Tuesday 16 July 2013

BIRU MENYENDIRI ( PART 20 )

     
                 Sekembali dari Johor, kehidupan kami kembali seperti biasa. Hari-hari yang dilalui bersama Biru dipenuhi dengan gelak ketawa dan kegembiraan. Tiada istilah kebosanan dalam hidupku sepanjang bersama dengan Biru. Biru begitu pandai menjaga kelakuannya dan tidak keterlaluan jika aku katakan sesiapa yang datang ke rumahku pasti akan tertarik dengan gelagat dan perlakuan Biru. Siapa yang tidak kagum akan Biru.apabila tetamu datang ke rumah, ia begitu sopan dan menjaga tingkah lakunya. Biru juga akan duduk diam di sampingku seolah-olah mendengar dan memahami apa yang dibualkan oleh kami. Sesekali, kepalanya akan mendongak dan memandang rakanku apabila rakanku itu bercakap atau menyatakan sesuatu. Pandangan Biru akan beralih pula kepadaku apabila aku pula berbicara. Biru amat bijak. Hanya ia tidak boleh berkata-kata. Namun begitu, setiap patah perkataan yang aku katakan kepadanya seolah-olah difahami dengan baik. Lidah mana yang tidak pernah tergigit. Seandainya ada perselisihan kecil antara aku dengan isteriku, Biru akan berdiam diri dan meletakkan tangannya di bawah dagu. Biru seolah-olah turut bersedih dengan apa yang berlaku. Kebiasaannya, perselisihan kami tidak akan berpanjangan kerana kasihan dengan keadaan Biru.. Biru selalu menjadi penyelamat keadaan. Kami juga seakan-akan malu kepada Biru seandainya kesalahfahaman antara kami berlanjutan. Begitu hebat daya tarikan Biru.
               Tidak lama selepas itu, adikku telah melangsungkan perkahwinan. Perkahwinan ini akan diadakan di rumah ibuku di Jengka 11. Sanak saudara dari Perlis telah pun berkumpul di rumah ibuku itu. Seperti biasa, aku akan membawa Biru ke mana sahaja aku pergi..Perjalanan dari Kuantan ke rumah ibuku hanya mengambil masa lebih kurang 1 jam 45 minit. Setibanya aku di rumah ibuku, kelihatan ramai orang dan sanak saudaraku telah berhimpun dan melakukan persediaan menjelang hari perkahwinan adikku itu. Suasana menjadi riuh - rendah dengan suara mereka. Disebabkan suasana yang terlalu bising, aku lihat Biru seolah-olah tidak begitu selesa.Tambahan pula, kanak-kanak yang datang turut bermain dan ada dalam kalangan mereka yang bergurau terlalu kasar dengannya. Kasihan Biru.. Ada kalanya aku terfikir mungkin Biru lebih cerdik dan matang berbanding dengan kanak-kanak itu. Seandainya Biru boleh bercakap, sudah tentu ia akan menasihati kanak-kanak itu agar menjaga kelakuan. Tambahan pula mereka berada di rumah orang. Biru kini lebih suka menyepikan diri.. Ia akan masih ke bilik dan berehat di atas katil.. Aku juga tidak tahu apa yang sedang difikirkan oleh Biru...........

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.