Friday 3 May 2019

BESAR MATA HITAMNYA TERJOJOL KELUAR



Malam tadi pokcik pergi ke rumah hamba Allah yang pokcik usahakan dua hari lepas kerana diadakan sedikit jamuan.. Sesampainya di sana pokcik terus menjamu selera di tempat yang disediakan. Sahabat pokcik yang mengetuai bacaan tahlil selepas solat Maghrib menemani pokcik makan. Sebenarnya A****** ada perkara nak beritahu, kata sahabat pokcik. Awat pulak, tanya pokcik ringkas. Sahabat pokcik kemudiannya memanggil A***** yang sedang melayan tetamu untuk datang ke meja kami.

Dia pun menceritakan perihal dirinya yang pokcik usahakan dan perihal isterinya. Oleh sebab perkara yang ingin dibincangkan merupakan perkara serius maka pokcik mengajaknya untuk berbicara di dalam rumahnya. Dia bersetuju. Kami terus masuk ke bilik belakang di rumahnya. Sebaik masuk ke dalam bilik dia meminta pokcik doakan air untuk pulihkan semangatnya kerana bimbang sekiranya ada sesuatu yang datang mengganggunya lagi. Pokcik turuti kemahuannya dan doakan segelas air lalu pokcik memintanya sapu pada bahagian dadanya. Alhamdulillah makin semangat katanya. Alhamdulillah segala puji bagi Allah..

Setelah itu barulah dia meneruskan bicara perihal isterinya. Dia berkata dia membaca dan melihat YouTube dan bercerita perihal eczema yang dikatakan ada juga kaitan dengan jin.. Pokcik dengar sahaja ceritanya.. Kemudian dia memberitahu bahawa isterinya mengalami eczema yang teruk dan perubatan moden sudah puas dia usahakan.. Dia menyebut nama Klinik yang memang popular di Kuantan, pakar kulit. Namun keadaan isterinya begitu juga. Dia juga menceritakan perihal isterinya yang panas baran. Tu nampak lubang, katanya sambil menunjukkan lubang tombol pintu. Dia laa yang tendang tu, katanya lagi. Menurutnya lagi anaknya juga sering menjadi mangsa. Pantang salah sikit mesti tangan atau kakinya sampai. Isterinya juga sering meminta cerai sekiranya mereka berselisih faham. Jadi dia meminta jasa baik pokcik untuk melihat keadaan isterinya itu.. Pokcik meminta dia pergi memanggil isterinya itu.

Dia terus keluar dan memanggil isterinya itu. Isterinya datang tidak lama kemudian. Sebaik sampai tiba-tiba isterinya pula berbicara. Sekarang ini saya jadi seorang yang panas baran. Saya bukannya begitu, katanya lagi. Pokcik hanya mendengar luahannya. Setelah suasana tenang barulah pokcik menyuarakan hasrat suaminya itu. Suaminya memintanya menunjukkan jarinya yang mempunyai kesan lecuh dan ruam. Dia mula menunjukkan jarinya. Saya suka memasak. Saya tukang masak. Sekarang ini saya berhenti kerana keadaan saya ni. Siapa yang selera nak makan kalau tengok tangan saya macam ni. Sekarang saya hanya masak untuk suami saya sahaja, katanya bercerita.

Pokcik meminta dia bertenang dan jangan terpengaruh dengan emosinya. Suaminya juga menenangkannya. Tanpa dipinta dia pun merebahkan badan. Suaminya terus mengambil dua biji bantal untuk alas kepalanya.

Bertenang ya. Pokcik nak cuba tengok apa yang mengganggu, kata pokcik. Dia diam. Pejamkan mata, kata suaminya. Si isteri terus memejamkan mata. Percaya pada pokcik. Ingat Allah. Suami awak pun ada di sini, kata pokcik. Pokcik meminta suaminya duduk bersebelahan isterinya itu. Dia mula tenang. Suasana tenang hanya berlaku sementara waktu sahaja. Sebaik pokcik pagarkannya pokcik dah dapat mengesan tempat gangguan seizinNya. Meremang. Besar dah kepala ni, kata suaminya. Hihihihihi. Oleh sebab pokcik tak mahu berlaku sesuatu yang tak diingini, pokcik meminta dia bergerak jauh daripada isterinya.

Pokcik dapat kesan tiga tempat, dada kanan, atas pusat dan kaki kiri, kata pokcik kepadanya. Dia mengakui kesemuanya. Baiklah, pokcik akan usahakan buang gangguan berkenaan. Doakan semoga Allah permudahkan urusan kita. Ingat Allah, kata pokcik lagi. Dia sudah mula diam. Gangguan sudah mula mengganggunya. Dadanya mula turun naik dengan cepat seperti orang yang sedang menahan marah. Nafasnya mula semakin ganas. Hembusannya amat kuat seperti kerbau gayanya. Gangguan mula menunjukkan diri. Sebaik sahaja pokcik mengangkat tangan dia mula menangis. Air matanya mula keluar dengan deras.

Apabila pokcik mengangkat tangan di atas bahagian mukanya, suaminya melihat mata hitam isterinya amat besar, terjojol keluar dan menakutkan. Hodohnya isteriku, gamaknya itulah yang terdetik di hatinya. Si suami mengalihkan kedudukan. Dia tak berpuas hati dengan apa yang dilihat. Mungkin bayang tangan pokcik, detik hatinya. Walaupun berubah kedudukan, mata hitam besar tetap kelihatan. Dari bahagian mata tangan pokcik ke bahagian hidungnya pula. Terus hidung isterinya besar. Sebesar buah epal pada pandangan suaminya. Sekali lagi suaminya beralih kedudukan. Memang itu yang dilihatnya. Begitu juga dengan kedua-dua belah pipi isterinya. Gamaknya dah sebesar bola sepak agaknya. Wallahuaklam.. Itu yang diceritakan oleh suaminya kepada pokcik selepas selesai semuanya seizinNya.

Setelah lebih kurang 10 minit pokcik doakan, dia mula bertindak ganas namun masih tidak boleh bangun seizinNya. Dia mendengus, menyentak tangan dan kaki dengan ganas dan tangannya mula menggaru bahagian mukanya. Pokcik ikhtiarkan menolak semua gangguan ke bahagian kakinya. Kakinya mula bergerak. Sekejap lurus dan sekejap dibengkokkan. Setelah itu pokcik pergi ke arah kakinya. Pokcik meletakkan limau pada bahagian tapak dan jari kaki kirinya. Dia mengalihkan kakinya. Sakit, katanya tiba-tiba. Pokcik tak mahu layan. Pokcik ikhtiar keluarkan gangguan itu secara paksa. Setelah itu pokcik ikhtiarkan bahagian kaki kanannya. Kali ini dia semakin bertindak ganas. Limau langsung tidak dibenarkan mendekati kakinya. Pokcik meminta izin daripada suaminya untuk memegang jari kaki isterinya. Dengan menggunakan sehelai tuala mandinya, pokcik berjaya juga meletakkan limau dan usaha keluarkan gangguan berlangsung secara paksa tanpa sebarang kompromi meskipun dia meraung sakit. Sakit apa, pokcik hanya letakkan limau. Bukannya memicit jarinya.

Setelah itu dia berasa ingin muntah. Pokcik cepat-cepat meminta suaminya mengambil bekas. Dia dibangunkan oleh suami. Dia muntah dengan banyaknya. Badannya mula lembik. Sakit tekak, tak nak lepas, katanya. Ketika itu pokcik memegang limau dan limau itu jatuh berhampirannya. Dia terus mengambil limau itu. Pokcik minta tetapi dia berkeras tak mahu berikan kepada pokcik. Berikan, kata pokcik.

Tak mahu. Biar saya yang buang, katanya. Walaupun suaminya memujuk dia tetap berkeras. Ambilkan limau tu, kata pokcik kepada suaminya. Suaminya cuba mengambil limau itu tetapi dia tidak berjaya kerana tenaganya seperti beberapa orang lelaki kuatnya. Tak boleh. Kalau saya paksa nanti pecah limau tu, kata suaminya. Pokcik meminta izin daripada suaminya untuk mengambil limau itu. Suaminya benarkan. Memang kuat genggamannya. Selepas meminta doa kepada Allah di dalam hati, lembut sahaja dia lepaskan limau itu. Dia kemudiannya muntah lagi.

Aku nak balik. Aku nak balik, katanya tiba-tiba. Boleh tak saya nak keluar sekejap nak tengok anak. Kesian kat tetamu. Tak ada orang yang layan, katanya lagi. Ramai orang di luar sana. Ramai yang boleh melayan, kata suaminya. Dia cuba bangun tetapi tidak boleh. Dia merengus.

SAKA, kata pokcik. Siapa namanya, kata pokcik lagi. Si suami berikan namanya. Pokcik memanggil namanya dengan lembut. Dia tak layan. Ketika itu sahabat pokcik masuk ke dalam bilik bersama dengan isterinya. Pokcik memanggil lagi. Kali ini pokcik memanggil nama penuhnya. Dia menjeling pokcik.

Awak pergi ye. Tinggalkan dia. Dia tak mahu mahu awak bersamanya. Awak pergilah. Allah ada untuk menjaganya. Suaminya juga ada bersamanya jadi awak tak diperlukan, kata pokcik lembut.

Tangisannya menjadi lebih kuat. Kali kedua pokcik cakap dengan lembut dan kali ini dia kata tak mahu dan sayangkan dia. Sekali lagi pokcik meminta dengan lembut buat kali ketiga. Kali ini dia mencebikkan dan meludah sahabat pokcik yang baru masuk.. Baiklah. Saya saya minta dengan elok dan cara baik. Nampaknya saya akan memohon kepada Allah untuk membunuh awak. Ketika itu Tangisannya semakin kuat. Serentak dengan itu juga pokcik memancungnya. Terus dia pengsan. Pokcik kata biarkan dia. Kami terus keluar dan pokcik gulung rokok daun di luar rumahnya. Berselang 15 minit dia bangun. Si isteri yang baru bangun dari pengsan memanggil pokcik. Kami masuk ke dalam bilik. Kenapa muka saya besar, katanya. Hahahahahhaha alamak. Pokcik pancung sahaja tetapi lupa nak keluarkan.

Setelah itu pokcik doakan dikeluarkan semua sisa gangguan. Alhamdulillah selesai seizinNya. Dia terus lembik. Pokcik meminta si suami memandikan isterinya pada malam itu juga dengan limau yang pokcik doakan. Tiga empat orang perempuan termasuk si suami mengangkatnya yang lembik. Ketika mandi limau dia berasa pedih di seluruh badan. Biasalah apabila PAKAIAN yang selama ini berdamping dengannya dicabut, itulah yang dirasakan seizinNya. Alhamdulillah semuanya berakhir dengan baik. Setelah dibawa ke bilik, dia terus tidur tidak sedarkan diri... Manis mukanya. Bersih, kata salah seorang isteri sahabat pokcik yang melihatnya di dalam bilik. Alhamdulillah semuanya Allah permudahkan. Itulah serba sikit pengalaman pokcik yang tak seberapa ini. Pokcik bukannya orang yang arif. Sekadar usahakan dan memohon ehsan Allah semata-mata. Moga berjumpa lagi. Wallahuaklam


Salam hormat...

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.