Tuesday 16 July 2013

MEMORI BERSAMAMU ( PART 5 )

               
 Saat yang paling diingati ialah bagaimana setianya Biru menungguku setiap kali aku pulang daripada bekerja. Kadang kala manusia pun tidak mengenali bunyi kenderaan sendiri. Akan tetapi Biru akan menerpa menungguku setiap kali mendengar bunyi keretaku berhenti di hadapan rumah. Kadang kala aku memang suka mengusiknya. Apabila aku sampai di muka pintu rumahku, aku sudah dapat melihat kelibat Biru berjalan tidak tentu arah dan seolah-olah tidak sabar untuk bermanja denganku. Selalu juga aku melengah-lengahkan masa untuk masuk ke rumah. Tindakan aku selalunya mengundang kemarahan Biru. Habislah sofa aku dicakarnya sebaik sahaja aku masuk ke dalam rumah.

       Mahu tidak mahu terpaksalah aku memujuknya dengan cara mendukungnya dan mencium hidungnya. Biru, Biru, perlakuanmu tidak ubah seperti  kanak-kanak yang merajuk dengan ibu bapanya. Apabila kemarahannnya sudah hilang maka kami akan bersama-sama untuk lari merebahkan diri di atas katil. Itulah rutin harianku. Setiap kali aku pulang daripada bekerja, Biru sudah bersedia untuk berlumba denganku siapa yang terlebih dahulu baring di atas katil. " Biru, cepat, siapa yang sampai dulu ke katil." Ungkapan itu sering terngiang-ngiang di telingaku hingga ke hari ini. Perlumbaan aku dan Biru seolah-olah telah menjadi suatu memori yang tidak mungkin dapat aku lupakan.
      Setelah itu, aku akan membersihkan diri. Setiap kali aku mandi, Biru pasti akan menungguku di depan muka pintu. Aku sudah tahu apa yang akan dilakukan oleh Biru. Mungkin kucing tidak suka bulu mereka basah. Itulah yang dilakukan oleh Biru apabila melihat aku selesai mandi. Biru akan menjilat kakiku sehingga kering. Hiiii terasa jugaklah lidah Biru yang kesat tu apabila ia menyentuh kulit kakiku. Mungkin dalam fikirannya aku tidak pandai menjaga kebersihan kerana tidak mengelap badan sehingga bersih. Manalah tahu..........
     



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.