18.7.2018
Assalamualaikum...
Tajuk : Nenek tua
Sebenar-benarnya hamba Allah ini dah lama beritahu pokcik perihal masalahnya. Ingat tak pokcik pernah bagitahu seorang hamba Allah yang mengalami masalah tidak boleh membuang air besar.. Pokcik tanya, sudah lama mana masalah ini berlaku... Dia memberitahu bahawa sudah hampir setahun dia terpaksa menelan ubat untuk buang air besar... Kalau dia tak makan ubat berkenaan, dia tidak boleh membuang air besar. Selain ini lubang duburnya akan berasa sangat sakit seperti sembelit...
Dia kemudiannya menunjukkan kepada pokcik ubat yang dimakan olehnya... Kalau tak makan, tak boleh nak berak katanya... Huhuhuhuhu.. Dia pun menekan perutnya.. Keras katanya. Tak apa laa pokcik cakap... Semalam kebetulan pokcik free, walaupun tak berapa sihat daripada selsema namun kasihan pulak. Maklumlah sudah terlalu lama dia minta pokcik usahakan..
Kali ini pokcik usahakan di dalam bilik di kedai sahabat pokcik. Turut bersama ialah isteri pokcik, isteri sahabat pokcik serta anaknya. Oleh sebab masalah berkaitan dengan bahagian perut maka pokcik terpaksa meminta dia berbaring. Dia menurut sahaja.. Dadanya mula berdebar-debar dan dia mula kelihatan gelisah.. Katanya dia juga berasa nak menangis. Dia kemudiannya ketawa tetapi pokcik nampak bahawa ketawanya dibuat-buat...
Dia kemudiannya memicit perutnya sendiri. Sakit atau sebagainya pokcik tak tanya. Pokcik terus ikhtiarkan pagar kan dia.. Alhamdulillah selesai sahaja pagarkannya seizinNya, pokcik tanya apa yang dia rasakan ketika itu.. Katanya seperti ada tulang yang melekat dalam lehernya tetapi tidak lepas.. Dia cuba mengeluarkan tapi pokcik meminta dia bertenang.. Kemungkinan besar, jin itu ingin lari tetapi tidak lepas dan tersangkut pada bahagian lehernya. Wallahuaklam...
Tanpa melengahkan masa pokcik terus hembus pada bahagian perutnya. Dia memegang perutnya dengan kuat seperti menahan kesakitan.. Dia masih boleh bertahan.. Tidak lama kemudian, dia pun terbatuk-batuk. Dia akhirnya muntah... Entah tak terbilang banyaknya berapa kali dia muntah. Sahabat pokcik menyediakan plastik. Setelah itu dia diam dan akhirnya dia menangis. Sayu sangat suaranya diikuti dengan sendu sedan yang amat menyayat hati...
Sebenar-benarnya selepas pokcik ikhtiar pagarkan itu pokcik dah scan mohong-mohong. Saka.. Perkataan itu terpacul keluar dari mulut pokcik.. Isteri sahabat pokcik tanya, saka dari mana? Pokcik diam dan terus ikhtiar. Alhamdulillah akhirnya dia menunjukkan diri juga.. Kini pokcik berasa pokcik bukan lagi berhadapan dengan anak dara tetapi seorang perempuan yang sangat tua.. Mukanya tidak laa begitu hodoh daripada kerlingan pokcik pada wajah si sakit. Mukanya biasa sahaja tetapi terlalu tua....
Si sakit yang menangis pokcik biarkan dan tidak memujuknya. Tak guna memujuk hantu. Tiada manfaat... Kali ini pokcik doakan agar dibakar jin itu. Alhamdulillah dia mula teresak-esak namun tidak melawan.. Setelah itu barulah pokcik niatkan tarik gangguan yang sudah lama bersarang dalam perutnya. Setelah itu barulah pokcik ikhtiarkan keluarkan yang tersekat pada bahagian tengkuknya itu. Alhamdulillah lepas dan selesa semula dia menelan air liur... Tiada lagi lekat pada bahagian itu...
Namun begitu si sakit mula memegang kepalanya.. Dia menangis lagi kerana sakit.. Nampaknya pokcik hanya berjaya keluarkan dari tekaknya namun tak menarik buang habis gangguan itu... Oleh sebab tiada lagi kaitan dengan bahagian perut maka pokcik memintanya agar duduk. Dengan susah payah dia bangun. Dia memegang kepalanya yang terasa amat sakit sambil menangis. Dia juga menolak-nolak tudungnya sambil memicit kepalanya. Sabar, kata pokcik. Dia hanya menundukkan kepala sambil menangis. Kali ini pokcik karate mohong-mohong jin tu dan kurungkannya.
Alhamdulillah kepala dan belakang lehernya hilang serta merta kesakitan seizin Allah. Dia berasa sangat letih.. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan oleh Allah.. Pokcik pun keluar dari bilik dan diikuti oleh isteri pokcik. Setelah meneguk minuman, si sakit pun datang. Katanya dia berasa sangat letih dan tidak bermaya. Pokcik menegaskan kepadanya bahawa saka itu sudah terlalu lama berada dengannya. Pokcik pun bertanya, adakah dia tak pernah berubat sebelum itu. Takkan hanya bergantung dengan ubat farmasi sahaja..
Pokcik juga bertanya, adakah dia tidak tahu akan kehadiran saka itu. Dia kata dia tahu. Ramai perawat sudah memberitahunya perihal saka itu.. Dia pernah pergi berubat sehingga ke negeri Perak. Pokcik tanya mendengar kali ini apa yang ingin diceritakan olehnya. Dia diminta mandi tujuh jenis bunga. Mandi limau, dan macam-macam cara lagi.. Macam-macam jenis perawat dah dia jumpa. Namun, ada dalam kalangan perawat yang merawatnya mengatakan ada saka nenek tua padanya. Saka keturunan, kata perawat tu.. Salah seorang dari perawat itu memberitahunya bahawa saka itu tidak boleh dibuang kerana dah lama berada dengannya.. Ada juga perawat yang memintanya agar menerima saka itu. Saka baik katanya dan menjaga dia...
Pelik juga pokcik apabila ada jenis perawat yang suruh pesakit terima saka. Bagi pokcik kalau tak boleh usahakan, minta pesakit cari perawat lain bukannya menyuruh mereka menerima saka... Dia pun menyambung lagi ceritanya.. Katanya sebelum-sebelum ini dia tak pernah berasa apa selepas berubat. Biasa sahaja. Keadaan ini pokcik faham kerana saka akan lari sebaik sahaja tiba di rumah perawat. Pokcik pun bukannya reti sangat pun tapinya pokcik lebih suka ikhtiarkan pagar pesakit dahulu sebelum usahakan mereka...
Banyak lagi yang diceritakan kepada pokcik. Sememangnya begitulah. Apabila banyak tempat yang kita cuba ikhtiar maka sudah tentu pelbagai ragam perawat yang akan kita jumpa. Jadinya pokcik tak nak ceritakan kaedah atau cara yang dilakukan oleh perawat yang merawatnya sebelum-sebelum itu. Itu kaedah mereka dan kita kena pegang erat-erat bahawa manusia hanya usaha dan Allah Yang Menyembuhkannya... Alhamdulillah bicara kami berakhir di situ...
Petang tadi pokcik berjumpa dengannya. Dari jauh dia menyapa pokcik dengan cerita. Alhamdulillah dah boleh berak katanya.. Pagi tadi dia tak perlu makan ubat. Lama dah dia tak merasa buang air besar macam tu. Dia nak cerita dia berak dengan banyaklah tu. Alhamdulillah dia juga dah boleh tidur awal. Dah banyak tidur, payah pulak nak bangun, katanya. Sebelum-sebelum ini memang dia tidak boleh tidur dan amat susah untuk memejamkan mata. Kalau tidur, dia selalu akan bermimpi seorang nenek tua datang. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah yang memudahkan urusan pokcik dan pesakit..
Nikmat kesihatan dan kesembuhan milik Allah.. Jadinya bersyukur laa sekiranya Allah dah menyembuhkan. Sepatutnya kita hargai dan kalau selama ini jauh daripadaNya maka dekatkan diri secara perlahan-lahan tetapi pasti. Akhir kata nasihat pokcik padanya. Jangan makan ubat berkenaan lagi dah. Kalau sudah setahun, sudah banyak bahan kimia yang masuk ke dalam badannya dan boleh merosakkan ususnya. Dia diam sahaja dan sesekali menganggukkan kepala dan mengucapkan terima kasih kepada pokcik. Pokcik tanya ikhtiarkan tak ada apa kuasa pun. Sekadar usaha semampu pokcik sahaja. Apa pun alhamdulillah Allah permudahkan..
Moga berjumpa lagi. In shaa Allah. Salam hormat semua..
Santaiiiiiiii....
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.