Assalamualaikum.
Alhamdulillah dipertemukan lagi buat sekian kalinya oleh Allah. Apa khabar semua? Moga sihat sejahtera hendaknya. Kali ini pokcik akan membawa sahabat semua ke Kelantan. Pokcik akan kongsikan perihal keluarga sahabat yang sering mengalami kejadian aneh. Dengan kata lain, kisah mistik yang membelenggu keluarga ini.
Bapa saudara sahabat pokcik ini dikatakan membela toyol. Kebiasaannya toyol dibela berpasangan. Macam manusia jugalah yang berpasang-pasangan. Cuma toyol pokcik tak pernah lagi dengar ada lebih daripada satu pasangan berbeza dengan manusia. Bagaimana pula kalau pasangan toyol ditangkap? Kebiasaannya si tuan akan pergi ke Siam untuk mencari pasangan baru. Lebih parah lagi kalau niat pergi ke Mekah untuk mengambil toyol. Niat pun dah salah. Kan.
Oleh sebab bapa saudaranya membela toyol maka sering berlaku kehilangan duit di rumah ibu sahabat pokcik. Sahabat pokcik turut mengalami kejadian yang sama.
Setelah kematian bapa saudaranya itu kejadian kehilangan duit sudah tidak berlaku di rumah itu. Suratan atau kebetulan? Hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Setelah selesai kejadian itu timbul pula masalah lain.
Ibu sahabat pokcik dan anak-anaknya sering sakit dan mengalami masalah misteri. Rumahnya sering diganggu dengan kehadiran makhluk-makhluk halus.
Ustaz dipanggil untuk menyelesaikan masalah itu. Menurut ustaz ada yang menunggu keluarga mereka di pohon rambutan di belakang rumahnya. Kalau boleh disuruh petik rambutan mungkin diorang tak marah dan takut sangat agaknya. Hihihihi.
Makhluk itu juga sering kelihatan menunggu di bahagian dapur di belakang rumahnya. Ngeri juga. Pokcik tak tanya pula tandas dibina di luar atau di dalam rumah. Hihihihihi… Kalau tandas di luar rumah, agaknya rela tahan sakit perut dari malam ke pagi.
Setelah dipanggil ustaz perawat masalah hilang sementara. Tak lama kemudian kejadian pelik atau misteri berlaku lagi. Entah berbelas atau berpuluh tahun kejadian aneh sering berulang kali berlaku.
Nak dijadikan cerita, jirannya merupakan bomoh di kampung itu. Namun begitu, setiap kali berlakunya kejadian aneh dan misteri, si bomoh tidak dipanggil oleh mereka.
Menurut sahabat pokcik ada kemungkinan jiran ibunya marah dan menghantar sihir kepada keluarga mereka. Entah ayat itu dipinjam daripada perawat yang pernah usahakan keluarga mereka atau muncul daripada pemikiran sahabat pokcik, hanya Allah yang Maha tahu.
Pada suatu hari sahabat pokcik Bersama dengan keluarga mertuanya tidur di rumahnya di Kelantan. Nak dijadikan cerita berlakulah kehilangan duit atau barangan ibu mertuanya itu.
Mungkin jirannya itu datang menziarahi mereka pada malam itu. Menurut sahabat pokcik, mereka seperti dipukau.
Barangan atau duit ibu mertuanya hilang biar pun pintu bilik di kunci. Setelah sedar maka gemparlah mereka dengan kehilangan barang ibu mertuanya itu.
Adik beradik mereka pun bertengkar dan bertegang urat dan saling menuduh antara satu sama lain. Sahabat pokcik berasa sangat malu dengan ibu mertuanya. Pagi itu sahabat pokcik mengamuk dan ingin menyerang jirannya itu namun Berjaya ditenangkan oleh bapanya yang masih hidup pada ketika itu.
Sejak itu ibu mertuanya lebih rela tinggal di hotel berbanding tidur dii rumah itu sekiranya bertandang atau pergi ke Kelantan.
Kejadian mistik terus berlaku sehingga ke hari ini. Selain masalah sihir, sahabat pokcik juga risau dengan masalah saka. Menurut sahabat pokcik, datuknya dahulu meninggalkan saka kepada anak cucunya.
Pokcik tak pula bertanya saka jenis apa yang ditinggalkan itu. Bukan apa, bimbang berlakunya fitnah terhadap si mati. Kalau pokcik bertanya lebih lanjut mungkin sahabat pokcik itu akan bercerita dengan lebih mendalam.
Pada pukul 9.24 pagi Ahad baru-baru ini pokcik menerima mesej daripada sahabat pokcik dari Kelantan. Pada pukul 11.36 pagi barulah pokcik menjawab mesej itu. Maklumlah orang tua. Lepas solat Subuh pokcik tidur semula.
Sahabat: Assalamualaikum boh. Kawe kelik Kelate ni, mek masuk wad. Nk mitok demo scan mek kawe sikit, boleh ke
Pokcik: Waalaikumussalam. Baru buka hset. Sorry boh. Boleh
Itu isi mesej daripada sahabat pokcik itu.
Sebaik sahaja pokcik membalas mesejnya, sahabat pokcik terus menelefon pokcik. Katanya dia masih di hospital Bersama dengan ibunya itu. Pokcik menjelaskan bahawa mengikut kefahaman pokcik ibunya ada tersumbat pada bahagian dada kanannya. Mungkin ada juga unsur mistik.
Sahabat pokcik kemudiannya menjelaskan bahawa si ibunya mengalami sesak nafas atau kesukaran untuk bernafas. Doktor telah menggunakan topeng oksigen tetapi percubaan mereka gagal.
Setelah tujuh kali percubaan barulah ibunya boleh bernafas dengan baik. Selain itu juga ibunya hanya boleh duduk bersandar. Sekiranya dia ingin turun dari katil, dia terus sukar untuk bernafas. Bahagian belakang bahunya juga berat seperti memikul beban yang besar dan berat.
Oleh itu sahabat pokcik telah meminta pokcik usahakan ibunya secara jarak jauh.
Seboleh-bolehnya sahabat pokcik ingin pokcik usahakan ibunya sebelum pemeriksaan doctor. Dipendekkan cerita, pokcik selesai usahakan ibunya itu pada pukul 12.23 tengah hari. Pokcik juga berpesan, jangan letakkan harapan kepada pokcik sebab kita hanya mampu berusaha dan selebihnya penyerahan bulat-bulat kepada Allah.
Dengan izin Allah, sebaik sahaja selesai ushakannya, ibu sahabat sudah boleh bangun dan berjalan ke bilik air sendirian. Bahunya sudah menjadi ringan seizin-Nya. Alhamdulillah segala puji hanya bagi Allah yang memudahkan urusan kami.
Doktor membuat pemeriksaan lebih kurang pukul 2.00 petang. Doktor agar terkejut dengan perubahannya secara mendadak. Mereka terus dibenarkan untuk pulang ke rumah.
Sebaik sahaja tiba di rumah, si ibu dibawa ke biliknya. Dia berasa kurang senang ketika berada di dalam bilik itu. Anaknya terus membawanya ke bilik lain. Adakah ada sesuatu di situ? In shaa Allah kalau ada ruang dan waktu serta dipanjangkan usia oleh Allah, kita cuba pula melihat keadaan biliknya itu. Sekian buat kali ini. Moga berjumpa lagi. Salam hormat.
-
POKCIK SEMAN
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.