikan satu suntikan kepadanya. Setelah itu, Biru telah dipakaikan dengan alat pernafasan. Aku hanya dapat meneka mungkin Biru tidak dapat bernafas dengan sempurna atau pun oksigen di dalam badannya semakin kurang.

      Semakin masa berlalu, hatiku semakin tidak menentu. Perasaan cemas dan gelisahku tidak dapat kusembunyikan. Aku berjalan mundar-mandir di dalam bilik rawatan itu. Aku juga dapat melihat pembantu doktor yang bertugas telah memasukkan air ke badan Biru. Tidak berapa lama kemudian, Biru semakin pulih. Bibirnya sudah tidak berapa pucat lagi. nafas Biru juga sudah semakin teratur. Aku mengambil keputusan untuk meninggalkan Biru di klinik haiwan itu selama beberapa hari sehinggalah ia benar-benar sihat. Doktor juga ada di situ yang boleh memberikan pengawasan yang rapi terhadap Biru. Sebelum pergi, aku sempat mengusapkan kepalanya sambil berpesan agar ia bertenang serta berehat secukupnya. Isteriku juga berasa gembira dengan perkembangan yang berlaku. Aku membiarkan Biru di situ. Bukan soal wang yang dapat menilai kasih sayangku terhadap Biru. Aku sanggup berusaha untuk memastikan Biru sihat seperti sediakala.

          Biar pun aku meninggalkan Biru di situ tetapi aku menelefon doktor klinik berkenaan setiap hari untuk bertanyakan perkembangan Biru. Doktor juga turut berasa lega apabila melihat Biru semakin pulih. Doktor juga turut menambah, Biru terselamat kerana ia baru saja termakan racun rumput itu dan kami segera membawanya ke klinik sebaik sahaja kejadian itu berlaku. Walau apa yang doktor katakan, aku tetap berpegang bahawa Allah telah memanjangkan usia Biru. Selain itu, aku percaya keazaman dan keinginan Biru untuk hidup sedikit sebanyak membantunya mengatasi masalah tersebut. Aku amat-amat bersyukur kerana Allah telah memberikan masa kepada kami untuk bersama dengan Biru. Oleh itu, masa yang diberikan tidak harus dipersia-siakan. Aku akan menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin dan aku harap Biru pun begitu...

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.