Tuesday 16 July 2013

BERTAHANLAH BIRU ( PART 12 )

            Biru seperti lupa akan keadaannya sebelum datang ke Langkawi. Mungkin memori kucing tidak dapat menyimpan data terlalu lama. Keadaan ini membuatkan aku terfikir seandainya Biru hilang selama beberapa hari. Manalah tahu seandainya perkara ini berlaku, Biru akan melupakan kami. Aku sentiasa berdoa agar perkara seumpama itu tidak akan berlaku kepada kami kerana kami amat menyayangi Biru. Tambahan pula, aku tahu isteriku akan menangis berhari-hari seandainya ia benar-benar terjadi. Kami berada di Langkawi selama tiga hari sahaja. Setelah itu, kami pulang semula ke rumah ibu saudaraku di Perlis. Episod duka Biru kini berulang kembali. Seperti sebelum ini, Biru hanya berkurung di dalam bilik kami. Bagi menghilangkan rasa kebosanannya, aku sering membawanya berjalan-jalan di sekitar kampung terutamanya ke rumah datukku yang terletak tidak jauh dari rumah ibu saudaraku.

          Pada suatu hari ketika kami bertandang ke rumah datukku, suatu kejadian yang tidak disangka-sangka telah berlaku. Ketika sedang leka berbual dengan bapa saudaraku, Biru telah bergaduh dengan kucing yang datang ke situ. Pergaduhan itu, amat sukar untuk kami leraikan. Memang kuakui bahawa Biru merupakan kucing yang amat manja dan lemah lembut. Sudah tentulah Biru bukan lawan kucing kampung yang sememangnya mempunyai perwatakan yang kasar dan bengis. Biru kalah dan mengalami kecederaan yang agak teruk. Biru terus lari pulang ke rumah ibu saudaraku sambil diekori oleh kucing kampung itu. Aku terus berlari untuk mendapatkan Biru. Setelah pintu kubuka, Biru terus meluru masuk ke dalam bilik. Aku lihat Biru terus rebah dan nafasnya tercungap-cungap. Badannya pula menggeletar dan Biru terus tidak bersuara biar pun aku memanggil namanya berulang-ulang kali. Aku menjadi panik. Tambahan pula, inilah kali pertama aku berhadapan dengan situasi ini. Setelah itu, aku pun terus berlari ke dapur lalu mengambil tuala yang basah untuk mengelap luka dan kekotoran yang ada pada badan Biru ekoran daripada pergelutan tadi.

          Setelah beberapa minit, Biru cuba untuk bangun tetapi kakinya seolah-olah tidak berfungsi. Aku lihat ada najis yang keluar daripada duburnya. Sedarlah aku bahawa walaupun dalam keadaan sakit dan tidak bermaya, Biru masih lagi cuba untuk membuang najis di tempat yang sepatutnya. Aku terus mengambil sehelai kain dan meletakkan Biru di atasnya. " Beraklah Biru, nanti ayah buang," kataku. Biru terus terbaring dan kelihatan amat kritikal sekali. Melihatkan keadaan itu, aku pun meminta orang rumahku bersiap-siap untuk menghantar Biru ke pusat rawatan. Nafas Biru kini tersekat-sekat. Tanpa membuang masa, aku terus membawa Biru ke Arau untuk menerima rawatan. Isteriku sudah mula menangis. Aku terus menenangkannya sambil menyabarkannya. " Bertahanlah Biru. Tidak lama lagi kita akan sampai," pujuk hatiku. Dalam situasi ini aku perlu menguatkan semangat bagi mengelakkan isteriku hilang pertimbangan. Namun dalam hati, aku berdoa dan memohon pertolongan daripada Allah agar Biru selamat. Sungguh pun begitu, walau apa pun yang akan berlaku aku redha kerana itulah ketentuan Tuhan. Setiap kejadian yang berlaku tentulah mempunyai hikmah di sebaliknya.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.