Saturday 8 June 2019

TARIK EMAS DAN HARTA KARUN



Kali ini pokcik nak kongsikan satu lagi kisah iaitu penarikan emas. Sebenarnya, dahulu pokcik pernah juga terlibat dengan penarikan emas dan harta karun namun sudah cuci tangan. Kali ini pokcik akan kongsikan pengalaman adik ipar pokcik sendiri mengikut kawannya mengikuti ritual penarikan emas di Kota Bharu Kelantan.

Kisah bermula apabila sahabat adik ipar pokcik terdesak untuk membayar hutangnya. Menurut adik ipar pokcik, sahabatnya itu terpaksa menggadai rumah dan menjual keretanya kerana ingin menampung hutang yang terlalu banyak. Pokcik tak tanya pula apa yang dilakukannya sehingga begitu banyak hutang yang terpaksa ditanggung. Mungkin juga dia melabur ataupun menjalankan sesuatu perniagaan.

Pokcik dengar hutangnya hampir mencecah 1 juta. Wallahuaklam. Nak dijadikan cerita, dia kenal dengan seorang lelaki dari Pekan Pahang yang bernama Madi. Mungkin kenalan Facebook agaknya. Dia menceritakan kisahnya kepada Madi. Madi memberitahunya bahawa dia boleh memperkenalkannya dengan seorang kenalan yang boleh melakukan ritual penarikan emas dan harta karun.

Madi juga menunjukkan barangan emas yang dipakai oleh anaknya. Cuba tengok emas yang anak aku pakai. Ko ingat aku ada banyak duit sangat ke nak belikan emas untuk anak dan bini aku, kata Madi. Aku akan perkenankan awak dengan kenalan aku itu tetapi biarlah aku telefonnya dahulu untuk menceritakan masalah awak. Tapi, kalau nak pulangan besar maka modalnya juga besar, kata Madi lagi.

Sahabat kepada adik ipar pokcik setuju. Modal yang diminta antara 5K hingga 10K. Setelah persetujuan dicapai, adik ipar pokcik dan sahabatnya itu serta dua orang sahabat lain terus berangkat ke Kota Bharu Kelantan untuk berjumpa dengan 'TOK' itu. Tok itu meminta mereka mencari delima merah pada awalnya namun agak sukar untuk mencari delima merah asli. Kalau tak salah pokcik, delima asli sekalipun sudah mencecah harga jutaan ringgit.

Oleh sebab delima merah tidak diperoleh, maka mereka dikehendaki mencari 21 jenis bunga dan 3 kuntum bunga bagi setiap jenis bunga tersebut. Adik ipar pokcik yang ingin menolong sahabatnya itu mencari bunga berkenaan dan mendapatkannya. Apabila sampai di sana, Madi dan beberapa orang sahabatnya sudah sedia menunggu. Mereka diperkenalkan dengan 'TOK'. Tok meminta barangan yang dibawa oleh mereka iaitu bunga, setanggi dan sebagainya. Adik ipar pokcik mengira kuntuman bunga yang dibawanya berkali-kali untuk memastikan bilangannya mencukupi.

Setelah itu semua barangan dan bunga diletakkan ke dalam dulang yang beralas kain kuning. Tok membawa barangan tersebut ke dalam biliknya. Hanya dia berada di dalam bilik. Pintu bilik itu dibuka namun mereka yang lain berada di ruang tamu berhampiran dengan bilik itu. Besar bilik tu, kata adik ipar pokcik ketika menceritakan kisah ini kepada pokcik. Sebelum bermula tok berpesan kepada mereka supaya jangan menegur sekiranya ada ternampak sesuatu penampakan bimbang keteguran. Mereka juga diminta untuk membersihkan hati. Jangan ada niat yang kotor. Sekiranya dapat 3 juta, jangan ada menyesal dan cakap sepatutnya aku minta 7 juta. Setelah itu mereka diminta berzikir dan berselawat.

Akhirnya tok meminta semua lampu ditutup. Kini mereka duduk dalam kegelapan. Maka bermulalah ritual yang dijanjikan. Tok memulakan upacara dengan menyalakan setanggi. Berbau wangi satu rumah dengan wangian setanggi. Mereka yang lain dah mula berzikir tanpa mempedulikan apa yang berlaku di dalam bilik. Tak lama kemudian kedengaran suara tok sedang memberikan salam. Kedengaran suaranya sahaja seolah-olah sedang tawar-menawar dengan makhluk 'BUNIAN' yang tidak kelihatan. Agaknya dalam sejam berlaku tawar-menawar itu. Mereka yang berada di luar bilik terus berzikir tanpa henti.

Tiba-tiba, ktungggg ktungggg ktungggg, terdengar tiga kali bunyi jatuh sesuatu di atas dulang itu. Mereka yang berada di luar bilik terkejut. Mereka berpandangan. Emas, kata sahabat kepada adik ipar pokcik. Tok membawa keluar tiga jongkong emas yang terletak di atas dulang. Oleh sebab terlalu gembira kawan kepada adik ipar pokcik terus meluru dan memegang jongkong emas itu lalu dibawa ke dapur. Haih, mana boleh pegang lagi, kata tok. Dia memarahi perbuatan yang dilakukan oleh hamba Allah itu. Maaf tok, saya excited sangat, katanya memohon maaf..

Mmmmmmmmm kenapa bilangan bunga tak cukup, kata tok mengomel. Dah orang bunian marah, katanya. Adik ipar pokcik membilang semula bilangan bunga. Memang tak cukup. Padahal dia dah kira bunga itu berulang-ulang kali sebelum menyerahkannya kepada tok itu. Tak apa, saya beli lebih bunga. Sekejap saya tambah, kata adik ipar pokcik. Dia pun mengira sekali lagi dan menambah bilangan bunga yang tidak cukup tadi. Nah, dah cukup, kata adik ipar pokcik. Baiklah, kita akan teruskan, kata tok. Manalah tahu rezeki wang pula. Berapa yang diberikan, ambil saja. Jangan tamak. Kalau dia nak bagi sejuta, jangan tiba-tiba terlintas nak 3 juta atau 7 juta pulak, ulang tok sekali lagi. Mereka setuju.

Tok masuk sekali lagi ke dalam bilik. Mereka sekali lagi mendengar dia berdialog dengan sesuatu. Selepas sejam dua dia pun keluar dari bilik. Mereka marah sebab bilangan bunga tak cukup, katanya lagi. Kali ini jongkong emas dah tinggal dua di atas dulang. Sekali lagi adik ipar pokcik kira. Memang bunga tak cukup. Dia dah kira berkali-kali tadi tapi sekali lagi bilangan bunga berkurangan. Dia pelik. Namun, perasaan itu dipendamkan di dalam hati. Oleh sebab ada lagi lebihan bunga, sekali lagi adik ipar pokcik menambahnya. Kali ini kita cuba lagi, kata tok itu. Sekali lagi dia masuk ke dalam bilik. Setelah lama di dalam bilik akhirnya dia keluar. Kali ini jongkong emas sudah tinggal satu. Dia dah pergi, kata tok. Nanti balik nyalakan atau pasangkan setanggi tiap-tiap malam selama tujuh hari. Kalau ada rezeki, akan ada makhluk berjubah datang dan berikan wang dan diletakkan di bawah kain kuning ini, kata tok itu lagi.

Setelah berborak sakan dan bergembira kerana dapat satu jongkong emas di bawah kain kuning itu maka mereka pun bertolak balik ke destinasi masing-masing. Sebelum pulang, mereka menyerahkan sejumlah wang seperti yang dijanjikan. Adik ipar pokcik kata dia tak pasti 5K atau 10K. Kalau ada rezeki tu adalah, kata TOK itu ringkas sebaik sahaja wang di serahkan. Kini kawan kepada adik ipar pokcik hanya menunggu selepas 7 hari untuk membuka bungkusan itu. Manalah tahu ada berjuta-juta wang yang akan diberikan oleh bunian bersama-sama dengan satu jongkong emas yang dibawa balik. Hati tak sabar untuk melihat hasilnya tetapi dia tetap bertahan. Tiap-tiap malam pasti akan dibakar setanggi...

Akhirnya tibalah masa yang ditunggu-tunggu. Dengan perasaan gembira bercampur suspens dia menyelak kain kuning itu perlahan-lahan. Alangkah terkejutnya dia apabila dia melihat jongkong emas tiada di bawah kain kuning itu. Entah bila agaknya TOK itu mengambil atau menyorokkan semula jongkong emas itu. Hahahahahhaha. Nampaknya dia telah dimainkan oleh Madi dan TOK itu. Silap-silap jongkong emas itu memang sudah disediakan terlebih awal oleh mereka dan itu bukanlah jongkong emas tulin. Oleh sebab berasa ditipu, dia menelefon semula TOK itu namun nombor telefon sudah ditukar dan dia tidak dapat dihubungi. Dia kemudiannya melefon Madi. Mati-mati Madi menafikan dia turut bersubahat.. Mana aku tahu. Aku buat dengan dia, ok je, kata Madi. Sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib hamba Allah itu. Kesimpulannya, carilah rezeki yang halal dan diredhai Allah. Sekian perkongsian buat kali ini. Moga berjumpa lagi. Salam hormat...

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.