Saturday 12 December 2020

BAJU DAN SELUAR MELAMBAI-LAMBAI

 Assalamualaikum 


12 Disember 2020


Alhamdulillah dipertemukan kembali buat sekian kalinya. Seperti kebiasannya pokcik akan kongsikan satu lagi kisah berkaitan dengan dunia mistik. Pada pukul 9.19 pagi ini pokcik menerima satu panggilan telefon daripada seorang sahabat. 


Hadi: Assalamualaikum pokcik 

Pokcik: Waalaikumussalam 


Hadi: Ada di mana? Dah sarapan ke belum? 

Pokcik: Alhamdulillah dah siap. 


Hadi: Saya di kedai adik ni. Kalau nak makan apa-apa cakaplah... 

Pokcik: Tak apalah. Saya dah makan. 


Hadi: Baiklah. Lepas makan ni saya nak pergi ke rumah pokcik sekejap. Ada hal. 


Sebenarnya pokcik dah boleh agak. Kalau telefon nak tanya khabar memang agak susah. Biasanya ada maksud yang tersirat. Hihihihi. Biasalah kawan-kawan. 


Lebih kurang pukul 10.30 terdengar suara memberi salam. Selepas menjawab salam pokcik membuka pintu pagar rumah. Kelihatan Hadi tercegat di luar pintu pagar rumah pokcik. 


Dia mula menceritakan masalahnya. Menurutnya dia susah mahu tidur malam. Anaknya sendiri terkejut kerana si ayah tidak tidur walaupun sudah pukul empat pagi. Katanya lagi dia akan ditindih walaupun belum melelapkan mata. Dia juga boleh tahu sekiranya dirinya akan ditindih. 


Sebelum ditindih dia akan melihat kebanyakan barang terutamanya baju dan seluar melambai-lambai kepadanya. Serentak dengan itu kedengaran benda jatuh berkali-kali di dalam bilik. Ketika ini tangannya akan berasa kebas dan terketar-ketar. Sebaik sahaja memejamkan mata, badannya akan kaku dan tidak boleh bergerak seperti ditindih.


Agak lama juga dia mengalami perkara itu sehinggalah dia tidak boleh memegang sesuatu.  Sekiranya memegang telefon, sudah pasti telefon akan terlepas dari tangannya. Dia juga sukar untuk memegang stereng kereta kerana keadaannya itu. 


Mendengar cerita daripadanya, pokcik agak berminat untuk usahakannya. Pokcik tidak mahu usahakannya di rumah pokcik. Jadinya pokcik meminta dia menunggu pokcik di rumahnya. Dia akur. Setelah dia balik ke rumah barulah pokcik ke rumahnya yang terletak tidak berapa jauh dari rumah pokcik. 


Oleh sebab rumahnya berpagar, pokcik lebih suka usahakannya di luar rumahnya itu. Pokcik hanya meminta dia bertenang dan duduk di atas kerusi membelakangkan pokcik. Sebaik sahaja bermula ikhtiar, dia mula terhuyung-hayang seperti akan tumbang. 


Badannya mula bergerak ke kiri dan kanan. Sesekali dia seperti ingin terlentang ke belakang. Pokcik teruskan lagi. Peluh mula menitik ke lantai. Lantai mula basah dengan titisan peluh yang keluar dari bahagian muka dan kepalanya seperti air paip yang menitis. 


Tangannya yang digenggam dibuka dan ditutup berulang-ulang kali.  Akhirnya dia lembik dan tidak bermaya. Alhamdulillah sekali lagi Allah permudahkan urusan pokcik. 


Hadi: Panas betul tadi. Tengok lantai tu dah basah. Tengok muka saya. 

Pokcik: Tak apalah tu. Macam mana dengan tangan tu. 


Hadi: Alhamdulillah dah jadi macam biasa. Tak ada dah sengal -sengal. 

Pokcik : Ada rasa takut lagi ke? 


Hadi: Tak ada. Iblis apa yang mengganggu saya. 

Pokcik: Entah. Janji sihat sudah. 


Hadi: Yalah. Terima kasih

Pokcik: Sama-sama. 


Setelah itu pokcik terus pulang ke rumah. Sebenarnya sahabat pokcik ini merupakan salah seorang pendakwah. Dia selalu pergi ke mana-mana untuk  berdakwah. Entah di mana dia dapat jin itu. Tak penting pun sebenarnya. Bukankah iblis dah berjanji akan menyesatkan kita? Moga kita semua terhindar dari pujuk rayu mereka. Moga berjumpa lagi. Salam hormat. 

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.