Friday, 16 February 2018

SI IBU TUA


Kisah petang semalam..

Lama juga pokcik tak update blog atas kekangan waktu..
Dalam perjalanan pulang ke rumah petang semalam, pokcik singgah cari domino pizza sekejap. Kebetulan keluar dari situ, terjumpa pula dengan mokcik manis Kasih Umie. Disebabkan lama tak jumpa, kami berkelah sekejap di kawasan lapang di situ sambil pekena pizza. Pokcik, orang rumah pokcik dan mokcik kasih Umie berkelah laa sekejap..

Katanya dia baru balik dari rumah kawannya. Sudah lama tidak mengunjungi sahabatnya itu katanya. Sesampai di sana, dia terkejut melihat keadaan emak sahabatnya itu. Katanya merangkak keluar dari bilik air tanpa mengenakan sebarang pakaian. Allahu akbar.

Mungkin dia sendiri tak mahu dipakaikan dengan sebarang alas diri. Kita tak tahu keadaan sebenar. Menurut kawannya itu, lama sudah berubat dan boleh kata keadaannya masih tidak berubah. Mungkin juga ada kena mengena dengan pakaian diri yang digunakan olehnya semasa muda dahulu. Apa pun, kita sebagai insan waras, tak perlulah kita mencari apa kesalahan mereka. Cukuplah sekiranya kita ikhtiar sebagai insan. Lebih-lebih lagi, insan itu ibu kita sendiri.

Lebih menyayat hati katanya, adik sahabatnya itu juga sedang menderita sakit. Pahanya besar. Mungkin sebesar pemeluk gamaknya. Pihak hospital seperti biasa tidak dapat mengenal pasti puncanya. Kasihan juga pokcik dengar. Kita sembelit pun kadang kala mengeluh dan merungut. Ini ujian yang lebih besar terhadap hamba Allah itu. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian itu. Namun, kita sekurang-kurangnya sebagai insan perlu juga ada perasaan belas dan bersyukur kerana kita dikurnai kesihatan yang lebih baik daripadanya.

Apabila mendengar kisah yang diceritakan oleh mokcik manis Kasih Umie pokcik rasa amat simpati. Entahlah, mungkin pokcik tua sangat dah, jadinya terharu mendengar kisah tersebut. Sesampai di rumah pun pokcik masih terasa lagi pilu dan sebak...

Jadinya pokcik tunggu sahaja kedatangan mokcik kasih Umie datang menjemput pokcik. Bermacam-macam perasaan sementara menunggu kedatangan beliau. Jarang pokcik rasakan perasaan sebegitu sebelum pergi ke mana-mana atau usahakan sesiapa pun dari jarak jauh...

Sebaik sahaja mokcik kasih Umie sampai, kami terus menuju ke rumahnya dengan menaiki kereta beliau. Akhirnya kami tiba di rumah itu. Alhamdulillah kedatangan kami disambut oleh anak perempuan si sakit. Keadaan rumah tidak terurus mungkin disebabkan kesibukan kerja seharian dan sebagainya. Wallahuaklam...

Mokcik kasih Umie masuk terlebih dahulu ke dalam rumah untuk melihat keadaan sementara pokcik berada di luar rumah sambil pekena rokok sebatang.. Hahhahahha jangan marah.. Dalam lima minit kemudian pokcik dijemput masuk. Pokcik memberitahu mereka pokcik ingin menghabiskan rokok terlebih dahulu.

Selesai sahaja, pokcik terus memberikan salam untuk masuk ke rumahnya.. Salam bersambut dan pokcik dipelawa masuk. Kelihatan seorang wanita tua yang sangat tidak berdaya terbaring di atas lantai simen dan kepalanya beralaskan bantal yang agak lusuh warnanya. Istighfar panjang pokcik. Kedengaran cd ruqyah dipasang di hujung kepala si sakit...

Si sakit tidur dengan nyenyaknya. Mengerekot kakinya itu. Si anak datang ke arah pokcik dan mokcik kasih Umie. Katanya emaknya itu, siang memang tidur tetapi malam dia akan cergas seperti orang sihat. Menyelongkar itu ini yang ada berhampiran dengannya. Menurut si anak, mungkin ada gangguan di dalam rumahnya juga. Katanya anaknya yang tidur di dalam bilik, selalu disenjah kakinya...

Kelibat emaknya sering dilihat di dalam bilik air dan sebagainya. Jiran tetangga juga sering melihat emaknya duduk di luar rumah di bawah pokok jambu air. Mungkin nak petik buah gamaknya. Kalau tak pun, jin itu nak tolong petik buah jambu untuk jiran yang lalu lalang di situ. Agaknya laa kan. Dinding rumahnya juga sering diketuk dari luar. Begitu juga di atas atap. Memang selalu kedengaran bunyi dan pergerakan di situ. Apa agaknya ye?

Menurut si anak, emaknya juga tidak mahu melafazkan kalimah syahadah. Aku kafir, aku kafir, aku kafir katanya. Allahu akbar... Besar sungguh dugaan... Setiap butir perkataan yang keluar dari mulutnya, bukan dari kemahuan diri. Sedih juga apabila melihat keadaan seorang ibu tua sebegitu. Allah Maha Mengetahui. Kita sebagai insan, tak perlu menjatuhkan hukuman ke atasnya. Cukuplah kita ikhtiar sahaja dan selebihnya kita berserah padaNya yang Maha Esa...

Sebaik sahaja pokcik duduk di depannya, pokcik meminta si anak menutup cd ruqyah itu. Si anak akur. Suasana menjadi sunyi. Si anak mengejutkan emaknya. Dia terjaga dan membuka matanya. Pokcik memanggil dia dan meminta persetujuan daripadanya untuk membuang segala amalan atau jin yang berada dengannya. Dia bersetuju dan bercakap dengan nada yang amat lemah sekali. Alhamdulillah satu kerja pokcik dipermudahkan oleh Allah biarpun pokcik masih belum melakukan apa-apa ke atasnya. Alhamdulillah...

Setelah persetujuan dicapai, pokcik terus memohon kepada Allah untuk pagarkan dia. Sebaik sahaja dipagar, dia terus menangis teresak-esak. Macam mana orang tua menangis. Bayangkan keadaan semasa itu ketika pokcik berada di sana.. Ketika itu barulah pokcik dapat rasakan satu aura atau tenaga yang amat besar seolah-olah ingin menyerbu ke arah pokcik dan mokcik kasih Umie. Tanpa melengahkan masa, pokcik terus ikhtiar dan berdoa untuk memagar mokcik kasih Umie pula. Kena pagar roboh dan dia menyerbu ke arah mokcik kasih Umie, jenuh pulak pokcik nak tepis. Hihihihihi..

Pokcik biarkan dia menangis dengan sayunya. Pokcik keluar rumah mengambil kayu 2 4. Hahahaha gurau-gurau. Pokcik keluar rumah mengambil selendang pokcik kali ini. Lama dah pokcik tak bawa selendang ke mana-mana. Entah macam mana hari ini tiba-tiba teringat nak bawa. Agak-agak degil pokcik nak libas dengan selendang saja. Hahahaha. Mokcik kasih Umie dan anak perempuannya pokcik tinggalkan sekejap bagi memudahkan mereka memujuk perempuan tua itu. Alhamdulillah sebaik sahaja pokcik masuk, dia sudah berhenti menangis... Pandai depa pujuk. Hahhahahha....

Sebaik sahaja masuk ke rumah pokcik meletakkan selendang itu di bahu. Hihihihihi saja laa kan. Baru nampak macam pak dukun mandraguna sakti dari Gunung Kalimanjaro. Kakkakakaka... Gurau-gurau. Pokcik duduk sambil membacakan zikir dan mengurut selendang itu. Ekor matanya menjeling tajam ke arah pokcik seperti nak menelan pokcik. Garang sungguh nampaknya. Hihihihihi. Dia ingat pokcik ni ayam goreng KFC kot. Dia nak telan. Mujur juga orang tua. Kalau anak dara dok jeling tajam macam tu, pokcik kenyitkan mata dah sebab nak bagi dia lagi sakit hati. Boleh gitu? Hahhahahhahha...

Memang niat pokcik nak libas je kalau dia bangun. Tapinya libas di lantai sahaja tanpa menyentuh fizikalnya. Dia menjeling lagi. Ekor matanya terus memerhati setiap perbuatan pokcik. Kini pokcik duduk betul-betul berhadapannya. Amboihhh nak jeling sangat. Hahahaha. Terus pokcik membacakan beberapa potong ayat suci. Dia agak gelisah tetapi tidak boleh menggerakkan badannya. Kini pokcik pergi ke arah hujung kakinya dan mulakan serangan di situ. Nampaknya tiada perubahan dan aksi daripada hamba Allah ini.

Melihat keadaan itu, pokcik bangun dan duduk di hujung kepalanya. Setelah beberapa waktu di situ dia mulai lemah dan terbatuk beberapa kali. Tanpa belas kasihan pokcik meneruskan doa dan meminta doa agar dibakarkan semua jin di dalam badannya. Tak cukup dengan itu, pokcik memohon untuk mencincang lumat segala jin yang ada. Alhamdulillah matanya sudah mulai layu dan tidak garang seperti tadi. Melihat keadaannya itu pokcik meminta anaknya menyediakan besen untuk dia muntah.

Pokcik meminta dia duduk. Anaknya terkejut kerana ibunya sudah boleh bangun tanpa memaut meja berdekatan dengannya. Kata anaknya, dia sebelum ini tidak boleh bangun sendiri dan akan memaut sesuatu untuk bangun. Badannya juga berat seperti batu ketika diangkat.. Akhirnya anaknya itu memberikan besen. Namun dia seperti takut-takut untuk muntah dan ludah di dalam besen itu. Entahlah, dia seperti menahan muntah dan takut untuk mengotorkan bekas itu. Kelihatan air matanya bergenang di kelopak mata. Setelah dipujuk oleh pokcik dan mokcik kasih Umie barulah dia mengeluarkan lendir-lendir di dalam mulutnya itu.

Setelah itu anaknya meminta pokcik bertanya kepada emaknya itu sesuatu. Katanya emaknya tidak bercakap apabila ditanya sebelum ini. Pokcik terus bertanya, mak dah makan? Alhamdulillah sudah katanya. Si anak senyum. Seterusnya pokcik meminta dia mengucapkan syahadah. Alhamdulillah dalam lemah dia dapat mengikut ucapan pokcik. Tak ada dah aku kafir, aku kafir lagi keluar dari mulutnya. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah.. Pokcik meminta dia berehat dan baring semula. Mokcik kasih Umie meminta anaknya menyediakan tempat tidur yang beralas buat si sakit. Permintaan mokcik kasih Umie akan diikuti. Itu pengakuan si anak.

Apabila melihat si sakit yang besar pahanya itu tiada, pokcik bertanya kepada kakaknya itu. Katanya adiknya dalam sakit dan mengheret kaki, dia masih mengikut ayahnya menjual buah. Sudah lama katanya ada sahabatnya menyarankan agar mereka menemui pokcik tetapi masih tidak berpeluang. Entah macam mana tiba-tiba pokcik muncul di rumahnya pada petang tadi. Sesungguhnya itulah perancangan Allah...

In shaa Allah, jika ada rezeki, pokcik akan menemui adiknya yang bengkak pahanya itu. Menurut mokcik kasih Umie, pahanya dah hanpir sebesar pemeluk. Entah bagaimana dia mengheret kakinya itu. Mungkin dia hanya mengikut ayahnya berniaga kerana bosan hanya terlantar di rumah. Sebelum balik pokcik nampak mokcik kasih Umie bersalaman dan menghulurkan sesuatu kepada si ibu tua. Mungkin dia menghulurkan sedikit sumbangan. Si ibu tua terharu dan menangis melihat pemergian kami..

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam yang memudahkan segala urusan pada hari ini. Sebelum balik pokcik berpesan agar dia menghubungi mokcik kasih Umie sekiranya ada lagi gangguan di rumah itu. Sefaham pokcik, bukan rumahnya yang bermasalah tetapi gangguan itu berpunca daripada jin yang mendampingi emaknya itu. Moga berjumpa lagi pada lain kali jika dipanjangkan usia dan diberikan kesihatan yang baik oleh Allah. Wallahuaklam. Salam hormat dan selamat malam semua...

Tamat...