Kali ini pokcik ingin kongsikan pengalaman terbaru. Pada hari Khamis minggu lepas, lebih kurang pukul 9.30 pagi, pokcik dikunjungi oleh seorang hamba Allah. Melihat raut wajahnya pokcik sudah agak dia mempunyai masalah.
Lelaki : Assalamualaikum
Pokcik : Waalaikumussalam
Lelaki : Sebenarnya saya ada hajat berjumpa dengan pokcik. Serba salah juga saya tetapi tak ada arahlah. Saya nak minta tolong juga kalau boleh.
Pokcik : Masalah apa tu?
Dia mula menceritakan perihal anak lelakinya. Anaknya itu kalau tak salah pokcik berumur dalam lingkungan akhir 20-an atau awal 30-an. Menurutnya anaknya itu amat panas baran. Sudah 10 tempat dia bekerja dan akhirnya dia berhenti kerana berlaku selisih faham dengan majikannya atau rakan sekerjanya. Kalau satu dua tempat, mungkinlah tidak sesuai atau salah orang lain. Namun kalau dah 10 tempat kerja, kita nilaikan sendirlah.
Menurut ayahnya, panas barannya itu terlampau tinggi sehinggakan ibu dan ayahnya pun dia tinggikan suara. Tak eloklah macam tu. Kalau pokcik tak usahakan, seperti pokcik nak galakkan perbuatan dia pula. Nak usahakan pun, kena tengok juga sama ada kebetulan pokcik ada sedikit kelapangan atau pun tidak.
Lelaki : Dahulu dia ok. Dia tak macam tu.
Pokcik : Haih pelik juga tu. Dia ada berkawan dengan budak-budak tak elok ke?
Lelaki : Tak ada. Balik kerja, dia terus masuk bilik. Tak keluar dah.
Pokcik : Lain macam tu.
Lelaki : Itulah. Dulu dia ramai kawan. Sekarang, kawan datang pun dia suruh balik. Dia mula kena dahulu ketika balik dari Segamat. Pada malam tu dia tiba-tiba berasa panas badan. Dia menjerit memberitahu ada yang mengikut dan dia berasa takut.
Pokcik : Tak berubat ke?
Lelaki : Berubat merata dah. Perawat yang mai rumah pun kena dengan dia. Semua pembohong katanya. Baru-baru ini pun berubat lagi. Tapi faham je la..
Pokcik : Tak apalah. Tak serasi dengan dia lagi tu. Perawat pun ikhtiar minta dengan Allah.
Lelaki : Betullah tu. Ni nak buat macam mana? Nak minta dia mai ka?
Pokcik : Tak perlu. Nanti senang-senang bawa air. Kalau boleh saya nak tengok gambar dia.
Lelaki : Bab air tub oleh. Bab gambar tu susah sikit. Handset saya pun jenis murah.
Pokcik : Cubalah usahakan. Dapatkanlah macam mana pun.
Lelaki : In shaa Allah..
Perbualan kali terhenti di situ. Pada hari Isnin baru ini barulah lelaki itu membawa sebotol besar air masak dan sekeping gambar anaknya itu. Pokcik meminta dia ambil air itu pada pukul 3.00 petang. Maklumlah, pokcik pun bekerja. Kerja kuli ini, tak bolehlah pokcik sesuka hati nak mengular. Lebih kurang pukul 2.00 petang pokcik doakan air itu. Pokcik berdoa dan memohon kepada Allah agar menyembuhkan sakit si anak, menghapuskan gangguan pada dirinya, menjadi anak yang soleh dan taat kepada kedua-dua ibu bapanya dan akhir sekali dia makin mendekatkan diri kepada Allah.
Setelah itu, si lelaki mengambil air tersebut. Pokcik menerangkan kepadanya agar diletakkan di dalam peti ais sebagai air minuman biasa. Seluruh keluarga digalakkan meminum air itu supaya tidak berlaku syak wasangka. Maklumlah, pokcik berpesan agar dia merahsiakannya daripada si anak. Lelaki itu hanya menganggukan kepala tanda faham dan akhirnya bersalaman dengan pokcik.
Seperti biasa adat Melayu, dia akan bertanya perihal bayaran. Pokcik pun seperti biasa menyatakan pendirian pokcik. Sahabat yang sudah lama dengan pokcik sudah maklum dengan pegangan, prinsip dan pendirian pokcik. Moga Allah mengekalkan sifat baik dan menjauhkan niat yang tak elok dalam diri pokcik.
Kini kami hanya menunggu masa dan ketika untuk melihat perubahannya. Semuanya dalam pengetahuan Allah. Apa pun terserahlah kepada ehsan Allah dan rahmatNya.
Tadi si lelaki datang berjumpa pokcik. Dia kelihatan agak letih kerana baru pulang dari klinik. Darah tinggi katanya.
Lelaki : Assalamualaikum
Pokcik : Waalaikumussalam
Lelaki : Maaf sebab lambat beritahu hal anak. Saya baru balik dari klinik
Pokcik : Tak apa. Macam mana anak? Panas baran lagi?
Lelaki : Alhamdulillah Nampak perubahannya. Taka da dah tinggi suara dengan ibunya. Dia tidur awal
Pokcik : Haih, selalu dia tidur lewat ke?
Lelaki : Ye. Dia tidur sekejap-sekejap. Pukul dua pagi dia bangun buka peti ais. Kemudian dia tidur sekejap dan lepas tu bangun lagi. Semalam langsung tak dengar dia bangun.
Pokcik : Alhamdulillah.
Lelaki : Itu laa. Sebelum ini dia memang panas baran. Abangnya tak sihat kena demam panas. Dia selalu buat abang dia tu. Kesian saya tengok. Tapi ada yang pelik semalam. Semasa dia minum air tu, dia kata air tu pahit. Dia tanya emak dia air apa dalam peti. Selalunya air kosong tak rasa begitu. Emaknya kata air biasa sahaja. Perasaannya sahaja. Selsema agaknya. Dia diam sahaja.
Pokcik : Baguslah kalau dia minum. Dia tahu tak pokcik nak usahakan dia?
Lelaki : Tak tahu. Nak tanya ni. Bolehkah campur dengan air oren? Dia suka minum air oren. Dia juga minta kebenaran daripada ibunya untuk bekerja tetapi ibunya melarang.
Pokcik : Boleh. In shaa Allah. Bab kerja tu biarkan dahulu. Cuba habiskan air itu dahulu.
Dalam bab mencampurkan air oren itu pokcik berasa sudah tentu dia nak elakkan anaknya perasan. Di sini pokcik dapat lihat kasih sayang seorang ayah terhadap anaknya. Kalau bab pahit tu, takkanlah ibunya nak letakkan ketum kot. Air pun jernih je,kan.. Hihihihi.. Gurau saja..Sebenarnya pokcik juga tak mahu dia tahu dia sedang diikhtiarkan. Biarlah dia berubah secara semula jadi atas kehendak-Nya. Sebelum lelaki itu beredar dia mahu tahu tentang pemutus ubat. Katanya manalah tahu kena buat pemutus ubat bagai. Pokcik hanya memberitahu bahawa pokcik hanya ikhtiar sahaja. Allah yang menentukan kesembuhannya. Jadinya bersyukurlah kepada Allah dan bukannya membayar satu sen, lima sen bagai. Pokcik tak mahu membahaskan bab perawat yang menggunakan kaedah sebegitu. Semuanya dalam pengetahuan Allah..
Sekian perkongsian pada kali ini. Moga berjumpa lagi pada lain masa sekiranya diizinkan oleh-Nya. Maaf andai ada terkasar Bahasa dan sebagainya. Sesungguhnya pokcik hanya insan biasa dan tidak lari dari melakukan salah dan dosa. Moga Allah merahmati kita semua dan sentiasa dalam perlindungan-Nya.. Salam hormat..
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.