Aku masih lagi tidak sihat ketika menulis coretan ini...
Namun kugagahi juga demimu Biru. Suasana yang agak bising dan panas serta riuh
rendah menyebabkan Biru lebih suka mengurungkan dirinya di dalam bilik.
Kadangkala apabila berasa bosan, ia akan mengambil angin di luar rumah. Biru
lebih suka termenung. Pandangannya seolah-olah merenung masa hadapan yang akan
ditempuhinya. Mungkin setiap binatang diberi kelebihan dan keistimewaan oleh
Allah untuk mengetahui apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Sesekali
wajahnya kelihatan ceria, seolah-olah mengenangkan sesuatu yang membahagiakan
dirinya.. Kadangkala wajahnya bertukar agak serius seolah-olah sedang teringat
akan sesuatu kejadian yang membuatkannya agak marah dan kecewa.. Namun begitu,
apa yang merisaukan aku ialah apabila melihat riak wajahnya yang agak muram dan
sugul seolah-olah akan meninggalkan kami buat selama-lamanya.. Riak wajah
mereka mengundang seribu makna..Tersimpan seribu rahsia. Hanya diketahui
oleh-Nya.
Kesibukan kami dalam menguruskan majlis perkahwinan adikku membuatkan
Biru berasa dirinya disisihkan. Dia tidak lagi mencari kami apabila ingin tidur
pada waktu malam. Walaupun Biru tidur di dalam bilik, tetapi ia lebih suka
tidur di penjuru bilik tersebut dan bukannya di atas tilam seperti
kebiasaannya. Sikap Biru benar-benar berubah. Maafkan ayah seandainya hatimu
terluka. Maafkan ayah, sayang. Kadangkala aku sengaja membiarkan Biru tidur
dengan lena terlebih dahulu sebelum mengangkatnya naik ke atas katil. Aku tahu,
sekiranya Biru sedar ia akan melarikan diri seolah-olah ingin menunjukkan rasa
ketidakpuasan hatinya kepadaku. Bersabarlah
Biru.. Selesai sahaja majlis perkahwinan ini, kita akan kembali ke rumah
kita semula.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.