Wednesday, 8 January 2020

BELAAN SIAPA

Assalamualaikum

Alhamdulillah kerana masih dipanjangkan usia oleh-Nya. Kali ini pokcik ingin kongsikan satu lagi kisah mistik yang berlaku semalam. Ketika sedang berbual dengan beberapa orang rakan sekerja tiba-tiba salah seorang daripada mereka menerima panggilan telefon daripada isterinya. Ketika menjawab panggilan telefon itu, mukanya berkerut. Sudah tentu ada sesuatu yang tak kena sudah berlaku.

Setelah panggilan tamat, tanpa perlu ditanya si sahabat menceritakan bahawa isterinya menelefon kerana anaknya menangis tanpa berhenti-henti. Awalnya pokcik menjangkakan bahawa si bayi itu menangis kerana kembung perut atau sebagainya. Takkanlah si emaknya cubit atau pukul bayi. Lainlah kalau memang ada masalah mental.

Setelah diam sebentar si sahabat mula bersuara.

Sahabat: Macam ni. Orang rumah saya menelefon dan minta pokcik tengokkan anak saya.

Pokcik: Kenapa?

Sahabat: Saya rasa lain macam. Saya pernah melihat kelibat makhluk hitam dalam rumah saya. Anak saya pun pernah tengok. Sebab itu sekarang dia tidur dan kelubung selimutnya sampai ke kepala.

Sahabat: Lagi pelik, anak kecil saya menggengam penumbuk masa menangis. Nak buka genggaman pun susah. Makin dipasang ayat ruqyah makin menjadi-jadi nangisnya. Geram pulak saya..

Pokcik: Oooo

Sahabat pokcik kemudiannya meneruskan kisah sebenar yang berlaku. Katanya ada seorang bomoh yang baru berpindah berhampiran rumahnya. Lebih kurang sebulan lebih agaknya dia berpindah ke situ. Suatu malam mereka melepak di sebuah bangsal yang menjadi tempat lepak penduduk kampung. Si bomoh itu pun turut melepak bersama dengan mereka. Ketia sedang leka melepak, emak saudara sahabat telah berhenti di situ lalu menegur sahabat ini.

Mata si bomoh bertumpu kepadanya. Setelah emak saudara sahabat itu berlalu pergi meunju ke rumah si sahabat, si bomoh tiba-tiba memberitahu kepada sahabat bahawa ada sesuatu yang tak kena dengan emak saudaranya itu.

Bomoh: Ada tak kena dengan emak saudara awak. Awak balik dulu. Nanti saya ke sana

Sahabat: Baiklah

Setelah itu si sahabat pun balik ke rumahnya. Emak saudaranya sudah berada di situ. Dia memberitahu kepada emak saudaranya itu akan kehadiran si bomoh. Tak lama kemudian si bomoh pun sampai. Dia terus naik ke atas rumah.

Bomoh: Awak ni sakit. Awak dah kena buatan orang. Ada orang sihirkan awak ni.

Emak saudara: Betullah tu. Sebab itu saya nak berubat

Bomoh: Awak ada tahi lalat pada paha kiri. Orang yang sihirkan awak ini menggunakan hantu raya. Dia ambil hantu raya itu di belakang rumahnya di sebatang pokok. Si suami meletakkan darah kotor isteri mudanya ke dalam makanan awak.

Emak saudara: Betullah tu. Anak saya selalu beritahu bahawa dia selalu berbau hanyir darah pada waktu pagi sekiranya si bapa baru balik dari rumah isteri muda.

Si bomoh menceritakan cara hantu raya diambil, kedudukan bilik serta pelbagai perkara yang berkaitan dengannya serba lengkap. Semuanya diakui benar oleh emak saudara si sahabat. Hebat betul bomoh ni. Gamaknya itulah yang bermain di dalam fikiran mereka. Sahabat pokcik sudah biasa mendengar si bomoh menceritakan secara tepat kisah seorang sahabat mereka ketika sedang melepak.

Bomoh: Ayah awak patah bahu ye jatuh dari kerusi

Lan: Betul.

Si bomoh pun bercerita perihal tempat tinggal ayah Lan di Segamat. Hebat betul. Si bomoh yang tidak pernah pergi ke sana boleh menceritakan perihal hidup ayahnya dan tempat tinggalnya dengan tepat. Siap boleh bercerita tentang bilik-bilik di rumah itu. Bukan calang-calang orang kalau begitu. Kan.

Berbalik kepada kisah emak saudara sahabat pokcik. Si bomoh pun meletakkan jarinya pada dahi emak saudara sahabat pokcik. Ibu jari kakinya pula dipegang oleh si bomoh. Tanpa disangka-sangka, emak saudara sahabat pokcik sudah tidak sedarkan diri. Dia mula bercerita setiap solan yang dikemukakan oleh si bomoh itu. Rawatan selepas itu tidak pula diceritakan kepada pokcik. Selesai sahaja rawatan, si bomoh meminta diri untuk pulang ke rumahnya.

Setelah itu bermulalah kisah baru........

Setelah kejadian itu, keadaan emak saudara sahabat pokcik semakin teruk. Mukanya mengelupas teruk dan keadaannya semakin tidak terurus sehinggalah ke hari ini. Rumah sahabat pokcik pula sering diganggu oleh lembaga hitam. Sudah beberapa kali sahabat pokcik melihat kelibat makhluk tersebut namun dia hanya bersabar dan mendiamkan diri. Mungkin juga dia tak mahu keluarganya berasa takut.

Kelakuan anak lelakinya pula menjadi semakin pelik. Dia sudah tidak berani untuk tidur seorang diri. Apabila tidur dia akan  mencari sahabat pokcik. Dia menyelimuti keseluruhan tubuhnya. Apabila ditanya barulah dia mula bersuara. Katanya dia sudah melihat si bomoh itu berkeliaran di dalam rumahnya. Lembaga berupa bomoh itu akan mundar-mandir di dalam rumah dan akan pergi ke arah kerusi yang dia duduk pada malam kejadian itu. Setibanya di kerusi itu, kelibat berkenaan akan menghilangkan diri.

Sahabat pokcik melihat lembaga hitam manakala si anak melihat kelibat si bomoh. Apa agaknya tu? Wallahuaklam. Bermula dari malam tersebut anak kecil sahabat pokcik mula menangis tanpa henti-henti dan sukar dipujuk. Sehinggalah semalam, kejadian itu masih berlaku. Pokcik meminta sahabat agar bersabar dan memantau perkembangan anaknya. Pada waktu tengah hari, pokcik meminta dia menelefon isterinya untuk bertanyakan khabar anak kecil mereka. Menurut si isteri anak kecil mereka telah berhenti menangis setelah dibawa keluar dari rumahnya. Pokcik berasa lega. Namun begitu pokcik berpesan agar sahabat menghubungi pokcik sekiranya masalah itu masih berlarutan.

Pada pukul 10.27 malam pokcik menerima mesej daripada sahabat. Dia memberitahu keadaan anaknya yang menangis tidak berhenti-henti dan matanya melihat ke siling rumah. Kebetulan pada masa itu pokcik berada di kedai makan bersama seorang sahabat. Namun begitu pokcik berjanji akan usahakan anaknya itu sebaik sahaja pokcik sampai di rumah.

Sebaik sahaja sampai di rumah pokcik terus solat dan berdoa agar Allah memudahkan urusan kami. Pokcik juga berdoa semoga Allah perkenankan usaha pokcik dan memberikan kesembuhan kepada si anak kecil itu dan semoga semua yang terlibat dapat mensyukuri rahmat dan ehsan serta kebesaran Allah serta makin mendekatkan diri kepada-Nya.

Ketika memejamkan mata di atas sejadah pokcik terbayangkan satu lembaga berbulu seperti seekor monyet yang besar. Mungkin itu mainan perasaan pokcik atau sebagainya namun di dalam hati pokcik, pokcik memang memohon kepada Allah untuk memberikan petunjuk. Setelah itu pokcik membacakan beberapa ayat-ayat suci Al-Quran dan memohon agar makhluk yang mengganggu itu musnah dengan izin Allah. Alahmdulillah tiada apa-apa kepelikan yang berlaku sepanjang usaha pokcik.

Pada pukul 11.24 malam pokcik menghubungi sahabat pokcik untuk memberitahu bahawa pokcik sudah selesai ikhtiarkan anaknya itu. Pokcik juga bertanyakan tentang keadaan anaknya sama ada masih menangis atau pun sudah tidur. Menurut sahabat pokcik anaknya itu masih berjaga tetapi sudah diam dan tidak menangis lagi. Alhamdulillah kerana sekali lagi Allah permudahkan usaha pokcik. Badan anaknya panas dan muntah. Namun dia tidak lagi menangis sungguhpun dalam keadaan sedemikian.

Sehinggalah ketika pokcik menaip kisah ini pada malam ini tepat 10.38 p.m, 8.1.2020 anaknya sudah tidak menangis lagi. Bagaimana dengan emak saudaranya? Dia kini sedang mencari perawat. Moga dia berjumpa dengan perawat yang serasi dengannya dan sembuh dengan izin Allah. Menurut sahabat pokcik emak saudaranya itu ingin berjumpa dengan pokcik. Tengok dahulu keadaan. Maklumlah, POKCIK BUKAN PERAWAT dan BUKANNYA BOMOH.

Moga berjumpa lagi. Maaf andai ada tersalah dan terkasar dalam penulisan pokcik. Sesungguhnya pokcik bukannya arif dalam berkata-kata. Hanya insan biasa yang ingin berkongsi pengalaman dan kisah perjalanan hidup pokcik.

Berita yang pokcik baru terima, si bomoh telah pun berpindah dan balik ke Kedah....

Salam hormat.


-POKCIK SEMAN


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.