Tuesday 16 July 2013

DOA TERMAKBUL ( PART 15 )

               Masuk hari kedua, Biru masih lagi belum kami temui. Pelbagai ikhtiar telah pun aku lakukan. Selain mencari di sekitar taman perumahan sehingga lewat malam, aku juga bertanya jiran tetangga sama ada mereka ada melihat Biru. Namun, segala usahaku hanyalah sia-sia. Pada petang itu, ada seorang rakanku yang datang dan mengatakan dia ada melihat Biru bermain berhampiran dengan rumahnya. Hatiku kembali berbunga. Tanpa melengahkan masa, aku mengikut sahabatku itu untuk mengambil Biru pulang ke rumah. Malangnya, kucing tersebut bukanlah Biru. Walau bagaimana pun, aku tetap mengucapkan terima kasih kepada sahabatku itu. Bukan salahnya, kucing yang dimaksudkan itu hampir menyerupai Biru. Biar pun hampir sama wajahnya, namun Biru tidak dapat ditukar ganti. Begitulah istimewanya Biru dalam hidupku.

          Kini, aku hanya mampu berserah dan berdoa kepada Allah semoga Biru selamat dan kembali ke pangkuan kami. Sekiranya Biru diambil oleh orang lain aku berharap tuan barunya akan menjaga dan memelihara Biru serta memberikan kasih sayang kepadanya lebih daripada kami. Hanya itu yang kupinta. " Ya Allah, selamatkanlah Biru. Peliharalah keselamatannya. Seandainya ia diambil oleh orang lain, biarlah tuan barunya itu lebih baik daripada kami. Sekiranya ia selamat, maka berilah peluang kepadanya untuk kembali kepada kami ," doaku selepas menunaikan solat.

          Pada malam ketiga kehilangannya, kami sudah mula redha seandainya Biru sudah tiada. Air mata isteriku tidak pernah kering. Bibirnya tidak putus-putus menyebut nama Biru. " Biru, pulanglah sayang," ucap isteriku apabila teringat akan Biru. Entah mengapa, pada malam itu hatiku terdetik untuk melihat Biru di lorong hadapan taman perumahanku. Sambil mencari-cari Biru, kami memanggil-manggil namanya. Dengan tidak disangka-sangka aku terdengar suara kucing menyahut panggilan kami. Suara itu memang amat aku kenali. Aku memberhentikan kereta dan membuka pintu selebar-lebarnya. Entah dari mana tiba-tiba Biru terus meluru dan melompat masuk ke dalam keretaku. tidak cukup dengan itu, Biru terus mencakar-cakar pada kusyen kereta. " Buatlah Biru, puaskan hatimu," bisik hatiku. Isteriku yang turut serta dalam pencarian itu terus menangis sebagai tanda kesyukuran. Biru terus dipeluk olehnya dengan penuh kemesraan. Biru terus berbunyi dengan panjang seolah-olah berleter dan marahkan kami kerana tidak mencarinya. Aku bersyukur kerana dipertemukan kembali dengan Biru. Tiba-tiba timbul persoalan dalam benak fikiranku, " Adakah dirimu masih seperti Biru yang dahulu."

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.