

Apabila pokcik membaca kisahnya dapatlah pokcik membuat kesimpulan bahawa dia mengalami masalah saka. Menurutnya dia kini tinggal sendiri setelah bercerai dengan suaminya. Masalah peribadinya pokcik tak masuk campur sebab pokcik bukanlah pakar kaunseling. Menurutnya dia mengalami mesalah ini sebaik sahaja balik dari Sydney Australia. Mungkin dia bercerita kepada pokcik untuk memberitahu bahawa ada kemungkinan dia terkena ganggguan dari sana.
Setelah balik ke Malaysia dia terus merujuk pada pihak hospital bagi mengesan penyakitnya. Namun begitu pihak hospital tidak dapat mengesan punca penyakit. Bermula dari situ dia mula beralih kepada perubatan tradisional. Katanya, dia sering bermimpi pergi ke istana lama. Di sana, dia akan memandikan bayi yang berdarah. Setiap kali dia bermimpi, dia akan mengalami keguguran.
Katanya, dia juga sering bermimpi menyusukan bayi. Kebiasaannya apabila bermimpi menyusukan bayi maka telah ada saka yang melekat padanya. Menurutnya, dia juga sering berbau bunga yang sangat wangi di rumahnya. Biasalah, kalau jin datang dengan bau yang busuk sudah tentu kita akan takut dan beranggap yang datang itu ialah hantu. Sekiranya wangi silap-silap orang akan beranggapan bunian yang datang menziarah. Itu anggapan kita.

Dari ceritanya, kemungkinan dia telah pergi ke Pusat Perubatan Islam di Ampang. Sesampainya di sana dia terus berubat dengan ustaz-ustaz di sana. Ustaz beranggapan dia terkena saka kerana dia mengalami batuk yang teruk dan berdarah. Bimbang pokcik akan tanya dia merokok ataupun tidak, awal lagi dia beritahu bahawa dia mengamalkan cara hidup sihat dan tidak merokok. Setelah beberapa kali ke sana, para perawat itu sudah tidak sanggup dan memintanya agar pergi ke Pusat Perubatan mereka yang lebih besar di Bangi.


