Tuesday 16 July 2013

TOK CIK YANG PENYAYANG ( PART 11 )

Sepanjang perjalanan, kami didatangi dengan pelbagai kelompok manusia terutama kanak-kanak. Mereka begitu teruja apabila melihat seekor kucing hanya duduk tenang di dalam sebuah bot yang dipenuhi penumpang. Tidak kurang juga yang menceritakan tentang kucing mereka yang terpaksa diberi ubat sebelum dibawa ke mana-mana. Aku hanya mengiakan cerita mereka. Seronok juga apabila aku mendapati masih ramai orang yang menyayangi binatang peliharaan mereka dan memeliharanya dengan baik dan bertanggungjawab.

Sedar tidak sedar, kami pun tiba di jeti pekan Kuah setelah menempuh perjalanan lebih kurang 50 minit. Seperti biasa, aku menjadi perhatian kerana mendukung Biru turun daripada bot. Sehinggakan ada seorang gadis yang merapatiku dan mengusap-usap kepala Biru. Orang rumahku menjeling dengan ekor mata. Isteri mana yang tidak cemburu melihat suaminya dirapati oleh seorang gadis. Setelah gadis itu berlalu, isteriku bertanya mengenai gadis itu dengan perasaan cemburu. Aku hanya ketawa. Serentak dengan itu, satu cubitan hinggap pada lenganku. Sayang juga isteriku kepadaku..Hihihihi.

Aku tidak menunggu lama di jeti Kuah kerana tok saudaraku sudah meminta cucunya datang menjemput kami. Setelah bersalaman, kami terus menuju ke rumah tok saudaraku di Ayer Angat. Tiada apa yang menarik dalam perbualan aku dengan cucu tok saudaraku itu. Soalan yang biasa-biasa sahaja ditujukan kepada kami. Bila balik, sudah berapa lama di Perlis, berapa lama hendak tinggal di Langkawi, sudah makan atau pun belum dan soalan-soalan lain yang biasa diajukan oleh orang Melayu sebagai tanda kemesraan. 


 Lebih kurang 15 minit, kami tiba di destinasi. Aku disambut oleh tok cik ( tok saudaraku ) dengan perasaan gembira. Biru aku dukung keluar daripada kereta. Berbeza dengan ibu saudaraku, tok cik amat menyukai kucing. Tidak hairanlah dia memelihara beberapa ekor kucing di rumahnya. Biru diserahkan kepada tok cik. Aku begitu teruja dan gembira kerana tok cik merangkul dan menciumnya dengan mesra. Bertuahkau Biru. Biru dilepaskan di dalam rumah tok cik yang sememangnya agak besar. Biru berlari ke sana ke mari dengan riang. Aku juga turut sama merasai kegembiraan Biru sehinggakan hampir menitiskan air mata. Tok cik juga turut bermain dengan Biru. Sambil itu tok cik juga meminta untuk memelihara Biru daripada kami. Sudah tentu tok cik juga sudah tahu akan jawapan yang akan diberikan. Bertuahkau Biru...

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.