Sunday, 7 June 2020

PENGSAN DI MUKA PINTU


بِسْـــــــــمِ اَللّهِ الرّحْمن الرّحيم
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Sahabat yang dikasihi;

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah kerana dipertemukan sekali lagi di ruangan ini. Sebelum Encik Omar melanjutkan perkongsian pada kali ini, pokcik suka mengingatkan kepada sesiapa yang sedang berusaha mencari perawat di luar sana, berhati-hatilah dengan segelintir perawat yang suka mengambil kesempatan terhadap kesusahan orang lain. Jangan kata pesakit mudah ditipu oleh perawat yang usahakannya dari jarak jauh tetapi ikhtiar berdepan atau bersemuka juga mengundang masalah sekiranya kita tidak berhati-hati…

Sekali lagi nama dan imej Islam tercemar. Kali ini gara-gara kos rawatan berharga RM32,800 yang dikenakan ke atas pesakit oleh individu yang bergerak atas nama Pusat Rawatan Islam.
Kejadian berlaku di Melaka dan menjadi buah mulut orang ramai apabila gambar resit sebut harga dikeluarkan pusat rawatan berkenaan tersebar luas serta menjadi viral di laman sosial.

Berikutan itu, pihak berkuasa pantas mengambil tindakan. Hasilnya, seperti dijangka suami isteri yang mengusahakan pusat rawatan berkenaan didapati melanggar banyak kaedah dan tatacara perubatan Islam. Malah, lebih mengejutkan siasatan turut mendapati si isteri adalah pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kategori mental yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka.

Dalam kes ini, mujur si pesakit tidak meneruskan rawatan. Lantaran kekurangan wang, dia hanya membayar kos rawatan awal berharga RM4,300 iaitu RM300 secara tunai manakala bakinya dengan menggadaikan seutas gelang emas. Apapun, kejadian ini menimbulkan kemarahan orang ramai. Kos RM32,800 yang dikenakan oleh si perawat membuatkan dia dianggap menipu, mengambil kesempatan ke atas pesakit yang terdesak serta menyalahgunakan nama Islam.

Insiden ini sewajarnya menghadirkan impak besar sebagai panduan dan iktibar kepada umat Islam serta organisasi kerajaan yang bertanggungjawab mengawal selia penyedia pusat rawatan Islam di negara ini. Iktibar pertama, umat Islam perlu sedar bahawa mendapatkan atau mengguna pakai khidmat pengamal perubatan Islam ada kaitan dengan soal akidah, halal, haram, dosa dan pahala.
Disebabkan bukan semua penyedia rawatan yang beroperasi di bawah nama ‘pusat rawatan Islam’ itu benar-benar mematuhi syariat Islam, pesakit atau bakal pesakit perlu rajin membuat ‘kerja rumah.’Maksudnya, jika kita ingin pergi berubat dengan sebuah pusat rawatan Islam atau seorang perawat bergelar ustaz atau haji, perlu disemak dan diselidik terlebih dulu adakah kaedah rawatannya benar-benar mematuhi syariat Islam.

Maaf jika ada yang tersinggung, namun sudah kerap berlaku individu bergelar ustaz dan haji terbabit dengan aktiviti bertentangan dengan syariat Islam. Ramai juga pihak yang menjadikan label Islam sebagai komoditi dan tarikan komersial.
                                                                                            (SUMBER: HMETRO.COM.MY)

Jadi kalau sebelum ni pokcik terbangkan sahabat ke Sarawak iaitu pokcik USAHAKAN seorang hamba Allah yang bukan beragama Islam, kali ini kita menjelajah ke negeri jirannya iaitu Sabah. Maksudnya kita ke seberang laut walaupun bukan ke luar negara. Pokcik pernah dengar, orang yang menggunakan ilmu berkaitan dengan penggunaan jin atau hantu tidak boleh menyeberangi tujuh sungai. Apatahlagi sekiranya menyeberangi laut. Entah betul atau tidak, namun ada juga kebenarannya kerana JIN LAUT lagi POWER daripada JIN DARAT. Sesiapa yang pernah berurusan dengan kes yang melibatkan jin laut, akan tahu kebenaran pernyataan pokcik ini. Jadi faham-faham sahajalah apa yang pokcik nak sampaikan itu.

Nak dijadikan cerita, suatu hari pokcik dihubungi oleh sahabat kita iaitu Puan Nisa yang  meceritakan perihal sepupunya di Sabah. Agak-agak pokcik akan usahakan tak dari jauh sekiranya si sakit tidak berikhtiar secara berdepan dengan pelbagai usaha terlebih dahulu? Puan Nisa juga sahabat FB pokcik, jadinya kalau ingin kepastian, sahabat boleh bertanya terus kepada beliau. Menurut Puan Nisa, sepupunya itu sudah berikhtiar di merata-rata tempat di Sabah tapi masih belum jodoh. Yang syoknya salah seorang Ustaz Perawat ( Maaf pokcik sebut Ustaz perawat, sebab USTAZ betul ialah GURU AGAMA dan mempunyai pengkhususan dalam satu-satu cabang agama) di Papar boleh berkata bahawa beliau tak boleh buat apa-apa sebab melibatkan saka keturunan.

Apabila bercerita bab saka keturunan, pernah juga pokcik baca satu komen daripada seorang Ustaz Perubatan dalam satu Group Ruqyah Syarriyah bahawa kita hanya boleh menjauhkan tetapi bukan memisahkan saka. Pada mulanya pokcik membalas komen beliau, tetapi apabila difikirkan bahawa TIADA FAEDAH untuk berdebat perihal pengetahuan seseorang maka pokcik padamkan semula komen itu. Pokcik tak mahu bercerita bab ilmu sebabnya pokcik bukannya ahli tambahan pula bimbang bab HATI kita yang sering berbolak-balik ini.


Tapi kalau nak difikirkan secara logic akal, takkan kita nak biarkan jin syaitan yang mengganggu umat Islam ini begitu sahaja. Mana letaknya istilah kita sebagai KHALIFAH di atas muka bumi ini. Apabila ada KEAKUAN DIRI yang menebal dalam kalangan perawat seolah-olah mereka yang MENYEMBUHKAN tanpa mereka sedari maka perkara ini terjadi sekiranya pesakit itu tak dapat diubati atau tidak diberikan kesembuhan oleh Allah. Sepatutnya perawat lebih bersifat terbuka dan meminta pesakit berikhtiar dengan orang lain dan bukannya membuat pernyataan tertentu sebagai HELAH BELA DIRI bagi menutup KELEMAHAN DIRI sekiranya usaha masih tidak diperkenankan oleh Allah. Kalau pokcik berkata perawat jenis ini ego, nanti orang marah dan berasa hati. Pokcik suka cakap terus terang sahaja tidak ada belok-belok kalau melibatkan perkara seumpama ini.

Setelah tidak berjodoh dengan Ustaz Perawat di Papar, mereka memanggil pula anak murid Ustaz SS. Nazmi Pakndak kenal sangat agaknya dengan Ustaz SS. Maklumlah popular dan sering dipanggil dalam rancangan perubatan Islam dalam televisyen. Kali ini mereka datang beramai-ramai ke rumah hamba Allah ini seperti kebiasaannya dilakukan oleh mereka. Kalau datang lima atau enam orang boleh dikatakan ramai kot.. Huhuhu.. Namun, usaha kali ini juga masih tidak berjodoh. Ikhlas tanpa berselindung pokcik diberitahu bahawas keadaannya semakin teruk selepas berubat dengan mereka. Bukan nak perlekehkan sesiapa tapi apa yang ingin pokcik sampaikan ialah nama atau kemasyhuran tidak menjamin kesembuhan kerana semuanya hak Allah.

Dia dikatakan membaling habis benda yang terdapat di dalam rumah. Habislah gelas, cawan dan sebagainya. Kiranya tahap parah dah. Kalau tak parah sangat lagi pokcik akan minta keluarga kepada sepupu Puan Nisa usahakan atau ikhtiar secara berdepan lagi sehingga menemui jalan penyelesaian seizin Allah. Antara kepelikan yang berlaku, si sakit akan pengsan kalau nak dibawa berubat. Macam mana tu? Sampai saja ke muka pintu dia akan jatuh pengsan. Letih kalau nak angkat orang pengsan. Tubuh mereka dah seperti kain buruk. Pernah pokcik angkat seorang hamba Allah yang pengsan bersama dengan suaminya setelah pokcik ikhtiarkan, bukan main berat lagi biar pun badannya kurus sahaja.

Dia juga dikatakan menjadi murung dan sering memencilkan diri di dalam bilik sahaja. Apabila keluar dari bilikitu, dia akan mula nak mengamuk. Puas nak tepis juga tu. Ilmu elak  tok guru belum ajar kata Aziz Sattar. Hahahahahahaha. Pernah dahulu dia balik ke kampungnya di Johor dan kebetulan Puan Nisa ada di sana. Keadaanya juga sama. Seboleh-bolehnya dia akan mengelakkan diri daripada keriuhan orang ramai yang berkumpul. Apabila Puan Nisa berada di luar bilik, dia akan masuk ke dalam bilik. Begitulah sebaliknya. Ada tak kena laa tu.

Khabarnya dia jadi berkelakuan begitu sejak datuknya meninggal dunia. Sejak tu bermacam-macam yang mereka dengar di atas atap rumah. Hantu itu suka bergurau agaknya atau jin berkelakuan begitu untuk menunjukkan kewujudan mereka. Mata hamba Allah ini dikatakan merah apabila bulan mengambang. Dah macam mata serigala jadian matanya itu. Seram sangat ni.

Pokcik ni bukannya pandai sangat pun. Jadi dah depa mintak tolong pokcik hemboiihh pii laa mohong-mohong. Malam dibuat tu sahabat kita ni pulak diserang. Tudia aih tolong habaq kat pokcik pun kena serang jugak. Telapak kaki kirinya dikatakan seolah-olah mencucuk-cucuk. Apabila terjadi perkara seperti itu, pokcik fokuskan dahulu sepupunya. Alhamdulillah Allah sekali lagi permudahkan urusan pokcik. Setelah itu barulah pokcik usahakan Puan Nisa pula. Puan Nisa perawat juga tetapi seperti doktor, orang lain yang memberi suntikan kepadanya sekiranya dia sakit, bukannya dia suntik sendiri. Faham kot maksud pokcik itu. Sekali lagi Allah memberikan ehsan-Nya. Puan Nisa kembali seperti sedia kala.

Keesokan harinya Puan Nisa memberitahu bahawa sepupunya itu sudah mula ke dapur. Alhamdulillah dah mula memasak dan sebagainya. Keluarganya terus mengadakan kenduri kesyukuran sebagai tanda bersyukur atas kesembuhan yang Allah berikan atas usaha mereka. Pokcik doakan semoga seluruh keluarga depa yang baik ini dilindungi oleh Allah. Sekian sahaja perkongsian pada kali ini. Sesungguhnya ujian yang diberikan oleh Allah menunjukkan Allah sayang kepada kita dan meminta kita memohon, berdoa, mendekatkan diri kepada-Nya. Berusahalah tanpa jemu dan pastikan perawat berkenaan mengikuti syariat Islam yang sebenar tanpa menyegutukan-Nya. Sekian perkongsian pada kali ini. Moga berjumpa lagi. Wallahua'lam. Salam hormat.



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.