Santai, suam, panas-panas kuku, dingin, beku dan sebagainya topik kali
ini. Sesekali nak hangatkan suasana. Bukan selalu. Banyak pengalaman
sendiri mahupun rungutan daripada pesakit mahupun perawat sepanjang
pokcik terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam bidang ini.
Kisah tentang perubatan sahaja tanpa menyimpang ke tajuk lain.
Mula-mula pokcik nak ceritakan perihal diri sendiri. Sudah tentu ada
pahit dan manis dalam kehidupan. Itulah warna warni dan penyeri yang
membezakan kita dengan robot yang tidak mempunyai perasaan. Ini bukan
luahan hati tetapi perkongsian pengalaman.
Antara yang tidak
boleh pokcik lupakan ialah apabila pokcik usahakan satu kes yang agak
berat, pokcik pula mendapat fitnah. Kesnya pernah pokcik kongsikan lama
dahulu. Perihal seorang hamba Allah yang pokcik usahakan secara jarak
jauh. Itu pun apabila adiknya sendiri yang meminta pokcik usahakan
kerana tidak tahan melihat penderitaan kakaknya sendiri.
Kakaknya itu mengalami pendarahan tidak berhenti-henti sejak beberapa
tahun sehinggakan pihak hospital sama ada doktor pakar dan sebagainya
buntu dengan keadaannya itu. Alhamdulillah setelah usahakan dengan izin
Allah maka semuanya selesai dan darahnya berhenti. Kini timbul cerita
yang adiknya yang berpakat dengan pokcik sihirkan dia dan sebab itulah
boleh menghentikan pendarahan itu.
Tak apa lah Allah Maha
Mengetahui. Kesabaran pokcik akhirnya Allah beri ganjarannya kerana
baru-baru ini dia meminta adiknya menghubungi pokcik semula kerana dia
kini menghadapi penyakit yang lain pula. Mungkin pihak hospital juga
buntu dengan masalahnya itu dan membuatkannya mengambil keputusan untuk
menghubungi pokcik bagi mendapatkan ikhtiar.
Itu antara
pengalaman diri sendiri. Bagaimana pula dengan pengalaman pesakit yang
diadukan kepada pokcik. Banyak sangat aduan yang sampai kepada pokcik
daripada pihak pesakit. Antaranya perihal rawatan jarak jauh merupakan
salah satu daripada modus operandi agar pergi kepadanya untuk
mendapatkan rawatan susulan.
Namanya pun disebut tetapi eloklah
pokcik rahsiakan. Kadang kala, kes ni merupakan kes terpencil tetapi
apabila berlaku, tempiasnya mercik kepada semua sahabat perawat yang
melakukan rawatan berdepan atau jarak jauh. Ini termasuklah pokcik
sendiri.
Ada juga kata si mangsa, perawat masuk ke group sama
ada group facebook, telegram dan sebagainya hanya untuk mencari MANGSA.
Apabila pesakit mengadu masalah, perawat berkenaan akan terus menghantar
askarnya bagi mengganggu si sakit.Setelah itu, pesakit diminta berjumpa
dengan gurunya. Harga diletakkan sampai mencecah ribuan ringgit.
Ada juga rungutan daripada pesakit, si perawat diam sahaja dalam group
berkenaan. Tak kira group ni atau group lain. Apabila pesakit mengadu
sahaja sakit, perawat berkenaan akan terus menghubungi pesakit dan
menetapkan harga ribuan ringgit. Namanya juga disebut kepada pokcik.
Macam-macam aduan yang sampai ke telinga pokcik. Yang lebih menyayat
hati, yang dikatakan perawat dalam group, apabila dihubungi oleh
pesakit, dia akan menghalakan pesakit kepada gurunya atau rakannya.
Mahar juga ribuan ringgit. Entahlah, mungkin dia orang tengah atau
sebagainya pokcik pun tak tahu. Namanya juga disebutkan kepada pokcik.
Jadinya pening juga pokcik apabila banyak sangat aduan diterima. Ada
juga pesakit yang bertanya kepada pokcik perihal perawat yang
merawatnya. Yang ni memang pokcik tak setuju. Sepatutnya, kalau tidak
yakin, jangan minta perawat berkenaan ikhtiarkannya. Jangan dah separuh
jalan baru bertanya sana sini. Lagi satu, siapa pokcik untuk menilai
orang lain?
Pokcik pun seperti orang lain juga. Ada salah dan
silapnya. Kita bukannya maksum. Perawat juga tidak berkecuali merungut
terhadap pesakit. Pesakit dikatakan lebih berminat untuk bertanya itu
ini tentang sakitnya. Siapa yang buat? Kenapa dia buat? Sihir apa yang
dia buat? Sihir orang asli, siam atau apa dan sebagainya.
Tak
kurang juga yang menghubungi pokcik semata-mata kerana ingin meminta
pokcik membalas atau menghantar sihir yang dikenakan kepadanya kepada si
pelaku. Terasa macam ahli sihir pulak pokcik ni. Hihihi. Ada juga
pesakit yang berjanji untuk datang. Perawat membatalkan segala janji
temu dengan pesakit lain kerana tidak ingin bertembung dengan pesakit
lain.
Jenuh tunggu, sebab pesakit berkenaan tidak muncul-muncul.
Gamaknya pesakit itu tidak menghubungi perawat berkenaan untuk
membatalkan janji yang telah dibuat. Wallahua'lam. Namun begitu, macam
pokcik cakaplah sudah tentu ada pahit dan manisnya. Ada juga pesakit
yang mewakafkan tanah atas nama kita apabila kita tak mahu mengambil
mahar.
Ada juga yang memasukkan nama kita apabila mereka
mengadakan kenduri doa selamat. Ada juga yang menghadiahkan wang ke
tabung masjid dan niatkan atas nama kita. Sesungguhnya perjalanan
seseorang dalam sesuatu bidang atau di atas muka bumi Allah ini telah
dirancang dan ditetapkan oleh Allah. Berdoalah kepada Allah agar kita
tergolong dalam golongan orang-orang yang beruntung pada hari akhirat
kelak.
Ada perkongsian daripada perawat mahu pun pesakit
berkaitan dengan perubatan ni pokcik alu-alukan selagi tidak menyebut
nama si polan. Kita ambil ikhtibar dan pengajaran daripada perkongsian
para sahabat dan memuhasabah diri sendiri. Banyak lagi sebenarnya kalau
pokcik ingin kongsikan namun cukuplah setakat itu buat kali ini. Maaf
andai ada terkasar bahasa dan terlanjur bicara. Wallahua'lam. Salam
hormat.