Friday 17 January 2020

SAKA SEBATI

Assalamualaikum..

Harini kita cerita bab SAKA pula.  Tapinya perkongsian kali ini lain sedikit sebab pokcik akan beri contoh sekali... Baru-baru ini ada seorang hamba Allah bercerita tentang neneknya. Apabila bercerita bab nenek, datuk dan seangkatan dengannya maka kebanyakannya berkisar tentang SAKA.

Saka yang ditinggalkan kepada pewaris kebanyakannya hampir sama. Dalam masyarakat Melayu, saka yang popular ialah hantu raya, pelesit, polong, harimau, saka pendekar dan saka bidan. Mungkin pada masa itu, membela hantu dah jadi satu perkara biasa. Siapa handal dialah raja. Siapa gagah dialah yang akan diangkat sebagai ketua. Bagi yang tinggal di kawasan pedalaman keperluan menjaga tanaman, rumah, kebun dan sawah mungkin menyebabkan mereka membela jin. Mungkin pada masa itu mereka tidak begitu terdedah dengan hukum hakam agama. Lagi satu, mungkin jarak atau perjalanan yang jauh dengan pendakwah menyebabkan ada segelintir masyarakat yang ketinggalan.

Berbalik kepada kisah pada kali ini. Apabila hamba Allah itu menceritakan perihal neneknya, pokcik sudah menangkap apa yang ingin disampaikan.

Persoalannya, tak berubat ke?
Sudah semestinya pelbagai usaha telah pun dilakukan. Ini termasuklah beberapa kali dibawa pergi ke Pusat Perubatan Islam yang terkenal.
Kenapa susah sangat agaknya. Apa masalahnya?
Apabila pokcik tanya, jawapannya ialah si nenek tak mahu membuang saka dan ingin mewariskan kepada anak cucunya. Parah juga kalau masalah macam tu.

Perawat cuba buang, dia pula panggil datang. Sampai bila agaknya masalah akan selesai. Memang kawan sudah berdamping terlalu lama, perasaan sayang menebal dalam hati tuannya. Pengalaman pokcik sendiri, pokcik pernah kongsikan dahulu, kita pula dimarahi oleh si tuan punya...

Awat hang nak buat dia. Kesian kat dia. Dia baik. Dia berkawan lama dah dengan aku, kata hamba Allah itu kepada pokcik. Ini pengalaman pokcik sendiri di Perlis. Jadinya pokcik faham sangat perasaan tuannya. Agak-agak pokcik buat apa? Hihihihihi...

Kembali lagi kisah kali ini. Apabila si nenek balik ke rumah, SAKAnya datang lagi. Tambahan pula ada anak cucunya melihat ada seekor harimau yang sering mendampinginya. Harimau pulak dah.. Hahahahahhaha..

Apa agaknya kesan kepada anak cucu?
Oleh sebab semua anak cucu tak mahu terima, saka mula mengganas. Rumahtangga anak mula bergolak. Hubungan menjadi panas. Hinggakan si suami tidak balik ke rumah dua tiga hari. Begitulah keadaanya. Nak salah kan siapa?

Pendapat peribadi pokcik, saka ini jin yang amat licik dan cerdik. Maklumlah sudah lama berdamping dengan manusia. Kalau kita bawa si sakit, sakanya akan tunggu di bawah rumah. Elok sahaja si sakit sihat di hadapan perawat. Elok perawat balik ataupun mereka balik ke rumah, saka itu akan ikut pulang bersama..

Kalau ikut logik, tak adalah saka akan beratur nak tunggu disembelih. Beratur-ratus saka disembelih katanya. Semua beratur setia. Next, mai sua tengok hang, aku nak sembelih.. Boleh gitu? Hihihihihi..

Jadinya pada pendapat pokcik, salah satu cara ialah perangkapnya tanpa sedar. Lagi satu, mohon doa pada Allah untuk menghapuskan saka itu. Kalau setakat halau, macam halau ayam, memang pesakit kena datang ke tempat kita 20 ke 30 kali, dan akhirnya keluarlah ayat, kita hanya berusaha. Patutnya ayat tu keluar pada kali ketiga pesakit itu datang bukannya kali ke 30.

Sebab apa agaknya orang takut sangat nak buang SAKA?

Banyak tanggapan bahawa apabila sakanya disakiti maka tuannya turut disakiti.

Pokcik tidak menolak tanggapan sebegitu sebabnya memang ramai yang memiliki saka akan sakit apabila diruqyah. Selain itu, tak kurang juga yang bersilat, melawan dan ada kalanya penumbuk si sakit singgah di muka perawat.

Paling ramai, saka mengaku terlalu sayang pada tuannya dan tak sanggup untuk berpisah. Bagi pokcik, dalam hal ini ada dua keadaan. Bagi tuan yang memang tahu dan sayang sakanya, mereka sukar untuk melepaskan saka itu kecuali diwarisi oleh anak cucu mereka. Bagi kes kedua, pesakit tidak tahu langsung bahawa dia mewarisi saka. Bagi kes kedua biasanya situasinya lebih mudah kerana dia memang tidak mahu kepada saka berkenaan..

Betulkah pemilik saka sukar untuk meninggal dunia? Bagi pokcik tidak mustahil ia berlaku. Memang ajal telah pun Allah tetapkan, tapi jangan lupa bahawa Allah membenarkan Iblis menyesatkan umat Adam sehinggalah tibanya kiamat. Permintaan Iblis telah diperkenankan oleh Allah.. Adakah mustahil, apabila Iblis memohon kepada Allah agar pesakit yang mewarisi saka akan berkeadaan demikian sehinggalah saka dipisahkan atau dikeluarkan? Semua yang bernyawa pasti akan merasai mati tetapi apakah asbab kematian seseorang.. Ada yang mati tua, ada yang meninggal dalam kemalangan, lemas, sesak nafas, sakit jantung dan sebagainya. Begitu juga dengan pesakit yang mewarisi saka, asbabnya tidak boleh kita tolak sebab semuanya dalam pengetahuan Allah.

Sahabat ingat lagi kes seorang nenek dari Terengganu yang viral dalam FB tidak lama dahulu? Sahabat kita Fazrin RìppërCrüst telah menghubungi cucu nenek itu. Setelah itu pokcik pula hubungi beliau. Bukankah sudah bertahun dia dalam keadaan tinggal tulang dan kulit sahaja. Bukankah sudah ramai yang usahakan setelah kes itu viral dalam FB? Ini menunjukkan bahawa saka bukanlah seperti gangguan biasa. Sebaik sahaja dipisahkan dengan sakanya, alhamdulillah dia pergi menemui Ilahi dan dipermudahkan perjalannya menemui Maha Pencipta.

Ada beberapa kes lagi yang berkaitan dengan saka. Salah satunya di Kampung apatah pokcik dah tak ingat. Anaknya terpaksa mengunci emaknya di dalam kadang besi kerana sudah tinggal tulang dan senipis-nipisnya kulit. Bab makan memang tak perlu diperkatakan. Memang saka, letak seekor ayam pun habis. Kerap minta makan pula.. Kalau dah mati, sudah tentu jasadnya semakin membusuk. Ini antara kisah yang dikongsikan kepada pokcik oleh seorang sahabat yang berada di kampung itu ketika kejadian itu berlaku.

Selain itu, kebetulan pokcik berjumpa kes SAKA ketika orang rumah pokcik ditahan di wad. Garang bukan main kata orang rumah pokcik. Asyik menjeling sahaja kepadanya yang kebetulan katil mereka mengadap. Ngeri juga.. Setelah beberapa hari di situ, suatu hari cucunya datang berjumpa pokcik untuk ikhtiarkan neneknya. Alhamdulillah Allah permudahkan dan keesokannya dia pergi mengadap Ilahi. Ini antara sebab pemilik saka yang sudah sebati dengan sakanya takut untuk berubat atau berikhtiar. Wallahuaklam..

Kalau kata semua kes saka yang pokcik ceritakan di atas melibatkan orang tua dan dengan izin Allah meninggal dunia, pokcik nak tarik perhatian kepada satu kes di Pulau Pinang yang pokcik usahakan secara jarak jauh. Pokcik dihubungi oleh seorang sahabat dari sana meminta pokcik ikhtiarkan kerana 7 orang perawat yang berada di situ buntu. Apa pun alhamdulillah dengan izin Allah semuanya Allah permudahkan. Budak itu sedar lebih kurang pukul 11.00 malam. Selepas meminta maaf dan berbual dengan ahli keluarganya, lebih kurang pukul 2 pagi, pokcik dihubungi. Kanak-kanak berusia lebih kurang 13 atau 14 tahun itu telah pun meninggal dunia..

Kata kuncinya bukan Umur tetapi SEBATI dan sudah semestinya KETENTUAN ALLAH. Wallahuaklam..

Oleh sebab dah hampir maghrib maka pokcik henti kan kisah bab SAKA buat kali ini. Macam-macam karenah si pembela saka ini yang telah pokcik jumpa. Kalau ada masa nanti boleh juga pokcik kongsikan. Wallahuaklam. Salam hormat..

UBAT BATUK

Assalamualaikum..

Suatu hari pokcik berjumpa jiran pokcik ketika sarapan di Kedai Nasi Kerabu Mek La Permatang Badak Kuantan...

Ketika makan, datang jiran pokcik  menceritakan perihal anak saudaranya yang pernah pokcik usahakan dulu....

Katanya anak saudaranya yang masih kecil itu dalam keadaan kritikal sekarang.. Terkejut pokcik sebabnya dahulu pokcik usahakan kes anak saudaranya yang tak boleh tidur malam. Tidur dalam lima minit pastu terjaga.. Alhamdulillah dah selepas tu....

Rupa-rupanya, si baby itu kemudiannya dihantar ke pusat penjagaan selepas itu kerana ibu bapanya bekerja..

Doktor mendapati buah pinggangnya sudah rosak dan begitu juga beberapa anggota dalamannya yang lain... Doktor syak berlaku JANGKITAN kuman atau virus kerana diberikan UBAT BATUK oleh pengasuh di pusat penjagaan berkenaan... Darah keluar dari hidung dan beberapa tempat lagi... Sekarang ini baby hanya bernafas dengan oksigen bantuan dan berbekalkan semangatnya....

Pesan pokcik, nak buka pusat penjagaan kanak-kanak dan seumpamanya haruslah kerana minat serta kasih akan kanak-kanak. Diri haruslah bertanggungjawab dan sentiasa menjaga kebajikan kanak-kanak tersebut.. Jangan kerana nak mengejar keuntungan, berpuluh-puluh kanak-kanak diambil dalam satu-satu masa dan akhirnya memberikan UBAT BATUK untuk memudahkan kerja....

Kita pun tak tahu pengasuh mana yang bertanggungjawab dan sebagainya.. Kan..... Susah juga kalau macam tu...

Cuma.....
Pesanan pokcik kepada mereka yang terlibat, jujurlah dan jangan  HARAMKAN sesuatu pekerjaan yang asalnya HALAL....

GANGGUAN BERULANG

Assalamualaikum.

Suatu hari  sahabat pokcik Awe Mrmn mesej pokcik perihal isteri sahabatnya. Katanya isteri kawannya sakit. Dengan kata lain, GANGGUAN BERULANG.

Pokcik tak mahu ulas dan tanya di mana hamba Allah  itu berubat sebabnya kita akan jadi seperti nak mencari kelemahan orang padahal kita semua maklum bahawa kesembuhan milik Allah...

Namun.....
Ada pengajaran yang kita boleh dapat daripada sesuatu kejadian yang berlaku sama ada PERAWAT mahu pun PESAKIT..

PERAWAT
1. Adakah niat dan pergantungan ikhtiar hanya kerana Allah dan bukannya ada niat tersembunyi.. Contohnya: Meraih keuntungan duniawi,

2. Adakah hubungan dengan Allah, baik. Bukan apa, kalau dengan Allah pun kita jauh, bagaimana kita nak minta ehsan daripadaNya. MUKA TAK MALUkah kita.

3. Adakah cara kita betul. Kalau menembak babi, jangan guna peluru penabur, kena gelak dengan babi sahaja. Gunakanlah peluru tunggal. Burung akan balik ke sarang mereka kecuali kita musnahkan burung atau kita musnahkan sarangnya. Kalau kita halau burung chiak padi, silap-silap mereka akan datang lebih ramai dan mengajak kawan depa untuk turut serta sekali.

4. Jangan terlalu taksub atau ujub dengan cara sendiri sahaja sehingga menidakkan cara lain yang lebih berkesan selagi tidak mensyirikkan Allah. Jangan mudah berpuas hati dengan apa yang ada tetapi sentiasa mumuhasabah diri dan mencari jalan untuk memperbaiki kelemahan dan menutup kelompongan yang ada.

5. Sentiasa memperbaiki diri supaya menjadi lebih baik bukannya mencari kesalahan dan kelemahan orang lain. Selain itu, jangan cuba membuat fitnah atau menuduh serta bersangka-sangka dengan orang lain dan membuat cerita supaya orang hanya datang kepada kita. Niat bukannya nak menolong kerana Allah tetapi lebih kepada strategi pemasaran dan meraih keuntungan.

PESAKIT
1. Adakah hubungan dengan Allah cukup baik?

2. Adakah ini ujian atau teguran daripada Allah?

3. Adakah ia merupakan KIFARAH daripada Allah atas perbuatan kita yang terdahulu?

Jadinya pokcik berpesan kepada diri pokcik sendiri dan sahabat-sahabat yang pokcik kasihi agar sentiasa memuhasabah diri agar kita tidak MENYALAHKAN ALLAH DAN TAKDIR serta memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik. Manusia tidak sempurna dan sentiasa terdedah kepada dosa sama ada sedar mahu pun tidak, namun selagi NYAWA masih dikandung badan pintu taubat sentiasa terbuka. Merayulah dan memohonlah kepada Allah kerana Allah Maha Mendengar dan Mengabulkan doa hambanya.

Mungkin bukan rezeki kami lagi untuk berjumpa dengan hamba Allah itu kerana apabila pokcik menghubungi Awe Mmn, beliau berada di Kelantan atas sesuatu urusan.

Maafkan segala kekurangan dan kelemahan pokcik ketika menulis posting ini.. Sesungguhnya hanya Allah yang Maha Sempurna dan kita sebagai insan biasa tidak terlepas daripada kelemahan dan kealphaan. Wallahuaklam. Salam hormat..

Wednesday 15 January 2020

LEMBAGA DI POHON RAMBUTAN

Assalamualaikum.

Alhamdulillah dipertemukan lagi buat sekian kalinya oleh Allah. Apa khabar semua? Moga sihat sejahtera hendaknya. Kali ini pokcik akan membawa sahabat semua ke Kelantan. Pokcik akan kongsikan perihal keluarga sahabat yang sering mengalami kejadian aneh. Dengan kata lain, kisah mistik yang membelenggu keluarga ini.

Bapa saudara sahabat pokcik ini dikatakan membela toyol. Kebiasaannya toyol dibela berpasangan. Macam manusia jugalah yang berpasang-pasangan. Cuma toyol pokcik tak pernah lagi dengar ada lebih daripada satu pasangan berbeza dengan manusia. Bagaimana pula kalau pasangan toyol ditangkap? Kebiasaannya si tuan akan pergi ke Siam untuk mencari pasangan baru. Lebih parah lagi kalau niat pergi ke Mekah untuk mengambil toyol. Niat pun dah salah. Kan.

Oleh sebab bapa saudaranya membela toyol maka sering berlaku kehilangan duit di rumah ibu sahabat pokcik. Sahabat pokcik turut mengalami kejadian yang sama.

Setelah kematian bapa saudaranya itu kejadian kehilangan duit sudah tidak berlaku di rumah itu. Suratan atau kebetulan? Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Setelah selesai kejadian itu timbul pula masalah lain.

Ibu sahabat pokcik dan anak-anaknya sering sakit dan mengalami masalah misteri. Rumahnya sering diganggu dengan kehadiran makhluk-makhluk halus.

Ustaz dipanggil untuk menyelesaikan masalah itu. Menurut ustaz ada yang menunggu keluarga mereka di pohon rambutan di belakang rumahnya. Kalau boleh disuruh petik rambutan mungkin diorang tak marah dan takut sangat agaknya. Hihihihi.

Makhluk itu juga sering kelihatan menunggu di bahagian dapur di belakang rumahnya. Ngeri juga. Pokcik tak tanya pula tandas dibina di luar atau di dalam rumah. Hihihihihi… Kalau tandas di luar rumah, agaknya rela tahan sakit perut dari malam ke pagi.

Setelah dipanggil ustaz perawat masalah hilang sementara. Tak lama kemudian kejadian pelik atau misteri berlaku lagi. Entah berbelas atau berpuluh tahun kejadian aneh sering berulang kali berlaku.

Nak dijadikan cerita, jirannya merupakan bomoh di kampung itu. Namun begitu, setiap kali berlakunya kejadian aneh dan misteri, si bomoh tidak dipanggil oleh mereka.

Menurut sahabat pokcik ada kemungkinan jiran ibunya marah dan menghantar sihir kepada keluarga mereka. Entah ayat itu dipinjam daripada perawat yang pernah usahakan keluarga mereka atau muncul daripada pemikiran sahabat pokcik, hanya Allah yang Maha tahu.

Pada suatu hari sahabat pokcik Bersama dengan keluarga mertuanya tidur di rumahnya di Kelantan. Nak dijadikan cerita berlakulah kehilangan duit atau barangan ibu mertuanya itu.

Mungkin jirannya itu datang menziarahi mereka pada malam itu. Menurut sahabat pokcik, mereka seperti dipukau.
Barangan atau duit ibu mertuanya hilang biar pun pintu bilik di kunci. Setelah sedar  maka gemparlah mereka dengan kehilangan barang ibu mertuanya itu.

Adik beradik mereka pun bertengkar dan bertegang urat dan saling menuduh antara satu sama lain. Sahabat pokcik berasa sangat malu dengan ibu mertuanya. Pagi itu sahabat pokcik mengamuk dan ingin menyerang jirannya itu namun Berjaya ditenangkan oleh bapanya yang masih hidup pada ketika itu.

Sejak itu ibu mertuanya lebih rela tinggal di hotel berbanding tidur dii rumah itu sekiranya bertandang atau pergi ke Kelantan.

Kejadian mistik terus berlaku sehingga ke hari ini. Selain masalah sihir, sahabat pokcik juga risau dengan masalah saka. Menurut sahabat pokcik, datuknya dahulu meninggalkan saka kepada anak cucunya.

Pokcik tak pula bertanya saka jenis apa yang ditinggalkan itu. Bukan apa, bimbang berlakunya fitnah terhadap si mati. Kalau pokcik bertanya lebih lanjut mungkin sahabat pokcik itu akan bercerita dengan lebih mendalam.

Pada pukul 9.24 pagi Ahad baru-baru ini pokcik menerima mesej daripada sahabat pokcik dari Kelantan. Pada pukul 11.36 pagi barulah pokcik menjawab mesej itu. Maklumlah orang tua. Lepas solat Subuh pokcik tidur semula.

Sahabat: Assalamualaikum boh. Kawe kelik Kelate ni, mek masuk wad. Nk mitok demo scan mek kawe sikit, boleh ke
Pokcik: Waalaikumussalam. Baru buka hset. Sorry boh. Boleh

Itu isi mesej daripada  sahabat pokcik itu.
Sebaik sahaja pokcik membalas mesejnya, sahabat pokcik terus menelefon pokcik. Katanya dia masih di hospital Bersama dengan ibunya itu. Pokcik menjelaskan bahawa mengikut kefahaman pokcik ibunya ada tersumbat pada bahagian dada kanannya. Mungkin ada juga unsur mistik.

Sahabat pokcik kemudiannya menjelaskan bahawa si ibunya mengalami sesak nafas atau kesukaran untuk bernafas. Doktor telah menggunakan topeng oksigen tetapi percubaan mereka gagal.

Setelah tujuh kali percubaan barulah ibunya boleh bernafas dengan baik. Selain itu juga ibunya hanya boleh duduk bersandar. Sekiranya dia ingin turun dari katil, dia terus sukar untuk bernafas. Bahagian belakang bahunya juga berat seperti memikul beban yang besar dan berat.

Oleh itu sahabat pokcik telah meminta pokcik usahakan ibunya secara jarak jauh.

Seboleh-bolehnya sahabat pokcik ingin pokcik usahakan ibunya sebelum pemeriksaan doctor. Dipendekkan cerita, pokcik selesai usahakan ibunya itu pada pukul 12.23 tengah hari. Pokcik juga berpesan, jangan letakkan harapan kepada pokcik sebab kita hanya mampu berusaha dan selebihnya penyerahan bulat-bulat kepada Allah.

Dengan izin Allah, sebaik sahaja selesai ushakannya, ibu sahabat sudah boleh bangun dan berjalan ke bilik air sendirian. Bahunya sudah menjadi ringan seizin-Nya. Alhamdulillah segala puji hanya bagi Allah yang memudahkan urusan kami.

Doktor membuat pemeriksaan lebih kurang pukul 2.00 petang. Doktor agar terkejut dengan perubahannya secara mendadak. Mereka terus dibenarkan untuk pulang ke rumah.

Sebaik sahaja tiba di rumah, si ibu dibawa ke biliknya. Dia berasa kurang senang ketika berada di dalam bilik itu. Anaknya terus membawanya ke bilik lain. Adakah ada sesuatu di situ? In shaa Allah kalau ada ruang dan waktu serta dipanjangkan usia oleh Allah, kita cuba pula melihat keadaan biliknya itu. Sekian buat kali ini. Moga berjumpa lagi. Salam hormat.

-          POKCIK SEMAN

Wednesday 8 January 2020

BELAAN SIAPA

Assalamualaikum

Alhamdulillah kerana masih dipanjangkan usia oleh-Nya. Kali ini pokcik ingin kongsikan satu lagi kisah mistik yang berlaku semalam. Ketika sedang berbual dengan beberapa orang rakan sekerja tiba-tiba salah seorang daripada mereka menerima panggilan telefon daripada isterinya. Ketika menjawab panggilan telefon itu, mukanya berkerut. Sudah tentu ada sesuatu yang tak kena sudah berlaku.

Setelah panggilan tamat, tanpa perlu ditanya si sahabat menceritakan bahawa isterinya menelefon kerana anaknya menangis tanpa berhenti-henti. Awalnya pokcik menjangkakan bahawa si bayi itu menangis kerana kembung perut atau sebagainya. Takkanlah si emaknya cubit atau pukul bayi. Lainlah kalau memang ada masalah mental.

Setelah diam sebentar si sahabat mula bersuara.

Sahabat: Macam ni. Orang rumah saya menelefon dan minta pokcik tengokkan anak saya.

Pokcik: Kenapa?

Sahabat: Saya rasa lain macam. Saya pernah melihat kelibat makhluk hitam dalam rumah saya. Anak saya pun pernah tengok. Sebab itu sekarang dia tidur dan kelubung selimutnya sampai ke kepala.

Sahabat: Lagi pelik, anak kecil saya menggengam penumbuk masa menangis. Nak buka genggaman pun susah. Makin dipasang ayat ruqyah makin menjadi-jadi nangisnya. Geram pulak saya..

Pokcik: Oooo

Sahabat pokcik kemudiannya meneruskan kisah sebenar yang berlaku. Katanya ada seorang bomoh yang baru berpindah berhampiran rumahnya. Lebih kurang sebulan lebih agaknya dia berpindah ke situ. Suatu malam mereka melepak di sebuah bangsal yang menjadi tempat lepak penduduk kampung. Si bomoh itu pun turut melepak bersama dengan mereka. Ketia sedang leka melepak, emak saudara sahabat telah berhenti di situ lalu menegur sahabat ini.

Mata si bomoh bertumpu kepadanya. Setelah emak saudara sahabat itu berlalu pergi meunju ke rumah si sahabat, si bomoh tiba-tiba memberitahu kepada sahabat bahawa ada sesuatu yang tak kena dengan emak saudaranya itu.

Bomoh: Ada tak kena dengan emak saudara awak. Awak balik dulu. Nanti saya ke sana

Sahabat: Baiklah

Setelah itu si sahabat pun balik ke rumahnya. Emak saudaranya sudah berada di situ. Dia memberitahu kepada emak saudaranya itu akan kehadiran si bomoh. Tak lama kemudian si bomoh pun sampai. Dia terus naik ke atas rumah.

Bomoh: Awak ni sakit. Awak dah kena buatan orang. Ada orang sihirkan awak ni.

Emak saudara: Betullah tu. Sebab itu saya nak berubat

Bomoh: Awak ada tahi lalat pada paha kiri. Orang yang sihirkan awak ini menggunakan hantu raya. Dia ambil hantu raya itu di belakang rumahnya di sebatang pokok. Si suami meletakkan darah kotor isteri mudanya ke dalam makanan awak.

Emak saudara: Betullah tu. Anak saya selalu beritahu bahawa dia selalu berbau hanyir darah pada waktu pagi sekiranya si bapa baru balik dari rumah isteri muda.

Si bomoh menceritakan cara hantu raya diambil, kedudukan bilik serta pelbagai perkara yang berkaitan dengannya serba lengkap. Semuanya diakui benar oleh emak saudara si sahabat. Hebat betul bomoh ni. Gamaknya itulah yang bermain di dalam fikiran mereka. Sahabat pokcik sudah biasa mendengar si bomoh menceritakan secara tepat kisah seorang sahabat mereka ketika sedang melepak.

Bomoh: Ayah awak patah bahu ye jatuh dari kerusi

Lan: Betul.

Si bomoh pun bercerita perihal tempat tinggal ayah Lan di Segamat. Hebat betul. Si bomoh yang tidak pernah pergi ke sana boleh menceritakan perihal hidup ayahnya dan tempat tinggalnya dengan tepat. Siap boleh bercerita tentang bilik-bilik di rumah itu. Bukan calang-calang orang kalau begitu. Kan.

Berbalik kepada kisah emak saudara sahabat pokcik. Si bomoh pun meletakkan jarinya pada dahi emak saudara sahabat pokcik. Ibu jari kakinya pula dipegang oleh si bomoh. Tanpa disangka-sangka, emak saudara sahabat pokcik sudah tidak sedarkan diri. Dia mula bercerita setiap solan yang dikemukakan oleh si bomoh itu. Rawatan selepas itu tidak pula diceritakan kepada pokcik. Selesai sahaja rawatan, si bomoh meminta diri untuk pulang ke rumahnya.

Setelah itu bermulalah kisah baru........

Setelah kejadian itu, keadaan emak saudara sahabat pokcik semakin teruk. Mukanya mengelupas teruk dan keadaannya semakin tidak terurus sehinggalah ke hari ini. Rumah sahabat pokcik pula sering diganggu oleh lembaga hitam. Sudah beberapa kali sahabat pokcik melihat kelibat makhluk tersebut namun dia hanya bersabar dan mendiamkan diri. Mungkin juga dia tak mahu keluarganya berasa takut.

Kelakuan anak lelakinya pula menjadi semakin pelik. Dia sudah tidak berani untuk tidur seorang diri. Apabila tidur dia akan  mencari sahabat pokcik. Dia menyelimuti keseluruhan tubuhnya. Apabila ditanya barulah dia mula bersuara. Katanya dia sudah melihat si bomoh itu berkeliaran di dalam rumahnya. Lembaga berupa bomoh itu akan mundar-mandir di dalam rumah dan akan pergi ke arah kerusi yang dia duduk pada malam kejadian itu. Setibanya di kerusi itu, kelibat berkenaan akan menghilangkan diri.

Sahabat pokcik melihat lembaga hitam manakala si anak melihat kelibat si bomoh. Apa agaknya tu? Wallahuaklam. Bermula dari malam tersebut anak kecil sahabat pokcik mula menangis tanpa henti-henti dan sukar dipujuk. Sehinggalah semalam, kejadian itu masih berlaku. Pokcik meminta sahabat agar bersabar dan memantau perkembangan anaknya. Pada waktu tengah hari, pokcik meminta dia menelefon isterinya untuk bertanyakan khabar anak kecil mereka. Menurut si isteri anak kecil mereka telah berhenti menangis setelah dibawa keluar dari rumahnya. Pokcik berasa lega. Namun begitu pokcik berpesan agar sahabat menghubungi pokcik sekiranya masalah itu masih berlarutan.

Pada pukul 10.27 malam pokcik menerima mesej daripada sahabat. Dia memberitahu keadaan anaknya yang menangis tidak berhenti-henti dan matanya melihat ke siling rumah. Kebetulan pada masa itu pokcik berada di kedai makan bersama seorang sahabat. Namun begitu pokcik berjanji akan usahakan anaknya itu sebaik sahaja pokcik sampai di rumah.

Sebaik sahaja sampai di rumah pokcik terus solat dan berdoa agar Allah memudahkan urusan kami. Pokcik juga berdoa semoga Allah perkenankan usaha pokcik dan memberikan kesembuhan kepada si anak kecil itu dan semoga semua yang terlibat dapat mensyukuri rahmat dan ehsan serta kebesaran Allah serta makin mendekatkan diri kepada-Nya.

Ketika memejamkan mata di atas sejadah pokcik terbayangkan satu lembaga berbulu seperti seekor monyet yang besar. Mungkin itu mainan perasaan pokcik atau sebagainya namun di dalam hati pokcik, pokcik memang memohon kepada Allah untuk memberikan petunjuk. Setelah itu pokcik membacakan beberapa ayat-ayat suci Al-Quran dan memohon agar makhluk yang mengganggu itu musnah dengan izin Allah. Alahmdulillah tiada apa-apa kepelikan yang berlaku sepanjang usaha pokcik.

Pada pukul 11.24 malam pokcik menghubungi sahabat pokcik untuk memberitahu bahawa pokcik sudah selesai ikhtiarkan anaknya itu. Pokcik juga bertanyakan tentang keadaan anaknya sama ada masih menangis atau pun sudah tidur. Menurut sahabat pokcik anaknya itu masih berjaga tetapi sudah diam dan tidak menangis lagi. Alhamdulillah kerana sekali lagi Allah permudahkan usaha pokcik. Badan anaknya panas dan muntah. Namun dia tidak lagi menangis sungguhpun dalam keadaan sedemikian.

Sehinggalah ketika pokcik menaip kisah ini pada malam ini tepat 10.38 p.m, 8.1.2020 anaknya sudah tidak menangis lagi. Bagaimana dengan emak saudaranya? Dia kini sedang mencari perawat. Moga dia berjumpa dengan perawat yang serasi dengannya dan sembuh dengan izin Allah. Menurut sahabat pokcik emak saudaranya itu ingin berjumpa dengan pokcik. Tengok dahulu keadaan. Maklumlah, POKCIK BUKAN PERAWAT dan BUKANNYA BOMOH.

Moga berjumpa lagi. Maaf andai ada tersalah dan terkasar dalam penulisan pokcik. Sesungguhnya pokcik bukannya arif dalam berkata-kata. Hanya insan biasa yang ingin berkongsi pengalaman dan kisah perjalanan hidup pokcik.

Berita yang pokcik baru terima, si bomoh telah pun berpindah dan balik ke Kedah....

Salam hormat.


-POKCIK SEMAN


Tuesday 7 January 2020

SIAPA KAMU

Assalamualaikum.

Selamat tahun baharu 2020 pokcik ucapkan. Alhamdulillah ada kesempatan dan ruang diberikan oleh Allah maka pokcik akan kongsikan pula suatu kisah yang berlaku dua hari lepas. Kali ini pokcik telah menghadiri satu majlis perkahwinan emak saudara pokcik di Taman Datuk Rashid, Kuantan yang kehilangan suaminya tidak berapa lama dahulu.

Pokcik sampai lebih kurang pukul 12.30 tengah hari. Setibanya pokcik di sana, kelihatan ramai tetamu yang sedang beratur menunggu giliran mereka untuk mengambil juadah. Pokcik anggarkan lebih daripada seratus orang berada di dalam tiga buah khemah termasuk tetamu yang sedang berdiri mencari tempat duduk. Ramai betul tetamu. Mengalahkan perkahwinan anak dara. Hihihihi.

Oleh sebab tiada tempat duduk maka pokcik dan orang rumah membuat keputusan untuk mengambil makanan dan kemudiannya makan di dalam rumah pengantin. Setelah masuk di dalam rumah, ada laksa yang terhidang di atas meja. Mungkin laksa itu sengaja diletakkan di dalam rumah bagi memberi peluang tetamu dari jauh yang lambat datang untuk merasai laksa kuah lemak itu. Laksa gebok kata orang Pahang.

Setelah makan pokcik bersama orang rumah pergi ke ruang tamu untuk melihat persandingan emak saudara pokcik itu. Sempatlah pokcik bergambar sebagai kenang-kenangan. Ketika pokcik sedang bergambar bersama dengan pengantin, kelihatan orang rumah pokcik sedang berbual dengan seorang perempuan. 

Orang rumah : Assalamualaikum
Kak Ti : Waalaikumussalam. Macam mana kenal dengan Siti? ( bukan nama sebenar )

Orang rumah: Oh, Siti ni emak saudara saya.
Kak Ti: Oh, macam tu. Kak Ti dulu satu tempat kerja dengan Siti.

Orang rumah: Kak Ti dah sihat?
Kak Ti: Belum. Lama dah Kak Ti berubat sampai ke Indonesia. Namun masih begitu. Tadi baru sahaja Kak Ti berjumpa dan berubat dengan Ustaz Iqbal ( bukan nama sebenar ). Ustaz kata dah tak ada gangguan pada saya.

Orang rumah: Alhamdulillah. Baguslah macam tu.
Kak Ti: Entahlah. Tiba-tiba Kak Ti meremang sekarang ini. Kepala Kak Ti jadi besar apabila masuk ke dalam rumah. Bahu Kak Ti sekarang ini tiba-tiba sakit. Sekarang Kak Ti rasa lain macam.

Orang rumah: Ke Kak Ti tengok orang tu.
Kak Ti: Ha, betullah. Siapa tu?

Orang rumah: Itu suami saya yang haritu Kak Ti kata nak berubat tapi tak berkesempatan. Petang ini dia nak ke Muadzam dah.
Kak Ti: Tak apalah. Kalau ada kesempatan, Kak Ti nak ikhtiar juga dengan suami Ina. (bukan nama sebenar)


Pokcik yang melihat perbualan itu terus bergerak ke arah mereka lalu menyapa perempuan tersebut. Dia memperkenalkan dirinya sebagai kak Ti. Pokcik melihat Kak Ti seperti ayam berak kapur. Dia amat gelisah. Pokcik nampak dia sudah tidak dapat mengawal diri dan akan kerasukan. Melihat keadaannya itu, pokcik bimbang akan gempar majlis perkahwinan sekiranya Kak Ti tidak sedarkan diri. Pokcik membuat keputusan untuk ikhtiarkannya.

Oleh sebab keadaan di situ tidak sesuai maka pokcik mengajak orang rumah dan Kak Ti masuk ke dalam bilik di rumah rumah emak saudara pokcik itu. Kak Ti bersetuju dan terus menelefon suaminya untuk mendapatkan keizinan. Alhamdulillah suaminya memberikan persetujuan dan serentak dengan itu kami bertiga masuk ke dalam bilik.

Dia sudah tidak keruan. Mukanya ditundukkan. Dia sendawa berkali-kali seperti mahu muntah. Kebetulan ada kotak di situ. Dia ingin muntah di dalam bekas itu tetapi orang rumah pokcik tidak membenarkannya. Orang rumah pokcik terus bergegas mengambil plastik. Lakonan sahaja itu agaknya. Permainan jin. Entah dia nak lari atau sebagainya. Wallahuaklam. Hanya Allah Yang Maha mengetahui.


Tanpa membuang masa pokcik terus pagarkannya.

Tangannya terus menggeletar. Pokcik memintanya beristighfar tetapi kata-kata pokcik seperti sudah tidak dapat didengari olehnya. Dia seperti sudah berada di dunia lain. Akhirnya keluarlah dengusan yang mengerikan dan akhirnya dia mula bersuara apabila pokcik mula membacakan beberapa potong ayat suci al-Quran.

Kak Ti: Siapa kamu? Kamu bukan ustaz tadi. Aduh sakitnya aku. Panas,panas, panas...

Pokcik terus membaca ayat-ayat suci al-Quran dengan tenang tanpa mempedulikan rintihannya. Suara Kak Ti sudah bertukar kepada sleng Indonesia.

Kak Ti: Sakit, sakit, panas, panas. Apa yang kamu hembuskan kepada aku? Dengan ustaz tadi aku tak sakit. Aku tak panas. Siapa kamu? Sakitnya kepala aku.

Pokcik malas melayan permainan jin. Itulah salah satu cara jin memperdayakan umat Islam dengan menimbulkan riak di dalam hati. Sekiranya kita terperdaya sudah tentu kita bersyirik tanpa sedar kerana sudah ada keakuan diri. Tiada daya upaya manusia. Semuanya milik Allah dengan rahmat dan ehsan-Nya.

Kak Ti terus-menerus mengaduh sakit dan kepanasan. Pokcik biarkan dia dengan keadaannya itu tanpa menjamah atau memukul dia tanpa sebarang sebab. Apabila dia semakin agresif biarpun masih tidak boleh bangun daripada tempat duduknya maka orang rumah pokcik berjalan keluar lalu memanggil bapa saudaranya untuk menemani pokcik. Takut agaknya.

Kak Ti: Apa engkau buat dengan aku ini. aku sakit. Aduh miangnya. Aduh gatalnya. Mengapa miang buluh ini datang semula kepada aku.

Kak Ti terus menggarukan kepalanya dan dengan kasar menggaru bahagian perutnya. Perutnya yang mengeras digaru dengan cara yang kasar sekali. Apabila melihat keadaannya yang semakin tidak keruan, pokcik niatkan untuk menamatkannya dengan segera seizin Allah. Pokcik meletakkan sebiji limau nipis di atas kepalanya. Dia menjerit kesakitan. Tangannya terus menepis limau yang pokcik letakkan di atas kepalanya itu.

Melihatkan keadaan itu, bapa saudara pokcik yang baru sahaja masuk ke dalam bilik terus menangkap dan memegang tangan Kak Ti. kak Ti tidak dapat mengelakkan kepalanya lagi daripada diletakkan dengan limau itu.. Dia hanya dapat menggerakkan kepalanya ke kiri dan ke kanan dan sesekali menundukkan kepalanya.

Pokcik terus niat untuk merentap keluar jin tersebut. Dengan kalimah Allahu Akbar, disentap keluar jin berkenaan. Kak Ti terus tumbang. Dia terus sedarkan diri dan beristighfar serta mengucapkan syukur. Alahmdulillah segala puji bagi Allah.

" Indonesia ye," kata bapa saudara orang rumah pokcik. Pokcik hanya tersenyum. Biarlah dari mana pun. Yang penting sembuh dengan seizin Allah. Bab lain itu kita abaikan kerana mainan jin sangatlah licik.

Pokcik dimaklumkan bahawa dia terkena dengan amah atau bibiknya. Kononnya bibiknya itu mahu merampas suaminya. Wallahuaklam. Itu pun diberitahu oleh perawat-perawat yang pernah ikhtiarkan Kak Ti. Bagi pokcik pula, semuanya dalam pengetahuan Allah.

Setelah itu pokcik balik ke rumah kerana ingin bertolak ke Muadzam. Pada malam itu orang rumah pokcik menghubungi Kak Ti untuk mengetahuan keadaannya. Alamdulillah, hilang sudah sakit di bahunya seizin Allah. Kebas pada bahagian kakinya juga semakin kurang. Pokcik meminta orang rumah memberitahu Kak Ti agar mandi air limau sebagai ikhtiar untuk menguatkan semangat dan menyegarkan badan.

Orang rumah pokcik juga meminta dia menghubunginya sekiranya berasa tidak sedap badan dan sebagainya. Alhamdulillah, sehingga kisah ini ditulis oleh pokcik pada masaini, dia tidak lagi menghubungi kami. Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang memberikan kekuatan dan semangat serta kesembuhan kepadanya.

Sekian perkongsian pada kali ini. Moga berjumpa lagi. Maaf andai ada tersalah atau tersilap kata dalam hasil penulisan pokcik ini. Salam hormat semua sahabat..


-POKCIK SEMAN