Sunday, 19 July 2020

LIMAU DILEPASKAN


بِسْـــــــــمِ اَللّهِ الرّحْمن الرّحيم
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Sahabat yang dihormati;

Alhamdulillah. Pada kesempatan ini pokcik akan kongsikan satu lagi kisah. Moga kisah kali ini menjadi ikhtibar kepada kita semua agar jangan sesekali menjalinkan hubungan dan membuat perjanjian dengan jin. Kebiasaannya apabila disebut SAKA maka kita sudah tahu bahawa ia merupakan pusaka atau peninggalan orang terdahulu kepada pewarisnya.

Kisah kali ini berkisar tentang saka. Pada hari Rabu dua minggu yang lepas seingat pokcik, seorang anggota polis telah datang ke tempat kerja pokcik. Risau juga, manalah tahu pokcik ada melakukan apa-apa kesalahan. Namun demikian, kedatangan beliau disertakan dengan satu hajat. Beliau memohon jasa baik pokcik untuk pergi ke kediamannya di Bukit Ibam bagi melihat keadaan ibunya.

Menurutnya lagi, si ibunya itu sebelum ini tinggal di Terengganu akan tetapi apabila melihat keadaan si ibu yang tidak berapa sihat, maka beliau membawanya tinggal bersamanya. Pokcik difahamkan bahawa si ibu itu dibawa berubat sehingga di Kedah namun keadaannya masih begitu juga. Mungkin tidak serasi, bukannya perawat itu tidak pandai kerana memang itu bidangnya. Kalau kata pokcik tak pandai, itu memang betul sangat kerana pokcik bukanlah perawat. Pokcik hanya menolong sekadar mampu sahaja.

Oleh sebab pada minggu berkenaan pokcik sangat sibuk maka pokcik berjanji akan pergi ke kediamannya pada hari Rabu minggu ini sekiranya ada kelapangan. Namun begitu, pokcik masih sibuk dan tidak sempat menemuinya dan si ibu itu. Jadinya pada malam Rabu itu pokcik menelefonnya dan memberitahunya pokcik akan ke rumahnya pada hari Khamis (malam Jumaat) baru-baru ini. Alhamdulillah, seperti yang dirancang, maka pokcik bersama sahabat serumah telah pergi ke Balai Polis Bukit Ibam pada malam itu. Pokcik mengajak sahabat serumah pokcik ke sana kerana memang pokcik tidak tahu lokasi Balai Polis Bukit Ibam.

Sesampainya di sana, si anggota polis yang pokcik namakan sebagai Azman (bukan nama sebenar) sudah bersedia menunggu kami. Azman mempersilakan kami masuk ke rumahnya tetapi pokcik lebih selesa berehat dahulu di luar rumah sebelum masuk. Setelah berbual seketika maka pokcik masuk ke rumah Azman (berek polis). Si ibunya sudah sedia menanti di ruang tamu sambil duduk di atas sofa. Kelihatan juga isteri Azman dan anak-anak mereka di situ. Kami disambut dengan mesra dan ramah-tamah. Pokcik duduk di sebelah ibunya untuk berbual dan bertanya tentang sakitnya itu.

Omar : Mek sakit macam mana?
Si Ibu : Mek tak boleh tidur. Malam-malam berjaga. Puas pusing kiri kanan tetapi tak boleh nak tidur.

Omar : Oh macam tu. Sakit apa lagi?
Si Ibu : Tekak ni sakit masa makan. Badan sejuk sahaja.

Omar : Tonsel kot.
Si Ibu : tak ada. (katanya sambil memicit leher)

Tiba-tiba Azman mencelah.

Azman: Mek makan banyak. Sekejap-sekejap lapar. Tapi yang peliknya dia tak buang air besar walaupun makan dengan banyak. Pelik tu. Mek rasa sejuk tapi saya pegang kaki tangan mek rasa panas saja.
Omar : Tak apa. ( Kata pokcik sambil tersenyum)

Pokcik melihat kaki, tangan dan mukanya pucat seperti tiada darah. Setelah berpuas hati dengan jawapan dan sedikit penerangan si ibu, maka pokcik bersetuju untuk memulakan sesi rawatan. Pokcik membiarkan si ibu berada di sofa. Pokcik terus bersandar pada dinding di hadapan si ibu untuk mengesan punca masalahnya. Apabila diimbas maka pokcik dapat kenal pasti masalah iaitu berkaitan dengan SAKA.

Apabila sudah mengesan punca masalah, pokcik meminta izin untuk memutuskan dan memisahkan saka tersebut daripadanya. Si Ibu bersetuju. Setelah itu pokcik barulah pokcik berdoa kepada Allah dan memohon agar diputuskan segala perjanjian saka terhadap si ibu dan keluarganya. Setelah selesai barulah pokcik pergi kembali dan duduk di sebelah si ibu. Pokcik memintanya bertenang dan ingat akan Allah. Si ibu hanya menganggukkan kepalanya.

Setelah itu pokcik terus membacakan beberapa potong ayat suci al-Quran sambil berdoa agar dihapuskan segala gangguan yang ada padanya. Si ibu yang pada mulanya duduk tegak akhirnya mula menundukkan kepala dan tidak melawan. Mungkin jin yang ada padanya itu sudah agak tua. Wallahua’lam.

Ketika bacaan dilakukan, sahabat serumah pokcik sempat melihat perubahan pada diri si ibu. Tangannya yang pucat mula ada tompok-tompok merah dan akhirnya tompok darah itu memenuhi bahagian tangannya. Keadaan itu juga berlaku pada bahagian tapak kakinya. Sedikit demi sedikit tapak kakinya mula merah dan akhirnya memenuhi ruang pada bahagian kakinya itu. Namun begitu, sahabat serumah pokcik dapat melihat si Azman yang begitu gelisah ketika sesi rawatan dilakukan.

Adakah Azman juga mempunyai masalah? Ada kemungkinan juga. Namun, oleh sebab pokcik hanya berjanji untuk ikhtiar si ibu, maka masalah si Azman pokcik abaikan. Alhamdulillah semuanya berakhir dengan selamat. Si ibu pokcik doakan air agar disapu pada bahagian muka dan dadanya agar memulihkan semangatnya. Selesai sahaja didoakan, si ibu sudah lembik dan tidak bermaya. Pokcik meminta menantu dan cucunya agar memimpin si ibu ke bilik air dan disapukan mukanya dengan air yang telah diruqyah.

Sebaik sahaja mereka selesai, pokcik meminta diri agar mereka dapat berehat. Si Azman mula meminta si isterinya mengambil wang. Pokcik hanya tersenyum. Pokcik terus keluar dan berehat sebentar di kerusi batu yang tersedia di luar rumah. Sempat lagi kami berbual seketika untuk melepaskan penat.

Omar : Luas juga Kawasan ni.
Sahabat : Betul. Tapi agak sunyi.

Omar : Ya. Kalau berpasangan ok. Senang nak masak. Kalau orang bujang, susah juga nak cari kedai makan.
Sahabat : Ya betul. Limau tadi mana?

Omar : Oh lupa. Ada dalam poket seluar ni. Nanti nak minta Azman buang.
Sahabat : Baiklah

Tidak lama kemudian Azman pun sampai. Pokcik meminta beliau untuk membuang limau itu di sungai berhampiran. Dia bersetuju. Pokcik mengeluarkan limau itu daripada poket seluar lalu diserahkan kepada Azman. Sebaik sahaja dia memegang limau itu, dia melepaskannya semula secara mengejut.

Omar : Kenapa?
Azman : Tak boleh pegang. Terus tangkap sampai ke lengan.

Omar : Rasa macam renjatan letrik ke?
Azman : Ya. Saya tak boleh nak pegang.

Omar : Kalau begitu tak apa. Saya akan buangkan.
Azman : Haritu saya pegang batu petir. Rasa macam ini juga.

Pokcik hanya tersenyum. Sebenarnya seudah agak jelas bahawa selain si ibu, Azman juga ada masalah gangguan jin. Namun begitu, sepertimana yang pokcik beritahu awal tadi, janjinya hanya untuk ikhtiarkan si ibunya sahaja. Oleh itu masalah si Azman pokcik abaikan. Lagipun orang muda dan sihat lagi. Selagi tak mengganggu kehidupan, abaikan sahaja. Lama-lama boringlah jin itu,kan.

Akhirnya kami bersalaman. Seperti biasa, adab orang kita, si Azman menghulurkan duit dan memberitahu pokcik bagi mengisi minyak kereta. Nak isi minyak kereta apanya, minyak kereta pokcik dah penuh. Hahahahaha. Gurau sahaja. Pokcik menolak dengan elok dan hormat. Beliau menerima alasan pokcik dan menghormatinya. Pokcik dan sahabat bertolak pulang ke Muadzam dan sampai di rumah lebih kurang pukul 10.00 malam.

Keesokannya pokcik menghubungi Azman untuk mengetahui keadaan si ibunya. Panggilan pokcik tidak berjawab. Lebih kurang setengah jam kemudian, beliau menghubungi pokcik kembali. Beliau meminta maaf kerana sedang ada program gotong-royong di balai. Alhamdulillah si ibunya sudah boleh tidur malam. Pada pagi itu terlebih tidur sehingga ke jam tujuh pagi. Mungkin sudah lama tak boleh tidur agaknya. Beliau juga sudah boleh buang air besar. Alhamdulillah segala puji bagi Allah. Sebenarnya si ibu juga pokcik kesan ada masalah angin. Pokcik meminta si Azman membawa ibunya pergi berurut selepas itu.

Alhamdulillah. Pokcik beryukur sangat kerana sekali lagi usaha pokcik dipermudahkan oleh Allah. Sekian sahaja perkongsian pokcik buat kali ini. Moga memperoleh manfaat. Pada malam tadi pun pokcik ada usahakan seorang hamba Allah secara jarak jauh. Hamba Allah itu berada di Puncak Alam Selangor. Moga beliau sembuh sepenuhnya dengan izin Allah. Maaf andai ada salah dan silap dalam perkongsian pokcik pada kali ini. Moga kita bertemu lagi pada lain masa jika diberikan kelapangan dan kesihatan yang baik oleh Allah. Salam hormat. Wallahua’lam.



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.