Tuesday 13 June 2017

PELANGI BERKEPALA KERBAU

Assalamualaikum...

Alhamdulillah bertemu lagi buat sekian kalinya. Dua hari lepas, orang rumah pokcik dapat panggilan dari Johor. Rupanya mak saudaranya yang berikan nombor orang rumah pokcik kepadanya. Katanya dia ingin meminta pokcik berikhtiarkan emaknya. Dia memberitahu telah membawa emaknya ke hospital untuk membuat pemeriksaan tetapi doktor tidak dapat mengesan punca masalah. Dah tentu ada masalah. Kalau masalah fizikal tiada sudah tentu ia berkaitan dengan mistik..

Menurutnya, emaknya menggigil tiga atau empat jam sekali. Simptom itu sama dengan yang dialami oleh arwah neneknya dahulu. Neneknya dahulu penuh dengan misteri juga. Dia dikatakan melihat pelangi minum air ketika sedang membasuh kain di sungai. Selalunya kita hanya melihat pelangi di awan dan tidak nampak kepala dan ekornya...

Neneknya melihat kepala pelangi itu sedang menghirup air. Kepalanya seperti seekor kerbau dan bertanduk. Ini yang diceritakan dan kesohehan cerita itu hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Setelah berjumpa dengan kepala pelangi banyak lagi kepelikan yang berlaku. Kata satu sumber, pada akhir hayatnya dia nak mengerjakan solat pun susah. Sebab musababnya hanya Allah yang tahu.. Katanya nak angkat tangan untuk takbir pun susah. Wallahua'lam.

Baiklah, pokcik kembali kepada tajuk. Setelah dia menelefon dan bercakap sendiri dengan pokcik maka pokcik bersetuju untuk ikhtiarkan emaknya sekiranya masalah itu tidak selesai pada keesokan harinya. Dia pun setuju dengan syarat pokcik.. Pada pagi semalam sekali lagi dia mesej. Orang rumah pokcik memberitahu bahawa keadaan emaknya masih belum berubah. Disebabkan sudah berjanji, pokcik minta dia hantarkan gambar emaknya itu.

Apabila pokcik tengok ternyata ia masalah saka. Serba salah juga nak beritahunya emaknya mempunyai saka. Oleh itu, pokcik meminta mak mertua pokcik yang merupakan anak saudara si sakit agar memberitahu perihal itu. Setelah diberitahu, dia menerima hakikat. Katanya neneknya dahulu pun sama keadaannya.. Dia minta pokcik ikhtiarkan.

Pokcik meminta orang rumah pokcik meminta gambar dan nama si sakit. Dia pun menghantarnya. Pada malam itu sekali lagi pokcik meminta orang rumah pokcik menghubunginya. Dia bercakap sendiri dengan pokcik pada malam itu. Katanya dia agak sedih kerana emaknya orang yang menjaga solat. Pokcik memintanya bersabar. Pokcik juga menerangkan ibunya bukanlah membela hantu. Jadi dia tak perlu malu..

Ketika ini dia mula menangis. Pokcik menenangkannya dan memberitahu pokcik akan berikhtiar. Selebihnya kita serahkan kepada Allah yang Maha Berkuasa. Dia juga bertanya adakah saka itu akan pergi kepada warisnya yang lain. In shaa Allah tidak kata pokcik. Ketika itu dia mengucapkan terima kasih kepada pokcik yang tidak terhingga.. Huhuhu. Usaha pun belum. Besar betul harapannya.

Setelah itu pokcik meminta si sakit bersedia. Seperti biasa, pokcik meminta dia istighfar sebanyak-banyaknya di dalam hati. Begitu juga pokcik memintanya agar berselawat sebanyak-banyaknya. Setelah itu barulah pokcik usahakannya. Pokcik pagar dia dari jauh agar saka itu tidak dapat lari. Setelah itu pokcik usaha untuk memutuskan hubungan mereka. Akhir sekali, pokcik ikhtiarkan menghapuskan segala jin yang mengganggunya. Alhamdulillah selesai segala urusan.

Setelah selesai, pokcik meminta orang rumah menelefon sekali lagi. Kali ini pokcik bercakap sendiri dengan si sakit. Alhamdulillah dah lega katanya. Badannya juga dah ringan. Alhamdulillah. Pokcik sekali lagi memujuknya. Katanya apa dosanya sehingga saka itu datang kepadanya. Pokcik memberitahu bahawa ada saka bukan sama dengan membela hantu. Bukan kehendak kita apabila saka datang bertandang. Apa yang kita perlu lakukan ialah ikhtiar buang dan putuskan segala hubungan agar saka ini tidak lagi pergi kepada pewaris yang lain apabila ketiadaannya kelak. Dia mula tenang dan mengucapkan terima kasih dengan suara yang agak lemah. Alhamdulillah selesai urusan pada malam itu.

Hari ini pokcik telah ke Tanah Putih Baru untuk bersolat Jumaat. Kebetulan rumah mak mertua pokcik di sana. Menurut emak mertua pokcik dia dihubungi oleh anak si sakit pagi tadi. Katanya emaknya sudah mula bangun sebelum subuh tanpa perlu digerakkan yang mana kelaziman bagi orang yang sakit. Dia juga telah mengutip kain baju yang kotor serta membasuhnya. Setelah itu diidaikan pula walaupun dah ditegah oleh anaknya. Dah sihat katanya. Alhamdulillah...

Pengajaran daripada kisah ni ialah kisah ini ialah kita tak perlu malu sekiranya kita mempunyai saka. Bukannya kita membela hantu. Kalau memelihara hantu dah tentu memang kita yang bersalah kerana meminta pertolongan selain Allah. Kita juga janganlah menyalahkan keturunan terdahulu. Mungkin pada masa itu mereka memerlukan pendamping seumpama itu bagi melindungi keluarga. Memang perbuatan itu salah dan kita sebagai pewaris haruslah mendoakan mereka yang telah pergi meninggalkan kita. Sebagai pewaris tanpa rela, kita hanya perlu usaha menyelesaikan masalah itu. Sesungguhnya ujian ini makin mendekatkan diri kepada Allah. In shaa Allah..

Sekian perkongsian pada kali ini. Moga kita terpelihara daripada segala musibah. Sesungguhnya setiap ujian yang datang terkandung hikmah disebaliknya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan memberikan ujian yang mampu dipikul oleh hambanya. In shaa Allah. Moga berjumpa lagi sekiranya dipanjangkan usia olehNya. Aamiin. Wallahua"lam. Salam hormat.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.