Friday 24 November 2017

PAK SAHAK

Image result for assalamualaikum image


Semalam bos cuti jadi pokcik mengambil keputusan untuk keluar ke rumah hamba Allah yang terlantar di HTAA baru-baru ini.. Sebelum ke rumahnya pokcik ke rumah anak angkatnya. Maklumlah, nak tuju ke mana. Manalah pokcik tahu rumahnya di mana.. Hihihihi..

Sesampainya di rumah sahabat pokcik, Rosnizam Bin Ismail ( bukan nama sebenar ), dia dan isterinya Nabiha Fade ( bukan nama sebenar ) sedang bersiap sedia untuk membuka kedai makan mereka. Mereka sedang memerhatikan anak-anak buah menyiang ayam dan sebagainya..

Pokcik Seman entah ke mana. Uganda gamaknya orang tua tu berada sekarang. Kebetulan pula sahabat yang pokcik kenali sedang berada di dalam kedai Rosnizam. Lega hati pokcik sebab berjumpa dengan Pak Sahak ( bukan nama sebenar ) kerana dia merupakan seorang perawat di Uzbekistan. ( bukan tempat sebenar )..

Pokcik mengajak Pak Sahak untuk pergi bersama-sama. Naiklah kami bertiga ke rumah hamba Allah tu dengan kereta buruk Kancil pokcik. Pak Sahak seorang yang kelakar tak seperti Pokcik Seman. Cenge sungguh orang tua tu. Tak padan dengan jalan terbongkok-bongkok. Hihihihi..

Sepanjang perjalanan meriah sekali dengan cerita. Ada saja yang dibualkan. Peramah juga Pak Sahak ni. Bukan macam orang tua sorang lagi tu. Tanya sepatah jawab sepatah. Banyaknya mmmmmmmm saja. Macam terkeluar ketul emas dari dalam mulut gamaknya kalau berbual mesra. Dia baik pun kalau nak suruh kita belanja makan. Kepala lentuk macam anak kucing laa kalau nak makan. Kita order teh o ais dia order jus epal campur salad campur asam boi. Mana tahan. Hihihihihi.. Parai kitai..

Sesampainya sana, kami disambut oleh isteri si sakit, anaknya dan dua orang cucunya. Kami dipelawa masuk ke dalam rumah. Pokcik dan Pak Sahak diminta masuk ke dalam bilik si sakit. Si sakit kelihatan memejamkan mata. Air matanya kelihatan berlinang. Pokcik mencuit Pak Sahak suruh dia memulakan rawatan. Dia menggangukkan kepala tanda faham. Suasana menjadi hening. Hanya kami berempat bersama si sakit di dalam bilik itu..

Pokcik mula melihat ke arah pergelangan tangan kirinya. Kelihatan denyutan yang amat kuat seperti nadi. Turun naik kulitnya dengan cepat dan jelas. Tangan kanannya kelihatan sembab air dan membengkak. Muka hamba Allah ini kelihatan amat pucat. Matanya sentiasa dipejamkan. Namun begitu wajahnya kelihatan amat tenang dan tabah biarpun dalam keadaan sakitnya dan kedua-dua belah kaki dipotong kerana kencing manis..

Pokcik memegang tangan kanannya. Tangannya terasa amat sejuk. Pak Sahak memanggil Rosnizam dan memintanya bertanyakan nama si sakit. Dia juga meminta agar Rosnizam meminta persetujuan si sakit untuk membuang semua ilmu atau jin yang ada padanya. Setelah nama si sakit diperoleh dan dia bersetuju untuk membuang kesemuanya Pak Sahak berpuas hati. Pak Sahak mula memejamkan mata..

Dia membetulkan kedudukannya. Ketika itu suasana menjadi sangat hening. Sesekali dengar si sakit bernafas dengan kuat seperti sukar untuk bernafas. Pak Sahak memulakan langkah. Kedengaran dia membaca beberapa potong ayat. Setelah itu dia memagar pesakit agar tiada gangguan dari luar mengganggu urusannya. Seperti dijangka, tidak berapa lama kemudian terdengar suara dari luar tingkapnya. Haihhhhh haihhhhh. Dua kali kedengaran suara itu.

Pokcik ingat pokcik sahaja yang mendengarnya. Rupa-rupanya Rosnizam juga mendengar suara yang sama. Akan tetapi Rosnizam ingatkan itu suara si sakit.. Hihihihi. Kelihatan sepintas lalu budak kecil mengintai dari luar tingkap. Sekali sahaja pokcik melihatnya. Pokcik menunggu untuk melihatnya sekali lagi, manalah tahu anak jiran mengintai, namun tiada apa-apa yang berlaku selepas itu...

Pak Sahak meneruskan bacaannya. Pesakit kelihatan gelisah. Sesekali tangannya memegang bibirnya yang kering. Nafasnya turun naik dengan cepat. Tangannya diangkat ke atas. Pak Sahak tidak menghiraukan apa yang dilakukan oleh pesakit. Sesekali pesakit itu batuk namun Pak Sahak tidak menghiraukannya. Dia meneruskan bacaan dengan tenang.

Sesekali tangan Pak Sahak menunjukkan ke arah perut si sakit. Sesekali tangannya diarahkan ke bahagian bawah pinggang pesakit itu. Kelihatan tangan Pak Sahak silih berganti diarahkan ke tubuh pesakit. Pokcik boleh agak, di situlah gangguan bertapak di tubuh hamba Allah itu..

Kali ini pesakit itu menaikkan kedua-dua belah kaki pula. Kakinya yang masih luka itu diangkat tinggi. Terkejut juga pokcik atas perlakuannya itu. Dengan tenaganya yang kurang, hampir mustahil untuk dia mengangkat kedua-dua kakinya itu. Tambahan pula dia berbaring dan lemah. Kita yang sihat pun ada masalah untuk mengangkat kaki dengan tinggi. Inikan pula si sakit itu. Pak Sahak tetap tenang dan meneruskan bacaannya..

Kali ini terdengar pula Pak Sahak menghembus nafas dengan kuat. Mungkin dia betul-betul nak memusnahkan gangguan yang bertapak di tubuh pesakit itu. Pak Sahak mula merapatkan kedudukannya dengan si sakit. Kali ini dia memberi tumpuan pada seluruh anggota pesakit bermula dari hujung kaki hingga hujung kepala. Tangan Pak Sahak dirapatkan. Sesekali dia menghembuskan nafas ke tapak tangannya. Kedua-dua tangannya kini dirapatkan. Pokcik jangka, Pak Sahak sudah bersedia untuk menghapuskan gangguan itu seizin Allah...

Kali ini Pak Sahak melibaskan tangannya ke atas dan ke bawah bahagian badan pesakit tanpa menyentuhnya. Perlakuannya seperti menebas atau memotong sesuatu yang tidak dapat dilihat. Kelihatan peluh sudah mula memenuhi bahagian dada pesakit. Lama-kelamaan bahagian dada pesakit sudah seperti ada mata air yang keluar. Peluh sudah banyak bertakung di situ. Pak Sahak mengangkat tangannya agak tinggi. Kali ini sekali lagi terdengar dia mengeluarkan hembusan yang kuat. Pokcik jangka Pak Sahak menggunakan jurus pula..

Dengan bacaan beberapa potong ayat suci AlQuran, Pak Sahak kini menelungkupkan tangannya. Setelah itu dia kelihatan seperti menarik sesuatu keluar dari badan pesakit. Banyak bahagian anggota badan yang dia tumpukan. Pokcik lihat peluh pesakit semakin banyak keluar sehinggakan keseluruhan bahagian dadanya berpeluh dengan banyaknya. Pokcik lihat pergelangan tangannya kini sudah tiada pergerakan seperti nadi yang menolak kuat kulit sehingga naik. Pesakit juga kelihatan lebih tenang.

Nafasnya kini kelihatan lebih teratur. Alhamdulillah kata Pak Sahak setelah dia memeriksa semula kesemua bahagian anggota badan pesakit. Pak Sahak kemudiannya meminta isteri si sakit mengambil air kepada hamba Allah itu kerana menurutnya pesakit.kini dahaga dan kepanasan. Si isteri menurut sahaja kata Pak Sahak. Setelah berbual dengan isteri si sakit kami meminta diri untuk pulang.

Seperti biasa, sebaik sahaja kereta kami ingin bergerak, anak si sakit berlari mendapatkan.kami. Dia menghulurkan duit dengan cara bersalaman dengan Pak Sahak tetapi cepat-cepat Pak Sahak menarikkan tangannya. Dengan lembut dan bersopan Pak Sahak menolak pemberiannya. Pak Sahak memintanya hadiahkan ke tabung surau atau masjid bagi kegunaan dan keperluan masjid atau surau tersebut.. Anak si sakit mengalah.

Dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pak Sahak. Malam ni pokcik ke kedai Rosnizam untuk makan malam. Rosnizam belanja ketam tomyam dan telur bungkus. Pokcik cuma tumpang tuah sahaja. Menurut Rosnizam, sebaik sahaja pokcik bertolak dia berjumpa dengan si sakit. Katanya dia alhamdulillah. Apa pun moga si sakit terus sembuh dengan izin Allah. Pesanan terakhir Pak Sahak kepada isterinya, sekiranya Allah menjemput mereka hendaklah redha. Sekiranya Allah menyihatkan semula, bersyukurlah.

Bimbang juga ye apabila sakit tiba-tiba sihat bertenaga. Hanya Allah yang mengetahui beserta dengan  hikmahNya. Apa yang menggangu si sakit? Biarlah menjadi misteri seperti misterinya Pak Sahak yang tidak tahu di mana dia berada kini. Wallahua'lam. Salam hormat.



Tamat.