Tuesday 16 July 2013

MALAM YANG DINGIN ( PART 14 )

             Setelah Biru benar-benar sembuh, aku mula membuka ' sliding door ' selebar-lebarnya kepadanya agar ia bebas untuk bermain di luar kawasan rumah. Aku tidak ingin menyekat kebebasan Biru. Pengalaman Biru yang hanya berkurung di dalam bilik semasa di Pelis benar-benar membuatkan aku berasa simpati kepadanya. Namun begitu, aku hanya membebaskan Biru untuk bermain di luar kawasan rumah pada hari cuti iaitu Sabtu dan Ahad serta pada setiap petang sekiranya aku bekerja. Kebiasaannya, Biru akan pulang ke rumah sebelum waktu Maghrib. Begitulah rutin harian Biru. Biru juga sudah semakin selesa dengan keadaan itu. Pada hari Sabtu dan Ahad awal-awal pagi lagi aku akan dikejutkan oleh Biru untuk membuka     ' sliding door ' .
        Kebiasaannya, Biru akan naik dan bermain di atas dadaku untuk mengejutkan aku daripada tidur. Sekiranya aku berpura-pura tidur, Biru akan menarik selimutku dan menggigit ibu jariku. Kadangkala aku sengaja tidak mahu melepaskanmu pada awal-awal pagi. Selepas semua yang kaulakukan tidak berjaya, engkau akan naik ke dadaku semula dan tidur dengan lenanya. Kenangan indah itu tidak mungkin dapat aku lupakan hingga aku menghembuskan nafas yang terakhir. Aku benar-benar terhibur dengan gelagatmu. Sayang, Biru. Seperti kelazimannya, engkau akan menungguku dengan setia di hadapan ' sliding door ' rumahku apabila mendengar keretaku berhenti di hadapan rumah. Dirimu akan terus datang dan bermanja denganku sebelum makan dan kemudiannya akan menggesel-geselkan badanmu untuk memujukku melepaskan engkau untuk bermain di luar rumah. Aku tahu kerana aku ayahmu. Setiap tingkah lakumu dapat kutahu keinginan dan maksud di sebaliknya. Sabarlah Biru, aku akan membenarkan engkau untuk bermain pada sebelah petang.

       Seperti biasa, aku melepaskan Biru untuk bermain lebih kurang pukul 4.30 petang. Bukan main gembiranya Biru dapat bermain dengan kawan-kawan terutamanya Putih yang juga akan sediakan makanan setiap hari biar pun ia kucing gelandangan. Putih juga akan menungguku setiap hari di hadapan pintu pagar rumah setiap kali aku pulang daripada bekerja. Putih ialah sahabat baik Biru yang akan bermain dan berjalan bersamanya di sekitar taman perumahan rumahku. Sehinggalah pada suatu petang aku lihat hanya Putih yang berjalan menghampiri rumahku tanpa ditemani oleh Biru. Aku menjadi risau. Tambahan pula, hari sudah menjadi semakin gelap. Aku mula teringat akan Jebat yang telah hilang tidak lama dahulu. Aku khuatir pisang akan berbuah dua kali.Sebelum waktu Maghrib, aku terus menghidupkan motosikalku dan mencari Biru di sekeliling taman perumahanku itu. Malangnya, kelibat Biru tidak juga kelihatan. Hari semakin gelap menunjukkan malam melabuhkan tirainya. Perasaanku kini mula bercampur - baur. Selepas solat Maghrib, aku dan isteriku terus mencari Biru tetapi masih menemui jalan buntu. Kami mencari Biru sehingga tengah malam tetapi masih lagi gagal untuk mengesannya. Kami pun pulang ke rumah dengan perasaan hampa. Isteriku sudah sebak dan mengalirkan air mata. Tambahan pula, hujan telah turun dengan lebatnya pada malam itu. " Di mana engkau Biru? Ayah berharap engkau selamat. Pulanglah sayang...."

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.