Tuesday, 7 January 2020

SIAPA KAMU

Assalamualaikum.

Selamat tahun baharu 2020 pokcik ucapkan. Alhamdulillah ada kesempatan dan ruang diberikan oleh Allah maka pokcik akan kongsikan pula suatu kisah yang berlaku dua hari lepas. Kali ini pokcik telah menghadiri satu majlis perkahwinan emak saudara pokcik di Taman Datuk Rashid, Kuantan yang kehilangan suaminya tidak berapa lama dahulu.

Pokcik sampai lebih kurang pukul 12.30 tengah hari. Setibanya pokcik di sana, kelihatan ramai tetamu yang sedang beratur menunggu giliran mereka untuk mengambil juadah. Pokcik anggarkan lebih daripada seratus orang berada di dalam tiga buah khemah termasuk tetamu yang sedang berdiri mencari tempat duduk. Ramai betul tetamu. Mengalahkan perkahwinan anak dara. Hihihihi.

Oleh sebab tiada tempat duduk maka pokcik dan orang rumah membuat keputusan untuk mengambil makanan dan kemudiannya makan di dalam rumah pengantin. Setelah masuk di dalam rumah, ada laksa yang terhidang di atas meja. Mungkin laksa itu sengaja diletakkan di dalam rumah bagi memberi peluang tetamu dari jauh yang lambat datang untuk merasai laksa kuah lemak itu. Laksa gebok kata orang Pahang.

Setelah makan pokcik bersama orang rumah pergi ke ruang tamu untuk melihat persandingan emak saudara pokcik itu. Sempatlah pokcik bergambar sebagai kenang-kenangan. Ketika pokcik sedang bergambar bersama dengan pengantin, kelihatan orang rumah pokcik sedang berbual dengan seorang perempuan. 

Orang rumah : Assalamualaikum
Kak Ti : Waalaikumussalam. Macam mana kenal dengan Siti? ( bukan nama sebenar )

Orang rumah: Oh, Siti ni emak saudara saya.
Kak Ti: Oh, macam tu. Kak Ti dulu satu tempat kerja dengan Siti.

Orang rumah: Kak Ti dah sihat?
Kak Ti: Belum. Lama dah Kak Ti berubat sampai ke Indonesia. Namun masih begitu. Tadi baru sahaja Kak Ti berjumpa dan berubat dengan Ustaz Iqbal ( bukan nama sebenar ). Ustaz kata dah tak ada gangguan pada saya.

Orang rumah: Alhamdulillah. Baguslah macam tu.
Kak Ti: Entahlah. Tiba-tiba Kak Ti meremang sekarang ini. Kepala Kak Ti jadi besar apabila masuk ke dalam rumah. Bahu Kak Ti sekarang ini tiba-tiba sakit. Sekarang Kak Ti rasa lain macam.

Orang rumah: Ke Kak Ti tengok orang tu.
Kak Ti: Ha, betullah. Siapa tu?

Orang rumah: Itu suami saya yang haritu Kak Ti kata nak berubat tapi tak berkesempatan. Petang ini dia nak ke Muadzam dah.
Kak Ti: Tak apalah. Kalau ada kesempatan, Kak Ti nak ikhtiar juga dengan suami Ina. (bukan nama sebenar)


Pokcik yang melihat perbualan itu terus bergerak ke arah mereka lalu menyapa perempuan tersebut. Dia memperkenalkan dirinya sebagai kak Ti. Pokcik melihat Kak Ti seperti ayam berak kapur. Dia amat gelisah. Pokcik nampak dia sudah tidak dapat mengawal diri dan akan kerasukan. Melihat keadaannya itu, pokcik bimbang akan gempar majlis perkahwinan sekiranya Kak Ti tidak sedarkan diri. Pokcik membuat keputusan untuk ikhtiarkannya.

Oleh sebab keadaan di situ tidak sesuai maka pokcik mengajak orang rumah dan Kak Ti masuk ke dalam bilik di rumah rumah emak saudara pokcik itu. Kak Ti bersetuju dan terus menelefon suaminya untuk mendapatkan keizinan. Alhamdulillah suaminya memberikan persetujuan dan serentak dengan itu kami bertiga masuk ke dalam bilik.

Dia sudah tidak keruan. Mukanya ditundukkan. Dia sendawa berkali-kali seperti mahu muntah. Kebetulan ada kotak di situ. Dia ingin muntah di dalam bekas itu tetapi orang rumah pokcik tidak membenarkannya. Orang rumah pokcik terus bergegas mengambil plastik. Lakonan sahaja itu agaknya. Permainan jin. Entah dia nak lari atau sebagainya. Wallahuaklam. Hanya Allah Yang Maha mengetahui.


Tanpa membuang masa pokcik terus pagarkannya.

Tangannya terus menggeletar. Pokcik memintanya beristighfar tetapi kata-kata pokcik seperti sudah tidak dapat didengari olehnya. Dia seperti sudah berada di dunia lain. Akhirnya keluarlah dengusan yang mengerikan dan akhirnya dia mula bersuara apabila pokcik mula membacakan beberapa potong ayat suci al-Quran.

Kak Ti: Siapa kamu? Kamu bukan ustaz tadi. Aduh sakitnya aku. Panas,panas, panas...

Pokcik terus membaca ayat-ayat suci al-Quran dengan tenang tanpa mempedulikan rintihannya. Suara Kak Ti sudah bertukar kepada sleng Indonesia.

Kak Ti: Sakit, sakit, panas, panas. Apa yang kamu hembuskan kepada aku? Dengan ustaz tadi aku tak sakit. Aku tak panas. Siapa kamu? Sakitnya kepala aku.

Pokcik malas melayan permainan jin. Itulah salah satu cara jin memperdayakan umat Islam dengan menimbulkan riak di dalam hati. Sekiranya kita terperdaya sudah tentu kita bersyirik tanpa sedar kerana sudah ada keakuan diri. Tiada daya upaya manusia. Semuanya milik Allah dengan rahmat dan ehsan-Nya.

Kak Ti terus-menerus mengaduh sakit dan kepanasan. Pokcik biarkan dia dengan keadaannya itu tanpa menjamah atau memukul dia tanpa sebarang sebab. Apabila dia semakin agresif biarpun masih tidak boleh bangun daripada tempat duduknya maka orang rumah pokcik berjalan keluar lalu memanggil bapa saudaranya untuk menemani pokcik. Takut agaknya.

Kak Ti: Apa engkau buat dengan aku ini. aku sakit. Aduh miangnya. Aduh gatalnya. Mengapa miang buluh ini datang semula kepada aku.

Kak Ti terus menggarukan kepalanya dan dengan kasar menggaru bahagian perutnya. Perutnya yang mengeras digaru dengan cara yang kasar sekali. Apabila melihat keadaannya yang semakin tidak keruan, pokcik niatkan untuk menamatkannya dengan segera seizin Allah. Pokcik meletakkan sebiji limau nipis di atas kepalanya. Dia menjerit kesakitan. Tangannya terus menepis limau yang pokcik letakkan di atas kepalanya itu.

Melihatkan keadaan itu, bapa saudara pokcik yang baru sahaja masuk ke dalam bilik terus menangkap dan memegang tangan Kak Ti. kak Ti tidak dapat mengelakkan kepalanya lagi daripada diletakkan dengan limau itu.. Dia hanya dapat menggerakkan kepalanya ke kiri dan ke kanan dan sesekali menundukkan kepalanya.

Pokcik terus niat untuk merentap keluar jin tersebut. Dengan kalimah Allahu Akbar, disentap keluar jin berkenaan. Kak Ti terus tumbang. Dia terus sedarkan diri dan beristighfar serta mengucapkan syukur. Alahmdulillah segala puji bagi Allah.

" Indonesia ye," kata bapa saudara orang rumah pokcik. Pokcik hanya tersenyum. Biarlah dari mana pun. Yang penting sembuh dengan seizin Allah. Bab lain itu kita abaikan kerana mainan jin sangatlah licik.

Pokcik dimaklumkan bahawa dia terkena dengan amah atau bibiknya. Kononnya bibiknya itu mahu merampas suaminya. Wallahuaklam. Itu pun diberitahu oleh perawat-perawat yang pernah ikhtiarkan Kak Ti. Bagi pokcik pula, semuanya dalam pengetahuan Allah.

Setelah itu pokcik balik ke rumah kerana ingin bertolak ke Muadzam. Pada malam itu orang rumah pokcik menghubungi Kak Ti untuk mengetahuan keadaannya. Alamdulillah, hilang sudah sakit di bahunya seizin Allah. Kebas pada bahagian kakinya juga semakin kurang. Pokcik meminta orang rumah memberitahu Kak Ti agar mandi air limau sebagai ikhtiar untuk menguatkan semangat dan menyegarkan badan.

Orang rumah pokcik juga meminta dia menghubunginya sekiranya berasa tidak sedap badan dan sebagainya. Alhamdulillah, sehingga kisah ini ditulis oleh pokcik pada masaini, dia tidak lagi menghubungi kami. Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang memberikan kekuatan dan semangat serta kesembuhan kepadanya.

Sekian perkongsian pada kali ini. Moga berjumpa lagi. Maaf andai ada tersalah atau tersilap kata dalam hasil penulisan pokcik ini. Salam hormat semua sahabat..


-POKCIK SEMAN




No comments: