Thursday 17 December 2020

TIKAMAN JIN

 Assalamualaikum 

17 DISEMBER 2020


Apa khabar semua? Hari ini perkongsian pokcik santai sahaja. Hari Sabtu malam Ahad baru-baru ini pokcik usahakan pensyarah pokcik  dari jarak jauh. Baguskan pokcik, usia dah dekat 70 pun masih nak belajar... Hihihi... 

Ternyata masalah saka dan sihir. Bab saka apa sihir dari mana biarlah semuanya dalam pengetahuan Allah. Wallahua'lam. 

Pada hari Isnin, pokcik menerima panggilan telefon daripada beliau. Alhamdulillah keadaan beliau semakin baik dan kembali pulih sepenuhnya seizin Allah pada hari berikutnya.  Menurut beliau, tok Imam di situ turut mengalami perkara yang hampir sama. Tok Imam itu kemudiannya pergi mendapatkan rawatan. Tiga orang perawat katanya tak sanggup kerana mereka juga diserang oleh jin berkenaan. Biasalah tu. Itulah risiko menjadi perawat. Pokcik tak apa sebab PELAWAT sahaja bukannya PERAWAT. 


Menurut beliau lagi seorang pensyarah baru dan ditempatkan di jabatan beliau turut diserang sebaik sahaja masuk ke situ. Beliau seolah-olah ditikam. Ustaz yang pokcik kenali terus dipanggil ke situ. Beliau melaungkan azan sebanyak tiga kali. Selesai sahaja azan ke-tiga, terdengarlah ngauman harimau. 

Pokcik juga dimaklumkan ramai pensyarah dan staf di jabatan itu sakit. Menurut pemahaman pokcik, ada sesuatu yang diletakkan di situ dan jin itu bergabung dengan jin yang sedia ada di situ. 

Mengikut kajian yang pokcik jalankan apabila ikhtiar premis atau sesuatu bangunan,  selain daripada faktor sihir, ada juga punca yang lain. Antaranya ialah MAKSIAT di premis berkenaan dan BERLAKU PERPECAHAN dalam kalangan anggota atau warga di tempat berkenaan. Selain itu, tempat berkenaan memang sudah lama didiami oleh mereka dan jin di situ menunggu masa sahaja untuk memunculkan diri. Apa sekalipun sebabnya, kita sebagai KHALIFAH di muka bumi Allah ini tidak harus membiarkan mereka bermaharajalela sesuka hati. 

Pokcik pun masih sibuk dan mengalami kemalangan baru-baru ini. Kereta pokcik disondol oleh seekor babi dari tepi ketika pokcik sedang memandu untuk pulang dari tempat kerja dalam pukul 6.30 petang lebih kurang. BABI memang tak suka pokcik. Hahahaha. In shaa Allah petang ini pokcik akan ke Kuala Lumpur untuk membeli dan memasang bumper kereta pokcik yang pecah. In shaa Allah selepas semua urusan selesai, pokcik akan membuat perhitungan dengan semua jin yang mengganggu  di jabatan berkenaan pula. Kalau diizinkan Allah, kita ikhtiarkan tapau semua. Doakan semoga usaha yang baik ini diperkenakan oleh Allah... 

Salam hormat

Saturday 12 December 2020

BAJU DAN SELUAR MELAMBAI-LAMBAI

 Assalamualaikum 


12 Disember 2020


Alhamdulillah dipertemukan kembali buat sekian kalinya. Seperti kebiasannya pokcik akan kongsikan satu lagi kisah berkaitan dengan dunia mistik. Pada pukul 9.19 pagi ini pokcik menerima satu panggilan telefon daripada seorang sahabat. 


Hadi: Assalamualaikum pokcik 

Pokcik: Waalaikumussalam 


Hadi: Ada di mana? Dah sarapan ke belum? 

Pokcik: Alhamdulillah dah siap. 


Hadi: Saya di kedai adik ni. Kalau nak makan apa-apa cakaplah... 

Pokcik: Tak apalah. Saya dah makan. 


Hadi: Baiklah. Lepas makan ni saya nak pergi ke rumah pokcik sekejap. Ada hal. 


Sebenarnya pokcik dah boleh agak. Kalau telefon nak tanya khabar memang agak susah. Biasanya ada maksud yang tersirat. Hihihihi. Biasalah kawan-kawan. 


Lebih kurang pukul 10.30 terdengar suara memberi salam. Selepas menjawab salam pokcik membuka pintu pagar rumah. Kelihatan Hadi tercegat di luar pintu pagar rumah pokcik. 


Dia mula menceritakan masalahnya. Menurutnya dia susah mahu tidur malam. Anaknya sendiri terkejut kerana si ayah tidak tidur walaupun sudah pukul empat pagi. Katanya lagi dia akan ditindih walaupun belum melelapkan mata. Dia juga boleh tahu sekiranya dirinya akan ditindih. 


Sebelum ditindih dia akan melihat kebanyakan barang terutamanya baju dan seluar melambai-lambai kepadanya. Serentak dengan itu kedengaran benda jatuh berkali-kali di dalam bilik. Ketika ini tangannya akan berasa kebas dan terketar-ketar. Sebaik sahaja memejamkan mata, badannya akan kaku dan tidak boleh bergerak seperti ditindih.


Agak lama juga dia mengalami perkara itu sehinggalah dia tidak boleh memegang sesuatu.  Sekiranya memegang telefon, sudah pasti telefon akan terlepas dari tangannya. Dia juga sukar untuk memegang stereng kereta kerana keadaannya itu. 


Mendengar cerita daripadanya, pokcik agak berminat untuk usahakannya. Pokcik tidak mahu usahakannya di rumah pokcik. Jadinya pokcik meminta dia menunggu pokcik di rumahnya. Dia akur. Setelah dia balik ke rumah barulah pokcik ke rumahnya yang terletak tidak berapa jauh dari rumah pokcik. 


Oleh sebab rumahnya berpagar, pokcik lebih suka usahakannya di luar rumahnya itu. Pokcik hanya meminta dia bertenang dan duduk di atas kerusi membelakangkan pokcik. Sebaik sahaja bermula ikhtiar, dia mula terhuyung-hayang seperti akan tumbang. 


Badannya mula bergerak ke kiri dan kanan. Sesekali dia seperti ingin terlentang ke belakang. Pokcik teruskan lagi. Peluh mula menitik ke lantai. Lantai mula basah dengan titisan peluh yang keluar dari bahagian muka dan kepalanya seperti air paip yang menitis. 


Tangannya yang digenggam dibuka dan ditutup berulang-ulang kali.  Akhirnya dia lembik dan tidak bermaya. Alhamdulillah sekali lagi Allah permudahkan urusan pokcik. 


Hadi: Panas betul tadi. Tengok lantai tu dah basah. Tengok muka saya. 

Pokcik: Tak apalah tu. Macam mana dengan tangan tu. 


Hadi: Alhamdulillah dah jadi macam biasa. Tak ada dah sengal -sengal. 

Pokcik : Ada rasa takut lagi ke? 


Hadi: Tak ada. Iblis apa yang mengganggu saya. 

Pokcik: Entah. Janji sihat sudah. 


Hadi: Yalah. Terima kasih

Pokcik: Sama-sama. 


Setelah itu pokcik terus pulang ke rumah. Sebenarnya sahabat pokcik ini merupakan salah seorang pendakwah. Dia selalu pergi ke mana-mana untuk  berdakwah. Entah di mana dia dapat jin itu. Tak penting pun sebenarnya. Bukankah iblis dah berjanji akan menyesatkan kita? Moga kita semua terhindar dari pujuk rayu mereka. Moga berjumpa lagi. Salam hormat. 

Thursday 10 December 2020

116

 

Assalamualaikum



Moga semua pengunjung blog pokcik ini sihat sejahtera hendaknya. Macam nak tulis surat cinta posting pokcik kali ini. Kali ini pokcik akan kongsikan satu lagi kisah dan semoga menjadi teladan buat kita semua. Ingatlah bahawa dunia hanya suatu tempat persinggahan dan akhirat ialah tempat yang kekal abadi.

Lebih kurang dua minggu lepas pokcik mendapat satu panggilan telefon. Ketika itu pokcik sedang santai berehat maklumlah bekerja pada siang harinya.

Ali: Assalamualaikum
Pokcik: Waalaikumussalam

Ali: Apa khabar? Senyap je.
Pokcik: Alhamdulillah sihat. Biasalah sibuk sikit.

Ali: Sebenarnya saya ada hajat ni.
Pokcik: Hajat apa tu?

Ali: Macam ni. Emak kepada kawan saya ni ada kepelikan.
Pokcik: Pelik macam mana tu?

Ali: Dia dah tua. (Semalam pokcik dapat tahu umurnya lebih kurang 116 tahun). Kerjanya tidur sahaja. Bangun tidur dia akan makan. Lepas tu tidur semula. Dah bertahun-tahun keadaan dia macam tu. Inilah sebab saya telefon kalau-kalau pokcik ada kelapangan.
Pokcik: Anak-anak tak bawa berubat ke?

Ali: Dia dah tak larat. Perawat yang datang ke rumahnya.
Pokcik: Baiklah. Kalau ada kelapangan nanti saya akan usahakan.

Ali: Terima kasih.
Pokcik: Sama-sama.

Lama juga pokcik mendiamkan diri sehinggalah pokcik ada sedikit kelapangan pada dua hari yang lepas. Itu pun selepas Ali menelefon lagi pokcik dan bertanya perihal emak kepada kawannya itu. Pokcik berjanji akan usahakan tetapi pokcik tak mahu pergi ke rumah si sakit. Pokcik juga berpesan kepada Ali agar jangan memberikan nombor telefon pokcik kepada keluarga si sakit.

Jadinya pokcik meminta meminta untuk melihat gambar si sakit. Terkejut pokcik apabila melihat wajahnya yang begitu cengkung seperti tengkorak sahaja. Wajahnya tidak ubah seperti wajah seorang hamba Allah (arwah) yang pokcik usahakan dahulu secara jarak jauh di Terengganu.

Lebih kurang pukul sebelas pagi (di tempat kerja), pokcik usahakan hamba Allah itu. Mengikut pemahaman pokcik, ia berkaitan dengan SAKA. Sesekali gangguan itu berada di kawasan ulu hati dan sesekali di dalam mulutnya. Mungkin gangguan itu bergerak apabila terasa TERANCAM.

Lebih kurang setengah jam selepas itu selesailah ikhtiar serta doa yang pokcik panjatkan kepada Allah. Pokcik berdoa agar dipermudahkan segala urusan kami dan dihapuskan SAKA yang berada dengan hamba Allah itu. Sebaik sahaja selesai usahakannya, pokcik terus menelefon Ali.

Pokcik: Assalamualaikum
Ali: Waalaikumussalam

Pokcik: Alhamdulillah selesai dah saya usahakan. Memang ada gangguan. Lepas ini kalau Allah izinkan, dia akan bangun dan berpesan dengan anak cucu. Selepas itu kalau dia tidur semula, dengan izin Allah dia akan pergi selama-lamanya.
Ali: Terima kasih banyak. Tunggu je laa ye?

Pokcik: In shaa Allah.
Ali: Terima kasih sekali lagi.

Pada pukul 7.32 pagi ini pokcik menerima panggilan telefon daripada Ali.

Ali: Assalamualaikum
Pokcik: Waalaikumussalam

Ali: Terima kasih. Hamba Allah tu dah tak ada. Semalam dia bangun sekejap. Pagi ini lebih kurang pukul 6.00 pagi dia dah disahkan meninggal dunia.
Pokcik: Alhamdulillah, Allah memudahkan urusannya.

Ali: Terima kasih sekali lagi. Nak kira macam mana ni?
Pokcik: Tak ada apa. Pokcik sedekahkan sahaja.

Ali: Alhamdulillah. Terima kasih
Pokcik: Sama-sama.

Begitulah kisah pada kali ini. Moga kita menjadikan kisah ini sebagai pengajaran dan kita ambil iktibar daripada apa yang berlaku. Seandainya SAKA, ia berkaitan dengan perjanjian orang terdahulu. Janganlah kita mengikut jejak mereka. Jadikan kejadian yang berlaku itu sebagai sempadan dan kita haruslah seboleh-bolehnya mengelakkan diri daripada bersahabat dengan SYAITAN. Janganlah seronok dan takjub dengan kelebihan sementara kerana bersahabat dengan mereka... Marilah sama-sama kita sedekahkan bacaan al-Fatihah. Moga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Aamiin.