بِسْـــــــــمِ
اَللّهِ الرّحْمن الرّحيم
السَّلاَمُ
عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Sahabat yang dihormati;
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah atas nikmat kesihatan
yang diberikan oleh-Nya. Doa buat kaum muslimin dan muslimat yang sakit dan
diberikan ujian oleh Allah semoga cepat sembuh dan mudah beribdah kepada-Nya.
Kali ini Encik Omar akan kongsikan satu lagi kisah. Kisah kali ini melibatkan
seorang ibu tunggal di Mentakab Pahang.
Kisah bermula apabila pokcik berjumpa dengan seorang sahabat lamanya di sebuah kedai. Oleh sebab dia mengenali pokcik, maka dia bercerita tentang sahabatnya itu dan meminta pokcik usahakan hamba Allah itu. Menurutnya si pesakit berada di Mentakab kerana bekerja di sana dan susah untuk datang berjumpa dengan pokcik.
Soalan pokcik yang biasa, adakah dia sudah berusaha secara
berdepan dengan mana-mana perawat? Tambahan pula, setahu pokcik di Mentakab ada
Pusat Perubatan Darul Shifa. Pokcik ingin meminta maaf kepada sahabat-sahabat
yang lain kerana setakat ini pokcik suka mengesyorkan pusat perubatan itu
kepada pesakit kerana mahar yang dikenakan adalah seikhlas hati. Wallahua’lam.
Banyak yang kami bualkan pada malam itu namun kesimpulannya
si sakit masih lagi mengalami gangguan yang sama. Serba salah juga pokcik nak
menolak permintaan sahabat ini kerana sudah lama pokcik mengenali beliau.
Jadinya, sekali lagi pokcik TERPAKSA usahakan hamba Allah itu secara jarak
jauh. Pada awalnya si sahabat ini ingin memberikan nombor telefon pokcik kepada
ibu tunggal itu namun seperti biasa pokcik memohon maaf dan menegaskan bahawa
pokcik hanya akan usahakan sekiranya dia menjadi orang tengah antara pokcik dan
si sakit.
Pokcik tak mahu berkongsi secara terperinci tentang
perawatan yang dilakukan pada malam itu namun menurut sahabat pokcik yang
ditemui beberapa hari kemudian si ibu tunggal itu sudah sembuh daripada
sakitnya seizin Allah. Dia ucapkan ribuan terima kasih kepada pokcik atas
ikhtiar yang dibuat...Menurutnya lagi, si sakit itu memang sebelum ini selalu
nampak kelihat arwah suaminya. Ketika solat, dia akan berasa dan nampak dengan
ekor matanya arwah berada di sebelah.
Selain itu, pada malam, ketika dia nak keluar dari rumahnya
untuk ke mana-mana, dia akan nampak arwah berada di kerusi di halaman rumahnya.
Boleh kata si sakit ini walau bagaima cara sekalipun, dia terpaksa memberanikan
diri untuk keluar... Kalau tidak, urusan yang TERPAKSA dilakukan pada sebelah
malam sama ada pergi ke kedai, rumah jiran atau sebagainya tidak dapat
dilakukan.
Si sakit ini mengenali arwah ketika dia sedang menjanda.. Arwah
bukanlah orang muda tetapi umurnya agak lanjut. Sesuatu kepelikan berlaku pada
awal perkenalan mereka. Sebaik sahaja mengenali arwah, dia terus dibawa ke
sebuah tempat. Dia hanya mengikut seperti dipukau. Rupa-rupanya, dia dibawa ke
rumah tok kadi dan terus menikah. Hahhahahhaha... Jodoh agaknya. Kalau tidak
pun, dibodohkan. Wallahua’lam.
Apabila balik ke rumahnya barulah dia sedar bahawa dia
telah menikah dan secara rasminya menjadi isteri kepada orang tua itu. Katanya
lagi, orang tua itu sudah mempunyai isteri yang ramai dan kerjanya menipu,
berjudi dan sebagainya. Dia tidak bekerja dan mengharapkan duit si isteri yang
dinikahinya untuk menanggung kehidupannya.. Nampak seperti cerita dalam filem
tetapi itulah yang sebenarnya telah terjadi dan memang berlaku dalam masyarakat
kita di luar sana.
Namun, manusia tidak boleh menongkat langit. Apabila tiba
masanya pastu kita akan dijemput untuk menemui Sang Pencipta. Dia akhirnya
telah meninggal dunia. Dia begitu susah untuk menghembus nafasnya yang
terakhir. Begitu azab ketika berhadapan dengan sakaratul maut. Banyak amalan
yang bertentangan dengan agama dikatakan diamalkan olehnya. Setelah si suaminya itu
meninggal dunia, barulah si sakit ini mengalami pelbagai kejadian aneh.
Dia akan gatal di seluruh tubuhnya ketika berada di dalam
rumah itu. Keluar sahaja dari rumah, gatalnya akan hilang... Lama dia
menanggung dan berubat di hospital mahupun berjumpa bomoh. Ketika gatal datang
menyerang ia akan menyerang bahagian dada menyebabkan dia tidak boleh bernafas.
Setelah itu, bahagian perutnya akan kejang dan keras apabila sakit menyerang
bahagian perut pula.. Ketika itu, dia terpaksa memandu ke hospital atau klinik
dalam keadaan tidak boleh bernafas dan kejang pada bahagian perut..
Oleh sebab sudah terlalu lama menanggung dan berulang-alik
ke hospital, dia mencuba pula rawatan tradisional atau Bahasa kita, berubat
kampung.
Bermacam-macam pengalaman ditempuhinya dan dirasai olehnya sepanjang
dia berubat. Sebab itulah kepercayaannya terhadap rawatan alternatif ini semakin
pudar. Pernah dia dibawa oleh seorang sahabatnya berjumpa dengan seorang bomoh
dari seberang.Memang lain macam rawatannya apabila mengetahui dia janda.
Mula-mula urut kaki, lepas itu urut tangan dan usap tangan. Alhamdulillah dia
sedar dan memberitahu bomoh itu, dia period. Dia terselamat dari bomoh itu dan
terus mengajak kawannya balik.
Begitulah sebahagian daripada kisah hamba Allah dari
Mentakab yang pokcik usahakan dari jarak jauh itu . Pokcik kongsikan sebagai
pengajaran dan ikhtibar buat semua. Pokcik bukan bertujuan nak mengaibkan sebab
sahabat semua tidak tahu pun siapa watak yang pokcik kongsikan ini. Moga
peroleh manfaat dan jadikan panduan ketika hidup dan mencari penyelesaian
masalah dengan cara yang betul dan diredhai Allah.
Sebelum pokcik menutup kisah ini, pokcik akan lampirkan
suatu pendapat tentang BIDAAH yang sering menjadi pertikaian terutama dalam bab
rawatan.
Imam Syafie membahagikan bidaah kepada dua jenis, iaitu
bidaah dipuji dan bidaah dikeji, iaitu apa yang selari dengan sunnah, maka ia
dipuji, manakala perkara yang bertentangan dengannya, maka ia dikeji. Malah
ramai ulama yang bersetuju dengan pendapat yang diutarakan oleh Imam Syafie
seperti Imam Ibnu Abd al-Barr dalam kitabnya, al-Istizkar; Imam Ghazali (Ihya’
‘Ulum ad-Din) dan Imam Nawawi (Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat).
Bidaah hasanah ialah perkara atau amalan baharu yang tidak
ada contoh daripada Nabi Muhammad SAW tetapi ia mempunyai dalil yang umum atau
tidak bertentangan dengan syarak, manakala bidaah dhalalah pula ialah perkara
atau amalan baharu yang tidak ada contoh daripada Baginda serta tidak mempunyai
dalil yang umum atau bertentangan dengan syarak.
Pahala amalan sunnah
Muhadir berkata, walaupun ada golongan yang menolak
pendapat mengenai ada bidaah hasanah, ada dalil yang menyebut mengenainya.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengadakan dalam
Islam sunnah yang baik lalu diamalkan orang kemudian sunnahnya, diberikan
kepada-Nya pahala seperti pahala orang yang mengikutinya tanpa mengurangi
pahala mereka sedikitpun. Dan barang siapa membuat sunnah yang buruk, kemudian
sunnah itu menjadi teladan, maka ia akan mendapatkan dosa dari perbuatannya
secara sempurna berserta dosa orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa
mereka sedikitpun.” (HR Ibnu Majah)
Menjelaskan hadis itu, Muhadir berkata, ia menunjukkan
Rasulullah SAW membenarkan untuk mengadakan, membuat dan mewujudkan sunnah baik
asalkan tidak bertentangan dengan al-Quran dan sunnah.
“Dalam konteks ini mengadakan bidaah hasanah adalah suatu
galakan daripada Rasulullah SAW dan mendapat pahala, manakala mengadakan amalan
bidaah dhalalah yang bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah adalah dilarang,”
katanya.
At-Tark tidak menatijahkan hukum
Muhadir berkata, dalam membahaskan mengenai bidaah juga
tidak boleh lari daripada perbahasan mengenai at-tark (apa-apa yang tidak
dibuat oleh Nabi SAW). Ini kerana at-tark menjadi alasan untuk mengatakan
sesuatu yang tidak pernah dibuat oleh Baginda sebagai bidaah.
Berdasar kaedah fiqh itu, tegas beliau, at-tark tidak
menatijahkan hukum makruh atau haram, iaitu sesuatu amalan yang tidak pernah
dilakukan oleh Nabi SAW tidak semestinya haram atau tidak boleh dilakukan.
“Hakikatnya ramai Sahabat RA yang melakukan perkara dan
amalan yang tidak pernah dibuat serta diajar oleh Rasulullah SAW atau tidak
disuruh oleh Baginda kerana memahami bahawa ia tidak haram dilakukan. Antaranya
Nabi SAW tidak makan daging dhab kerana tidak biasa memakannya, namun bukan
bermakna daging dhab itu haram.
“Malah ada riwayat yang jelas menunjukkan Rasulullah SAW
membolehkan inisiatif baharu yang berkaitan dengan doa dan bacaan termasuk dalam
ibadat seperti solat walaupun tidak diajar dan diamalkan oleh Baginda selagi
tidak keluar dari batasan syariat.
“Selepas kewafatan Rasulullah SAW, Sahabat RA dan ulama
tersohor seperti Imam Syafie serta Imam Ahmad yang terkenal dengan keluasan
ilmu dan kefahaman agama melakukan perkara dan perbuatan yang tidak pernah
dilakukan Baginda. Hal itu menunjukkan bukti jelas bahawa melakukan sesuatu
yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah dibolehkan dan bukannya
bidaah dhalalah,” katanya.
Jangan cepat menghukum
Justeru, Muhadir menasihatkan masyarakat agar tidak
disempitkan dengan perbezaan pendapat yang wujud dalam mazhab kerana perbezaan
pemahaman dan istinbat adalah lumrah dan tabii bagi akal manusia, sebaliknya
umat Islam harus berbangga dengan perbezaan ilmu fiqh yang ditinggalkan.
“Selain itu, jangan menuduh orang yang mengamalkan amalan
yang kita tidak sependapat sebagai sesat, pembuat bidaah atau khurafat
sebaliknya menghormati hujah dan alasan yang diberikan,” katanya.
Wallahua’lam. Salam hormat.
( SUMBER: BERITA HARIAN ON LINE)
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.