Tuesday 14 August 2018

BIDAN BERPAKAIAN HITAM

11.8.2018

Assalamualaikum...

Tajuk : Bidan Berpakaian Hitam

Pokcik nak ceritakan perihal kisah malam tadi.  Lebih kurang pukul 9.00 malam pokcik keluar pergi mengeteh. Tiba-tiba pokcik menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki. Lelaki ini pernah pokcik usahakan dahulu. Kalau tak salah pokcik kes jembalang hutan sehingga kurus kering badannya. Alhamdulillah sekarang ini badannya sudah berisi semula...

Dia memberitahu bahawa anak perempuan sulungnya tiba-tiba sakit. Badannya menggeletar dan lembik. Pokcik tanya dah berapa hari keadaan itu berlaku. Katanya sudah dua tiga hari. Dia juga memberitahu bahawa dia telah membawa anaknya ke rumah pokcik tanpa menelefon terlebih dahulu tetapi pokcik tiada di rumah. Sebab itulah dia tahu pokcik berada di luar. Pokcik memberitahunya bahawa  pokcik akan menelefonnya semula sekiranya balik awal..

Setelah itu pokcik teruskan minum.. Dekat dengan pukul 10.30 gamaknya pokcik berasa tak sedap hati pulak. Maklumlah orang berharap. Kita pulak dok mengeteh macam tak ada apa-apa yang berlaku. Pokcik menelefonnya kembali dan memberitahu bahawa pokcik dalam perjalanan ke rumahnya. Kali ini orang rumahnya yang menjawab panggilan telefon pokcik.  Sebaik sahaja sampai, lampu rumahnya terpasang terang-benderang. Kelihatan dari luar rumah anak cucunya sedang berkumpul. Pokcik disambut oleh menantu lelakinya yang tengah. . Setelah pekena sebatang, pokcik dan Angah (menantu tengah) melangkah masuk ke dalam rumah..

Sebaik sahaja masuk, pokcik tengok anak sulungnya duduk di lantai. Adik-beradiknya yang lain berada berhampiran dengannya. Pokcik tengok mukanya seperti orang yang sedang keliru. Pokcik tanya, apa yang dia rasakan sekarang ini. Dia memberitahu bahawa dia berasa hanyut seperti tidak tahu apa-apa. Kebiasaannya orang yang berkeadaan sebegitu kerana gangguan sudah keluar atau baru sahaja sedar daripada kerasukan...

Pokcik bersuara. Pokcik tanya, dah berapa hari jadi macam tu. Dia memberitahu bahawa sudah tiga hari. Hari ini paling teruk sehingga dia dikejarkan ke hospital. Asal ceritanya, lebih kurang pukul 2 petang, dia menyidai baju di rumahnya. Tiba-tiba, dia terasa seperti kakinya dibentes. Dia terjatuh. Pelik jugalah kan. Lainlah kalau sedang berjalan. Barulah kita boleh kata dia tidak senonoh. Kejadian berlaku ketika dia sedang menyidai pakaian. Tak logik pula kalau tiba-tiba terjatuh dan terus lembik. Setelah terjatuh, dia sempat mengagahkan diri untuk masuk ke dalam rumahnya dan menelefon ibunya memberitahu keadaannya itu.

Setelah ibunya sampai, mereka berusaha untuk mengangkatnya untuk dibawa ke hospital. Ketika ini dia berasa seperti tidak mempunyai tulang.. Badannya menjadi lembik dan keadaannya seperti kain buruk. Dia tak boleh berdiri ataupun duduk.. Puas jugalah si emak dan adiknya mengangkat dia untuk dibawa ke hospital. Sesampainya di hospital keadaannya tidak berubah.. Doktor hanya memberitahu mereka bahawa dia ada masalah angin dan gastrik. Pelik jugalah sebabnya dia memang tidak pernah ada masalah gastrik. Doktor agak-agak je kot.. Boleh gitu? Hahahhahhahhaha...

Dia akhirnya dibawa pulang dan terus ke rumah ibunya. Oleh sebab keadaannya tidak berubah sehinggakan tidak boleh duduk maka si ayahnya telah menghubungi pokcik.. Pokcik tidak menjawab panggilan jadi mereka membuat keputusan untuk terus pergi ke rumah pokcik. Hihihihi... Tak lama kemudian barulah pokcik menelefonnya semula.. Sebaik sahaja pokcik menelefonnya terus dia boleh bangun duduk. Alhamdulillah dia sudah pulih. Terkejut ahli keluarga yang berada di situ. Ketika dia bangun duduk itu dia dan ibunya melihat sepasang mata merah merenung mereka dengan tajam seperti sedang marah.

Kelihatan satu lembaga hitam yang sangat besar di luar rumahnya. Lembaga hitam itu berdiri betul-betul di hadapan pintu pagar rumahnya dan terus berlalu dari situ. Tak lama kemudian pokcik pun sampai. Patutlah sebaik sahaja pokcik sampai, si ibu bertanya kepada pokcik. Hantu apa berbadan besar dan hitam. Pokcik katakan, kemungkinan besar hantu raya.  Baiklah, berbalik kepada keadaan pesakit. Dia masih bingung. Nak kata sakit kepala, bukan. Nak kata pening, bukan. Hanyut je kepala, katanya lagi.... Pokcik hanya mendengar sahaja ceritanya..

Oleh sebab dah lewat, pokcik terus beritahunya bahawa sudah tiada gangguan padanya. Lembaga itu sudah lari sebaik sahaja pokcik menghubungi ayahnya itu. Namun begitu, pokcik akan cuba melihat juga kesan peninggalan lembaga itu. Tanpa membuang masa pokcik terus ikhtiar keluarkan saki baki atau kesan peninggalan lembaga itu. Alhamdulillah tiada apa yang ketara kecualilah pada beberapa anggota tubuhnya seperti pada bahagian belakang, dadanya, kepalanya dan mukanya.. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar seizinNya...

Setelah itu si ibu menghantar air kopi  tongkat Ali gamaknya kepada pokcik. Nak berbual lagi laa tu.. Kan.. Dia juga membawa satu jag air kosong. Haih ada hajat gayanya. Hihihihihi..  Dia pun bercerita tentang anaknya si angah. Katanya alhamdulillah masa berlaku tadi si angah tiada di rumah kerana mengikut bapa mertuanya urut di Neram. Pokcik tanya pulak padanya kenapa pula si ibu berkata begitu. Katanya si angah dapat melihat makhluk ghoib. Waaaa menarik ni.. Hihihihihi.. Katanya si angah dapat menyerap rasa sakit orang yang berada berhampiran dengannya.. Maksudnya kalau orang tu sakit kepala, dia turut rasakan sakit kepala yang dialami oleh si sakit.. Begitulah kalau sakit lain pun...

Masalahnya kalau orang merasuk dia pun sama naik dengan orang yang dirasuk. Terang si ibu kepada pokcik. Dia juga tidak berani untuk berbasikal di kawasan tepi hutan di tepi perumahan itu pada waktu hampir senja.. Pernah dia terserempak dengan  sekumpulan orang yang sedang bercucuk tanam. Pelik jugalah. Nak tanam apanya waktu hampir maghrib. Pernah juga seorang pemuda sedang lepak berhampiran kawasan itu sambil bermain guitar. Gamaknya lebih kurang pukul satu pagi. Tiba-tiba keluar dua orang budak dari arah hutan itu sambil bermain basikal. Mula-mula dia tak perasan dan anggap Ia perkara biasa. Namun apabila melihat jam sudah pukul satu pagi maka tiba-tiba dia terfikir. Barulah pemuda itu lari masuk ke rumah. Entah berapa hari dia demam..

Oleh sebab nampak tuan rumah masih tidak mengantuk dan mahu meneruskan cerita, pokcik pun bertanya.  Sejak bila dia mula nampak semua kejadian aneh ini. Menurut ibunya, dia mula melihat alam jin sejak dia mengandung dan ketika itu anak dalam kandungannya berusia tujuh bulan. Percaya tak kalau saya kata dia dah nampak anaknya dari segi rupa dan sebagainya sebelum dia bersalin lagi, tambah si ibu. Pokcik hanya mendengar. Ketika usia anak dalam kandungan 7 bulan telah datang satu rombongan untuk meminta izin bagi mendapatkan anaknya itu. Ketika kejadian itu si ibu dan beberapa orang anaknya ada bersama. Hanya si angah yang nampak rombongan itu.

Si angah tidak mahu memberikan anaknya itu.  Menurut si ibu, bukan main si angah mengangkat sembah memohon agar anaknya tidak diambil. Si angah memanggil seorang perempuan yang hadir itu sebagai bonda dan suaminya ayahanda. Kemungkinan dia datang untuk mengambil anak dalam kandungannya itu bagi pihak anaknya. Turut serta ialah seorang perempuan yang sangat cantik dan berbaju putih. Di sebelahnya ialah perempuan yang sudah berusia dan memakai baju berwarna hitam. Mukanya agak bengis.  Perempuan berbaju hitam itu merupakan bidan.  Tak tahu laa kan bidan kampung atau bidan keluarga mereka.. Akhirnya rombongan mereka balik begitu sahaja kerana keengganan si angah menyerahkan anak dalam kandungannya.

Nak dijadikan cerita ketika dia sedang mandi di bilik air, dia rasakan dia berada di sebuah tempat yang asing baginya. Padahal ketika itu dia sedang berada di dalam bilik air. Dia dapat melihat sebuah kolam yang cantik. Tiba-tiba dia melihat bidan berbaju hitam ada di situ. Entah macam mana tiba-tiba dia berasa ingin bersalin. Bidan itu sudah sedia untuk menyambut anak yang akan dilahirkan itu. Akhirnya dia pun bersalin. Bidan itu yang menjadi bidannya. Dia melihat wajah anaknya. Anaknya itu dipegang oleh bidan itu. Tiba-tiba dia tersedar. Ia seperti berlaku dalam kejadian sebenar. Dia meraba perutnya. Ternyata dia belum lagi bersalin..

Akhirnya tibalah masanya apabila cukup bulan. Si angah melahirkan seorang anak lelaki. Wajah anaknya saling tak tumpah wajah anak yang dia lahirkan dahulu ketika di dalam bilik air. Gamaknya anak itu yang masuk ke bawah meja semasa pokcik ke rumah ayahnya dahulu untuk ikhtiar kes jembalang hutan. Hahahhaha. Apa pun setelah si angah meminta pokcik ikhtiar, dia tidak lagi menyendiri, bermain seorang diri dan melarikan diri apabila ada orang lain selain wajah yang dikenalinya. Ketika si ibu rancak bercerita sempat lagi pokcik mencelah. Itu ke anak si angah yang lari ke bawah meja masa pokcik sampai dulu. Yaa kata si ibu. Alhamdulillah dah lepas pokcik siup-siup dulu (tiup-tiup).

Sejak peristiwa itu si angah dapat melihat alam ghoib dan makhluknya. Dia juga dapat merasai kesakitan orang yang berada berhampirannya. Tiba-tiba pokcik menoleh melihat jag berisi air di atas meja. Pokcik tanya untuk apa. Kata si ibu untuk si along. Kelihatan Along dah terbaring lesu. Letih gamaknya. Maklumlah berkejar ke hospital. Tidak selera makan dah dua tiga hari dan badannya yang lembik seperti tiada tulang. Menurut along, semasa dia sakit orang tak boleh sentuh dia. Dia akan bertambah sakit apabila disentuh. Kemuncaknya ialah dia sesak nafas dan sukar untuk bernafas. Badannya yang lembik dan tidak boleh diangkat walaupun untuk duduk ditambah lagi dengan tidak boleh bernafas menyebabkan ayahnya menelefon pokcik.

Alhamdulillah sebaik sahaja pokcik menghubunginya along pulih seperti sedia kala.  Dada yang dirasakan ada seketul daging yang keras di dalamnya turut hilang seizinNya. Menurut si ibu, along kini takut untuk balik ke rumahnya terutamanya selepas maghrib. Sebaik sahaja selepas Asar, dia akan ke rumah emaknya. Dia takut untuk tinggal seorang terutamanya sekiranya suaminya tiada di rumah. Suaminya kaki pancing. Jadinya kalau pergi memancing alamatnya pagi esok barulah balik ke rumah. Kan..

Masanya pada sebelah malam lebih banyak dihabiskan di rumah emaknya. Dia berasa di perhatikan sekiranya berada berseorangan di rumahnya. Si angah pernah melihat seorang perempuan tua berhampiran langsir di sebuah bilik di rumah along. Jadinya si ibu meminta pokcik ikhtiarkan dan doakan air untuk direnjis di rumah along. Kalau masih berlaku dan along takut untuk balik ke rumahnya lagi selepas itu, nampak gayanya pokcik pula akan pergi sendiri ke rumahnya. Apa pula agaknya yang akan pokcik jumpa sekiranya ke rumahnya? Wallahuaklam. Hanya Allah Yang Maha Tahu. Sekian. Moga berjumpa lagi. Salam hormat. Santaiiiiiiii....

Tamat...

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.