Saturday 20 April 2019

TANGAN TAK BOLEH DIANGKAT





Semalam pokcik sempat menziarah bapa saudara orang rumah pokcik yang terlantar di hospital UIA. Keadaannya sudah nazak. Dalam pukul 2 pagi, beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Jenazah akan dikebumikan di Pekan, Pahang. Jadinya lebih kurang pukul 8.30 pagi tadi pokcik bertolak ke Pekan, Pahang.


Alhamdulillah jenazah selesai dikebumikan lebih kurang pukul 11.00 pagi. Setelah semuanya selesai lebih kurang pukul 11.40 pagi pokcik bersiap-siap untuk balik. Tiba-tiba orang rumah pokcik datang ke arah pokcik dan mengatakan ada orang yang mencari pokcik. Siapa gerangan dan apa tujuan tak tahu pulak sebabnya tak diberitahu kepada pokcik.


Tak lama kemudian datanglah seorang lelaki yang pokcik kenali. Lelaki itu ialah bapa saudara orang rumah pokcik yang pernah pokcik usahakan SAKAnya di KMC lebih kurang dua tahun lepas. Selepas bersalaman dia memberitahu tujuannya kepada pokcik. Kali ini tangan kirinya pula sakit, tidak boleh digenggam dan bahu kirinya tidak boleh diangkat. Kasihan pula pokcik sebabnya nampak dia seperti mengerang kesakitan ketika cuba mengangkat tangan kirinya itu.
Lama juga sakit tangan dan bahu kiri ni. Pergi hospital, makan ubat, urut tak jadi apa, terangnya.


Tak apalah. Jom pokcik tengokkan, kata pokcik.
Setelah itu kami bergerak keluar dari tanah perkuburan. Kami menuju ke arah kereta anaknya. Jom kita buat dalam kereta anak kawan, katanya. Pokcik ikut saja.
Kena buka air conditioning baru lega sikit, katanya sambil gelak. Pokcik senyum sahaja. Kami berdua duduk di bahagian depan. Terus pokcik berdoa dan memintanya agar bertenang. Baru mula sekejap, ada seorang perempuan datang. Anak saudaranya agaknya. Tingkap dibuka. Mereka bersalaman. Perempuan itu berbual seketika.


Kawan ni tengah berubat, katanya.. Terus perempuan itu berlalu Setelah diberitahu begitu.. Tidak lama kemudian datang sorang lelaki. Dia membuka tingkap keretanya lagi. Hai, di sini pun jadi, kata lelaki itu. Setelah bersalaman dia pun berlalu...
Kami teruskan lagi.. Ketika pokcik meletakkan jari di belakang bahu kirinya, dia menjerit perlahan. Sakit agaknya. Letak jari sahaja pun. Bukannya tekan, cocok dan sebagainya. Pokcik memegang bahagian lain pula. Pokcik letakkan tangan kanan pokcik pada bahagian kiri tangannya. Dia mula meramas tangannya. Tangannya dibuka dan ditutup. Pokcik letakkan sekali lagi jari pokcik berhampiran dengan bahagian tadi.. Sekali lagi dia mendesis. Sakit agaknya tu...


Tak lama kemudian orang rumahnya masuk ke dalam kereta dan duduk di kerusi belakang. Pokcik tak ambil tahu kehadirannya. Kami teruskan sampai selesai. Alhamdulillah Allah permudahkan.


Sakit ke tadi, tanya pokcik. Kawan rasa ada angin keluar tembus nadi kawan, terangnya. Dua kali keluar dari urat kawan, tambahnya lagi.. Nampaknya gangguan tu dah berada dalam saluran darah agak lama, wallahuaklam..
Lega dah ni. Tangan pun dah boleh gerakkan dan dah boleh genggam, katanya lagi.
SAKA ke? Tanya orang rumahnya secara tiba-tiba. Taklah, kata pokcik. Dulu memang ada SAKA, tambah pokcik lagi..


Ya, kata bapa saudara orang rumah pokcik ringkas mengiyakan cakap pokcik.
Biasalah kontraktor berjaya. Ada sajalah yang nak uji. Apa pun ayat ini pokcik tak beritahu kepadanya bimbang berlaku fitnah. Apa pun alhamdulillah sekali lagi Allah permudahkan urusan pokcik..


Sekian sekelumit pengalaman pada hari ini.. Moga kita semua dalam rahmat dan perlindungan Allah. Moga berjumpa lagi. Wallahuaklam.. Salam hormat..



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.