Sunday, 28 June 2020

TOMPOK HITAM DALAM PERUT


بِسْـــــــــمِ اَللّهِ الرّحْمن الرّحيم
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Sahabat yang dikasihi;

Alhamdulillah kerana masih diberikan ehsan oleh Allah untuk bernafas. Pada kesempatan yang diberikan ini, Encik Omar akan kongsikan satu lagi kisah dan semoga apa yang dipaparkan pada kali ini menjadi ikhtibar buat kita semua. Sebenarnya kisah kali ini berkisar tentang seorang hamba yang pokcik usahakan pada malam Sabtu baru-baru ini. Hamba Allah itu pokcik namakan sebagai Zaiton (bukan nama sebenar).

Pokcik sampai di Kuantan dari Muadzam sudah lewat petang. Sebaik sahaja sampai di rumah, orang rumah pokcik memberitahu bahawa sahabat sekerjanya meminta pokcik usahakan orang rumahnya. Amboi, tak sempat hilang penat perjalanan dan belum sempat berlunjur kaki lagi sudah ada tugasan baru. Nak menolak, menolong hamba Allah yang amat-amat memerlukan ikhtiar merupakan HOBI pokcik. Pokcik anggap menolong orang dalam bidang mistik ini sebagai HOBI sahaja serta dilakukan kerana Allah dan tidak lebih daripada itu.

Suami Zaiton merupakan rakan sekerja dengan orang rumah pokcik. Menurutnya, hospital sudah seperti rumah kedua bagi mereka. Apa tidaknya, KMC, KPJ, Hospital UIA, HTAA sudah menjadi rutin kehidupan mereka. X-Ray dilakukan dan dilihat ada tompok hitam pada bahagian perutnya seperti ketumbuhan. Apabila melihat hasil X-Ray mereka meneruskan rawatan dengan membuat CT-Scan. Hasilnya, tompok hitam berupa ketulan itu hilang. Para doktor pun sudah naik buntu dengan keadaan itu. Akhir sekali pihak hospital membuat rumusan ia  berlaku akibat perubahan hormon bagi perempuan yang akan menopause.

Setelah puas ikhtiar secara moden, mereka mula mencari perubatan Islam. Mereka telah ikhtiar dengan beberapa orang ustaz dan Pusat Perubatan Islam namun masih juga menemui jalan buntu. Si isteri sudah kehilangan berat sebanyak berbelas kilogram tanpa perlu berdiet. Begitu juga berat badan suaminya yang hilang kerana setia menunggu dan berjaga malam menemani si isteri yang sakit. Pada awalnya, pokcik agak liat juga mahu ke rumah hamba itu Allah itu kerana masih penat kerana perjalanan namun apabila mendengar kisah yang disampaikan oleh orang rumah pokcik, perasaan simpati pula muncul.

Lebih kurang pukul 9.40 malam pokcik bergerak menuju ke rumah hamba Allah itu yang terletak di tanah lot RTP Bukit Goh. Akhirnya kami sampai di sebuah rumah yang agak besar. Maklumlah mereka mendirikan rumah di tanah sendiri. Oleh kerana mereka menggunakan pintu pagar elektronik maka kami terpaksa menelefonnya untuk membuka pintu pagar rumahnya. Akhirnya barulah kami masuk ke perkarangan rumahnya yang agak luas.

Seorang lelaki yang berumur dalam lingkungan 50-an keluar dari rumah itu dan menyambut kami. Beliau hanya mengenakan t-shirt, berkupiah dan menyarung kain pelekat. Beliau mempersilakan kami masuk ke rumahnya. Seperti biasa, pokcik akan cuba melengah-lengahkan masa bagi memberikan peluang kepada tuan rumah bersedia menerima kehadiran kami. Manalah tahu mereka tak sempat untuk bertudung dan sebagainya.

Hamba Allah itu memang hanya mengenali isteri pokcik jadinya dia memandang pokcik dengan seribu satu pertanyaan. Pokcik faham sangat dengan riak muka seseorang. Maklumlah, kehadiran pokcik di situ hanya dengan memakai t-shirt berlengan pendek serta berseluar jeans. Mungkin penampilan pokcik agak berbeza dengan ustaz perubatan yang pernah mereka kunjungi yang berpenampilan lebih Islamik. Pokcik tidak kekok dengan keadaan itu kerana sudah biasa mengalaminya. Semalam pun pokcik dijemput menghadiri majlis sambutan hari jadi oleh sepasang suami isteri yang pernah pokcik usahakan. Ketika berbual semalam, si suami secara jujur mengakui bahawa dia juga tidak menjangka bahawa pokcik sangat simple berpakaian ketika datang usahakan mereka suami isteri dahulu. Pokcik hanya tersenyum.

Kita Kembali pada kisah kali ini. Akhirnya kami pun masuk ke dalam rumah. Pokcik memberikan salam lalu disambut oleh ahli keluarga si sakit iaitu isteri dan anak daranya. Si isteri kelihatan terbaring di tengah ruang tamu dan bersusah payah bangun duduk ketika kami masuk ke rumah. Melihat wajahnya yang agak pucat, pokcik sudah faham bahawa beliau memang tidak cukup tidur kerana ia sudah diceritakan oleh orang rumah pokcik sebelum itu. Sebelum memulakan sesi rawatan pokcik sempat berbual dengan si sakit bagi meredakan ketegangan.

Omar : Maaflah kami datang lewat. Saya pun baru sampai dari Muadzam. Tidur dah ke?
Zaiton : Dah tidur. Biasanya saya tidur pukul 7.00 malam. ( Mungkin selepas solat Maghrib). Kalau tak tidur, payah dah saya nak tidur. Malam ni susahlah saya nak tidur.

Omar : Macam tu.
Zaiton : Ya. Sekarang saya terpaksa menelan ubat tidur sebab susah nak tidur.
Omar : Sebenarnya puan sakit macam mana?

Zaiton : Entahlah. Saya susah nak tidur terutamanya dalam bilik. Saya risau, gelisah, panas dan macam-macam. Saya dah hilang 17 kg kerana tidak dapat tidur malam.

Omar : Jangan amalkan makan ubat tidur, bahaya. Sebelum ni berubat macam mana?
Zaiton : Sudah puas saya ke HTAA, KMC, KPJ, UIA dan sebagainya. Saya kasihan sangat dengan suami saya sebab dia terpaksa bersedia bila-bila masa sahaja untuk menghantar saya. Sampai satu tahap, saya meminta dia menelefon ambulans sahaja untuk mengambil saya ke hospital.

Omar : Oooo. Ikhtiar perubatan moden sahajalah. Kenapa tak ikhtiar perubatan Islam?
Zaiton : Dah. Saya berjumpa Ustaz Solehuddin (bekas murid TGHD). Katanya saka. Dia MENETAPKAN HARGA bagi tiap-tiap jenis penyakit. Harga saka lain, harga gangguan biasa lain dan sebagainya. Dia kata saya ada saka. Saya berjumpa dengan Ustaz Khalil, dia kata gangguan jin. Dia tak ulas apa-apa. Saya berjumpa dengan Ustaz Razali. Dia kata sihir dan orang dengki kepada saya. Saya dah maafkan sesiapa sahaja yang sihirkan saya itu.

Omar : Ada mimpi memnyusu baby ke?
Zaiton : Ada. Lama dahulu saya kerap bermimpi menyusu bayi. Baru malam tadi saya bermimpi lagi menyusu bayi.

Omar : KEMUNGKINAN saka. Tapi entahlah. Ada nampak macam kelibat atau diperhatikan ke?
Zaiton : Ada. Masa di rumah lama selalu macam tu. Boleh pisahkan ke saka tu?

Omar : In shaa Allah boleh. Kita ikhtiar sahaja. Saya nak kata confirm tak boleh sebab itu semua kehendak Allah. Saya tak ada kuasa apa-apa. Sekadar ikhtiar sahaja.

Dipendekkan cerita, si sakit turut memberitahu bahawa dia telah terjumpa sebentuk cincin gelang rotan di bawah rumah emaknya. Cincin emas itu tidak diketahui tuannya. Setelah puas bertanya, tidak siapa pun tahu akan tuannya. Oleh itu, dia menyimpannya sehingga kini. Pokcik meminta kebenaran untuk melihat cincin itu. Dia akhirnya meminta anak daranya mengambil beg galasnya yang terletak di dalam bilik. Setelah dibawa beg galas itu, dia akhirnya mengeluarkan cincin emas itu yang diletakkan dalam satu balutan kertas.

Memang lain macam aura cincin emas itu. Pokcik menggenggam cincin itu lalu doakan dan ikhtiar untuk mengosongkan kandungan dalam cincin itu. Setelah itu pokcik mengembalikan semula cincin itu kepadanya.

Setelah itu pokcik menghampiri hamba Allah itu untuk memulakan tugas seterusnya.

Omar : Saya akan usahakan puan. Saya akan pisahkan saka itu. Puan mahu lagi ke saka itu?
Zaiton : Sakit ke pokcik? Saya serik dah berubat. Haritu semasa berubat dengan Ustaz Razali, dia picit lengan saya dan sebagainya. Sakit sangat.

Omar : In shaa Allah, saya langsung tak akan menyentuh dan memegang puan. Puan nak lagi saka tu?
Zaiton : Tak mahu.

Omar : Baiklah. Puan bertenang sahaja. Ingat Allah dan zikirlah apa sahaja dalam hati.
Zaiton ; Baiklah

Setelah itu pokcik memulakan doa dan memohon kepada Allah agar dipermudahkan urusan kami dan agar dipisahkan saka itu. Tidak ada kepelikan atau rasukan berlaku ketika sesi rawatan. Cuma ada sesekali dia menundukkan kepalanya dan menggigil secara tidak sengaja seperti kesejukan. Alhamdulillah tak ada kejadian yang tidak diingini berlaku. Setelah selesai, pokcik memohon diri untuk balik. Maklumlah, waktu pun sudah hamper pukul 11.00 malam. Sebelum balik, pokcik sempat berpesan kepada si suami agar memaklumlah dengan segera sekiranya sesuatu yang mencurigakan.

Keesokan harinya (semalam), pokcik meminta orang rumah pokcik menelefon suami si sakit untuk mengetahui perkembangan isterinya itu. Panggilan pertama tidak dijawab. Risau juga pokcik akan keadaan itu. Namun, tidak berapa lama si suami menelefon semula. Dia minta maaf kerana tidak menjawab panggilan telefon orang rumah pokcik. Dia sedang bermain badminton katanya. Alhamdulillah si isteri sudah boleh tidur malam. Dia tidur dengan nyenyaknya seizin Allah. Apabila dia bangun pagi, si isteri sudah membasuh pakaian dan menyiapkan sarapan buatnya. Selain itu, si isteri juga meminta suaminya pergi bermain badminton bersama kawan-kawannya kerana kasihan melihat si suami asyik terperap di rumah kerana dia sakit dan asyik terbaring sahaja.

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah. Sebagai hamba Allah, memohonlah kepada-Nya dan jangan sesekali menyengutukan Allah dengan setiap sesuatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Jangan putus asa dalam meminta dan merayu kepada-Nya kerana sikap putus asa sudah hamper kepada KEKUFURAN dan boleh menghilangkan serta menipiskan keimanan kita. Ingatlah para sahabat, Allah tidak menurunkan penyakit melainkan diturunkan bersama dengan penawarnya. Sekian sahaja perkongsian pada kali ini. Moga memperoleh manfaat daripada perkongsian pokcik pada kali ini. Moga berjumpa lagi. Salam hormat.







No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.