Monday 22 May 2017

LAGI-LAGI HANTU

Image result for assalamualaikum image
Alhamdulillah dipertemukan lagi pada kali ini. Kali ini pokcik ingin kongsikan pengalaman berkenaan dengan seorang hamba Allah di Kuantan. Katanya dia dapat nombor pokcik daripada salah seorang sahabat pokcik. Sungguhpun dekat tetapi pokcik tidak berjumpa dengannya dan perbualan kami hanyalah melalui whatsapps. Rumahnya dikatakan mengusik dan dia sendiri selalu sakit terutama pada bahagian kepala. Kepalanya dikatakan sering berdenyut-denyutdan pemeriksaan telah dilakukan namun keadaannya masih seperti itu juga.

Biasanya pokcik akan tanya dia sudah berkahwin atau belum. Jangan salah anggap. Hamba Allah ini lelaki. Hihihihihihi. Pokcik bertanya untuk membuat pertimbangan sama ada untuk mengusahakan rumahnya atau dirinya terlebih dahulu. Pokcik akan utamakan rumah dahulu sekiranya dia sudah berkeluarga. Bukan apa, bimbang anak-anak dan orang rumahnya terganggu dengan keadaan itu.

Tambahan pula, sekiranya ada bayi atau anak kecil, mereka mudah nampak atau melihat makhluk ghoib ini kerana hijab mereka masih terbuka. Hijab orang tua atau dewasa sudah ditutupi dengan dosa yang dilakukan. Jangan marah yaa.. Itulah hakikat.. Hihihihihi.. Ini termasuklah diri pokcik sendiri. Bukan pokcik bahasakan orang lain. Orang rumahnya juga mudah dirasuk sekiranya lemah semangat. Oleh sebab memikirkan faktor keselamatan secara lebih menyeluruh maka pokcik akan usahakan rumah atau kediaman terlebih dahulu berbanding si sakit sekiranya dia telah berkeluarga.

Alhamdulillah, dipendekkan cerita, dia menghantar gambar rumahnya kepada pokcik. Pokcik nampak ada bayangan pontianak di satu sudut di rumahnya. Alhamdulillah semua urusan dipermudahkan oleh Allah. Segala gangguan telah berjaya diselesaikan dengan izin Allah. Baru-baru ini pokcik pergi ke rumah sahabat pokcik. Nak dijadikan cerita, dia bertanya kepada sahabat pokcik itu. Dia bertanya adakah sahabat pokcik itu mengenali pokcik.. Dia memberitahu bahawa dia ikhtiar dengan pokcik..

Yang tidak seronok sikit ialah dia beritahu kepada sahabat pokcik bahawa apabila balik ke Kelantan, dia meminta perawat di sana melihat keadaan rumahnya. Alhamdulillah kata perawat itu, ada kesan jin di situ tetapi telah pun diambil oleh seseorang. Ok juga laa perawat tu sebab dia memberitahu kebenaran. Kalau dia ingin mengambil kesempatan, dia akan beritahu masih banyak gangguan di rumahnya. Hihihihi. Lepas itu dia akan meminta bayaran sekian-sekian sekiranya ingin diselesaikan masalah itu.. Bukan ke naya dan ditipu hidup-hidup sekiranya berjumpa dengan perawat yang tidak sepatutnya.. Alahmdulillah, masih ada ramai lagi perawat yang jujur di luar sana.

Apa pun pokcik bersangka baik sahajalah. Mungkin dia mengenali perawat itu dan hanya inginkan kepastian. Pokcik bertanya kepada sahabat pokcik, adakah rumahnya masih diganggu? Jawapannya ialah tidak. Dia hidup tenang. Dahulunya dia mengasah gigi ketika tidur. Kini alhamdulillah tidak lagi katanya. Kalau pokcik sendiri, sekiranya sudah tiada masalah, pokcik tidak akan membuat double check.

Mungkin ada orang yang inginkan kepastian kerana pokcik ikhtiarkan dari jauh dan tidak pergi ke rumahnya ketika ikhtiarkan rumahnya itu. Untuk makluman para sahabat, walaupun dalam daerah yang sama, rumahnya dengan rumah pokcik agak jauh. Apabila jauh maka pokcik terpaksa mengambil kira bayaran untuk minyak kereta pokcik. Ini sebenarnya bertentangan dengan prinsip pokcik sekiranya mengambil mahar.. Jangan cerita bab keikhlasan sebab soal hati itu antara pokcik dengan Allah. Hanya Dia Maha Mengetahui.

Habis sahaja bab rumahnya maka pokcik usahakan dirinya pula. Pokcik tak ingat hari apa tetapi yang pastinya ketika hamba Allah ini menghubungi pokcik, pokcik baru sahaja sampai di rumah. Belum masuk lagi ke rumah.. Hihihihihi. Apabila pokcik baca mesej daripada hamba Allah ini, terpacul dari mulut pokcik, LAGI-LAGI HANTU. Adoiiiiiii. Memang hantu ini tidak akan senang hati apabila manusia mudah beribadah.Ada sahaja yang akan dilakukan bagi mengelakkan atau menyusahkan sedikit manusia sekiranya ingin melakukan kebaikan terutama mengerjakan solat. Sebab itu dalam kes yang terdahulu, ada para Qariah yang diganggu oleh jin ketika menunaikan solat di dalam masjid di Bentong tempoh hari. Kisah itu telah pun pokcik kongsikan sebelum ini.

Sebaik sahaja duduk, pokcik tengoklah lebih kurang apa yang mengganggunya. Ternyata ada gangguan di situ. Tanpa berlengah pokcik pun ikhtiar mengambil dan menangkap hantu itu sambil berdoa agar Allah memudahkan urusan. Apabila dipagar seizin Allah, maka hantu itu tidak dapat pergi ke mana-mana. Senanglah sikit kerja pokcik untuk menangkapnya dan sebagainya. Setelah selesai barulah sakit kepala dan denyut di bahagian itu hilang. Pada asalnya mungkin hamba Allah ini hanya menjangkakan masalah angin. Akan tetapi, apabila masalah itu selesai hingga saat kisah ini pokcik titipkan, sudah tentu ada sesuatu yang menjadi asbab sakit dan denyut kepalanya itu.

Sekian sahaja perkongsian pada kali ini. Moga kita dipanjangkan usia dan dapat dipertemukan lagi oleh Allah. Semoga para sahabat peroleh manfaat daripada perkongsian pada kali ini. Maaf juga dipohon seandainya ada kata-kata yang berlebihan. Kepada Allah juga pokcik memohon keampunan. Moga berjumpa lagi dalam kisah yang akan datang. Wallahua'lam. Salam hormat.