Thursday, 9 July 2020

TIDAK BOLEH MENUTURKAN KATA


بِسْـــــــــمِ اَللّهِ الرّحْمن الرّحيم
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Sahabat yang dikasihi;

Alhamdulillah kerana kita masih di sini dan masih bernafas lagi. Pagi tadi Encik Omar dikejutkan dengan berita satu kematian. Sebenarnya isteri kepada arwah memanggil pokcik untuk datang ke rumahnya pada pagi semalam tetapi pokcik sibuk kerana akan diadakan satu mesyuarat staff dan tak sempat menziarahinya. Moga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. AAmiin.

Hari ini juga diadakan pelbagai aktiviti. Petang ini pun ada seorang anggota polis datang berjumpa pokcik untuk mengajak ke kediamannya bagi melihat ibu beliau. Namun begitu, pokcik masih lagi sibuk dan berjanji akan menziarahi mereka pada minggu hadapan sekiranya diberikan kelapangan oleh Allah. In shaa Allah. Gaya percakapan beliau tadi, masalah berkaitan dengan saka. Wallahua’lam.

Apa pun, perkongsian kali ini seperti biasa berkaitan dengan perawatan mistik. Kisah ini diceritakan oleh salah seorang sahabat pokcik yang telah pergi ke Kemasul untuk ikhtiar adik iparnya. Pokcik namakannya sebagai Hashim (bukan nama sebenar). Pada suatu hari yang telah ditetapkan maka mereka sekeluarga telah bertolak ke Kemasul. Perjalanan kali ini melibatkan jarak yang agak jauh.Maklumlah, adik ipar sahabat pokcik ini tinggal di daerah Rompin.

Menurut sahabat pokcik, adik iparnya itu tidak mahu bercakap (bersuara) setelah berpisah dengan orang rumahnya. Seminggu setelah berpisah, si ibu kepada bekas isterinya itu datang bertandang ke rumahnya bagi memujuk dan menenangkannya. Sempat juga si ibu tua menggosok belakang si sakit dan memintanya bersabar dengan ujian itu. Akibat daripada kesedihan dengan penceraiannya maka Hashim menjadi murung dan akhirnya tidak bercakap (bersuara) dengan orang yang berada di sekelilingnya.

Keadaan Hashim membimbangkan ahli keluarganya lalu mereka berpakat untuk membawanya berubat di Kemasul. Dipendekkan cerita, akhirnya mereka sampai di Kemasul iaitu di rumah perawat itu. Sesampainya di sana, sudah tentulah mereka sekeluarga menceritakan apa yang berlaku kepada Hashim. Akhirnya si perawat membuat kesimpulan bahawa Hashim telah disihir oleh bekas ibu mertuanya. Pelik juga pokcik apabila mendengar cerita ini daripada sahabat pokcik tadi. Sekiranya ingin memisahkan mereka suami isteri, sudah tentu si mertua sudah berjaya. Jadinya apa motif beliau lagi kerana pasangan itu telah pun bercerai. Pokcik hanya mampu tersenyum mendengar kisah yang disampaikan kepada pokcik tadi.

Setelah berbual, akhirnya tibalah masa untuk merawat Hashim. Ketika ingin merawat, si perawat mula menurun dan dikatakan dimasuki oleh PANGLIMA JAMIL. Panglima datang dari mana pun pokcik tak tahu. Panglima jin agaknya. Hahahahaha. Perawat yang KERASUKAN akhirnya mengambil sebatang rotan yang agak besar. Dia melibas dengan kuat belakang Hashim sebanyak tujuh kali. Berbirat tak agaknya? Hihihihi. Kita boleh bayangkan sendiri keadaan itu.

Setelah dirotan, keadaan Hashim masih lagi tidak berubah. Kini usaha lain terpaksa dilakukan. Dia memanggil sukma Tok Batin pula kali ini sambil mengomel.  “ Degil dan kuat betul gangguan kali ini. Kawan terpaksa memanggil awak (Tok Batin). Cuba awak nasihatkan anak buah awak supaya mengambil semula jin orang ni,” kata perawat. Sambil bercakap, perawat itu mengganggukkan kepada seolah-olah sedang berbicara dengan seseorang yang tidak nampak pada pandangan orang lain. Akhirnya selesailah rawatan yang dilakukan.

Perawat : Selesai dah. Degil juga gangguan tadi. Tak apa, kawan dah bincang dengan Tok Batin.
Sahabat : Eloklah macam tu.
Perawat : Oh kawan lupa. Kawan tak suruh lagi Tok Batin balik. Dia ada tu di depan pintu. Sekejap kawan suruh dia balik.

Si perawat kemudiannya bangun dan berbual seketika di muka pintu dengan Tok Batin yang tidak kelihatan. Akhirnya dia datang dan duduk kembali di hadapan mereka sekeluarga.

Perawat : kawan dah suruh Tok Batin balik. Balik dah tu.
Sahabat : lama dah kami di sini. Berapa nak bayar ni?
Perawat : Alah… Saya bukan cari makan. Kita kira macam kawan-kawan saja. RM100 sudah.

Akhirnya mereka membayar dan terus bergerak pulang. Dalam perjalanan pulang, tiba-tiba salah seorang daripada mereka ingin ke tandas. Mereka berhenti di sebuat stesen minyak. Sahabat pokcik dan adik iparnya tadi turut turun bagi meregangkan badan. Dia mengeluarkan sebatang rokok. Adik iparnya (Hashim) ingin meminta rokok daripadanya. Mulutnya menjuih sambil menunjukkan isyarat inginkan rokok daripada sahabat pokcik itu tadi.

Sahabat : Nak rokok ka?
Hashim : Huh huh huh.. ( katanya sambil memuncungkan bibir menunjukkan ke arah rokok)
Sahabat : Cuba cakap nak. Dok huih huih huih apa.. (katanya sambil menghulurkan sebatang rokok)

Setelah itu mereka terus bertolak pulang. Sesampainya di rumah, Hashim berasa dahaga. Dia mencapai telefonnya lalu menulis mesej kepada ibunya yang juga berada di dalam rumah itu untuk menyatakan bahawa dia ingin minum air masak. Ibunya terus ke dapur lalu mengambil air masak untuknya. Melihat keadaan itu si kakaknya (isteri sahabat pokcik) terus pergi kea rah ibunya lalu mengambil air masak dari tangan si ibu lalu pergi kea rah Hashim.

Kakak : Hang nak air ke?
Hashim : Huh huh huh… (katanya sambil memuncungkan bibir)

Kakak : Tunggu sat (sekejap).
Hashim : Huh huh huh…

Tiba-tiba satu tamparan daripada kakaknya singgah di pipi Hashim.

Hashim : Adoiiiiii. Sakitlah…
Kakak : Haaaa boleh pun cakap. Ingatkan dah bisu.

Alhamdulillah sejak itu Hashim kembali seperti sediakala. Takut agaknya dengan penampar kakaknya. Rupa-rupanya selama ini si Hashim memang boleh bercakap tetapi mungkin dia inginkan perhatian dan mungkin juga dia berasa tertekan sejak berpisah dengan isterinya itu. Kasimpulannya, setiap manusia diberikan ujian yang berbeza oleh Allah. Ada yang diuji dengan kecantikan, kacak, kaya, berpengaruh, kedudukan atau pangkat, ramai pengikut, sakit, tak pernah sakit ( contohnya Firaun) dan sebagainya. Setiap ujian daripada Allah sesungguhnya menguji tahap kesabaran dan keimanan kita.

Percayalah ujian yang diberikan oleh Allah berserta dengan hikmahnya. Ujian yang diberikan juga akan meninggikan darjat kita sekiranya kita redha, tabah, berdoa, berusaha dan bertawakkal kepada-Nya. Lagi satu, jujurlah kepada diri sendiri dan dengan kata lain TAK ADA SAKIT JANGAN CARI PENYAKIT.

Sekian sahaja perkongsian pada kali ini. Moga sahabat semua memperoleh manfaat. Maaf andai ada ketelanjuran dalam kata-kata. Moga kita dapat bertemu lain sekiranya masih diberikan kelapangan dan kesihatan yang baik oleh Allah. Wallahua’lam. Salam hormat.





No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.