Saturday, 8 June 2019

TARIK EMAS DAN HARTA KARUN



Kali ini pokcik nak kongsikan satu lagi kisah iaitu penarikan emas. Sebenarnya, dahulu pokcik pernah juga terlibat dengan penarikan emas dan harta karun namun sudah cuci tangan. Kali ini pokcik akan kongsikan pengalaman adik ipar pokcik sendiri mengikut kawannya mengikuti ritual penarikan emas di Kota Bharu Kelantan.

Kisah bermula apabila sahabat adik ipar pokcik terdesak untuk membayar hutangnya. Menurut adik ipar pokcik, sahabatnya itu terpaksa menggadai rumah dan menjual keretanya kerana ingin menampung hutang yang terlalu banyak. Pokcik tak tanya pula apa yang dilakukannya sehingga begitu banyak hutang yang terpaksa ditanggung. Mungkin juga dia melabur ataupun menjalankan sesuatu perniagaan.

Pokcik dengar hutangnya hampir mencecah 1 juta. Wallahuaklam. Nak dijadikan cerita, dia kenal dengan seorang lelaki dari Pekan Pahang yang bernama Madi. Mungkin kenalan Facebook agaknya. Dia menceritakan kisahnya kepada Madi. Madi memberitahunya bahawa dia boleh memperkenalkannya dengan seorang kenalan yang boleh melakukan ritual penarikan emas dan harta karun.

Madi juga menunjukkan barangan emas yang dipakai oleh anaknya. Cuba tengok emas yang anak aku pakai. Ko ingat aku ada banyak duit sangat ke nak belikan emas untuk anak dan bini aku, kata Madi. Aku akan perkenankan awak dengan kenalan aku itu tetapi biarlah aku telefonnya dahulu untuk menceritakan masalah awak. Tapi, kalau nak pulangan besar maka modalnya juga besar, kata Madi lagi.

Sahabat kepada adik ipar pokcik setuju. Modal yang diminta antara 5K hingga 10K. Setelah persetujuan dicapai, adik ipar pokcik dan sahabatnya itu serta dua orang sahabat lain terus berangkat ke Kota Bharu Kelantan untuk berjumpa dengan 'TOK' itu. Tok itu meminta mereka mencari delima merah pada awalnya namun agak sukar untuk mencari delima merah asli. Kalau tak salah pokcik, delima asli sekalipun sudah mencecah harga jutaan ringgit.

Oleh sebab delima merah tidak diperoleh, maka mereka dikehendaki mencari 21 jenis bunga dan 3 kuntum bunga bagi setiap jenis bunga tersebut. Adik ipar pokcik yang ingin menolong sahabatnya itu mencari bunga berkenaan dan mendapatkannya. Apabila sampai di sana, Madi dan beberapa orang sahabatnya sudah sedia menunggu. Mereka diperkenalkan dengan 'TOK'. Tok meminta barangan yang dibawa oleh mereka iaitu bunga, setanggi dan sebagainya. Adik ipar pokcik mengira kuntuman bunga yang dibawanya berkali-kali untuk memastikan bilangannya mencukupi.

Setelah itu semua barangan dan bunga diletakkan ke dalam dulang yang beralas kain kuning. Tok membawa barangan tersebut ke dalam biliknya. Hanya dia berada di dalam bilik. Pintu bilik itu dibuka namun mereka yang lain berada di ruang tamu berhampiran dengan bilik itu. Besar bilik tu, kata adik ipar pokcik ketika menceritakan kisah ini kepada pokcik. Sebelum bermula tok berpesan kepada mereka supaya jangan menegur sekiranya ada ternampak sesuatu penampakan bimbang keteguran. Mereka juga diminta untuk membersihkan hati. Jangan ada niat yang kotor. Sekiranya dapat 3 juta, jangan ada menyesal dan cakap sepatutnya aku minta 7 juta. Setelah itu mereka diminta berzikir dan berselawat.

Akhirnya tok meminta semua lampu ditutup. Kini mereka duduk dalam kegelapan. Maka bermulalah ritual yang dijanjikan. Tok memulakan upacara dengan menyalakan setanggi. Berbau wangi satu rumah dengan wangian setanggi. Mereka yang lain dah mula berzikir tanpa mempedulikan apa yang berlaku di dalam bilik. Tak lama kemudian kedengaran suara tok sedang memberikan salam. Kedengaran suaranya sahaja seolah-olah sedang tawar-menawar dengan makhluk 'BUNIAN' yang tidak kelihatan. Agaknya dalam sejam berlaku tawar-menawar itu. Mereka yang berada di luar bilik terus berzikir tanpa henti.

Tiba-tiba, ktungggg ktungggg ktungggg, terdengar tiga kali bunyi jatuh sesuatu di atas dulang itu. Mereka yang berada di luar bilik terkejut. Mereka berpandangan. Emas, kata sahabat kepada adik ipar pokcik. Tok membawa keluar tiga jongkong emas yang terletak di atas dulang. Oleh sebab terlalu gembira kawan kepada adik ipar pokcik terus meluru dan memegang jongkong emas itu lalu dibawa ke dapur. Haih, mana boleh pegang lagi, kata tok. Dia memarahi perbuatan yang dilakukan oleh hamba Allah itu. Maaf tok, saya excited sangat, katanya memohon maaf..

Mmmmmmmmm kenapa bilangan bunga tak cukup, kata tok mengomel. Dah orang bunian marah, katanya. Adik ipar pokcik membilang semula bilangan bunga. Memang tak cukup. Padahal dia dah kira bunga itu berulang-ulang kali sebelum menyerahkannya kepada tok itu. Tak apa, saya beli lebih bunga. Sekejap saya tambah, kata adik ipar pokcik. Dia pun mengira sekali lagi dan menambah bilangan bunga yang tidak cukup tadi. Nah, dah cukup, kata adik ipar pokcik. Baiklah, kita akan teruskan, kata tok. Manalah tahu rezeki wang pula. Berapa yang diberikan, ambil saja. Jangan tamak. Kalau dia nak bagi sejuta, jangan tiba-tiba terlintas nak 3 juta atau 7 juta pulak, ulang tok sekali lagi. Mereka setuju.

Tok masuk sekali lagi ke dalam bilik. Mereka sekali lagi mendengar dia berdialog dengan sesuatu. Selepas sejam dua dia pun keluar dari bilik. Mereka marah sebab bilangan bunga tak cukup, katanya lagi. Kali ini jongkong emas dah tinggal dua di atas dulang. Sekali lagi adik ipar pokcik kira. Memang bunga tak cukup. Dia dah kira berkali-kali tadi tapi sekali lagi bilangan bunga berkurangan. Dia pelik. Namun, perasaan itu dipendamkan di dalam hati. Oleh sebab ada lagi lebihan bunga, sekali lagi adik ipar pokcik menambahnya. Kali ini kita cuba lagi, kata tok itu. Sekali lagi dia masuk ke dalam bilik. Setelah lama di dalam bilik akhirnya dia keluar. Kali ini jongkong emas sudah tinggal satu. Dia dah pergi, kata tok. Nanti balik nyalakan atau pasangkan setanggi tiap-tiap malam selama tujuh hari. Kalau ada rezeki, akan ada makhluk berjubah datang dan berikan wang dan diletakkan di bawah kain kuning ini, kata tok itu lagi.

Setelah berborak sakan dan bergembira kerana dapat satu jongkong emas di bawah kain kuning itu maka mereka pun bertolak balik ke destinasi masing-masing. Sebelum pulang, mereka menyerahkan sejumlah wang seperti yang dijanjikan. Adik ipar pokcik kata dia tak pasti 5K atau 10K. Kalau ada rezeki tu adalah, kata TOK itu ringkas sebaik sahaja wang di serahkan. Kini kawan kepada adik ipar pokcik hanya menunggu selepas 7 hari untuk membuka bungkusan itu. Manalah tahu ada berjuta-juta wang yang akan diberikan oleh bunian bersama-sama dengan satu jongkong emas yang dibawa balik. Hati tak sabar untuk melihat hasilnya tetapi dia tetap bertahan. Tiap-tiap malam pasti akan dibakar setanggi...

Akhirnya tibalah masa yang ditunggu-tunggu. Dengan perasaan gembira bercampur suspens dia menyelak kain kuning itu perlahan-lahan. Alangkah terkejutnya dia apabila dia melihat jongkong emas tiada di bawah kain kuning itu. Entah bila agaknya TOK itu mengambil atau menyorokkan semula jongkong emas itu. Hahahahahhaha. Nampaknya dia telah dimainkan oleh Madi dan TOK itu. Silap-silap jongkong emas itu memang sudah disediakan terlebih awal oleh mereka dan itu bukanlah jongkong emas tulin. Oleh sebab berasa ditipu, dia menelefon semula TOK itu namun nombor telefon sudah ditukar dan dia tidak dapat dihubungi. Dia kemudiannya melefon Madi. Mati-mati Madi menafikan dia turut bersubahat.. Mana aku tahu. Aku buat dengan dia, ok je, kata Madi. Sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib hamba Allah itu. Kesimpulannya, carilah rezeki yang halal dan diredhai Allah. Sekian perkongsian buat kali ini. Moga berjumpa lagi. Salam hormat...

Thursday, 6 June 2019

KISAH MISTIK SHANTI DAN RAJU


Siapa nak dengar kisah hantu India?

Kisah bermula dengan percintaan sepasang kekasih berbangsa India. Si perempuan bernama Shanti (bukan nama sebenar) manakala si lelaki bernama Raju (bukan nama sebenar). Kisah bermula apabila mak saudara Shanti memperkenalkan Shanti dengan Raju. Percintaan mereka direstui oleh kedua-dua orang tua mereka....

Semakin hari hubungan mereka semakin kuat. Dalam masa yang sama mak saudara Shanti selalu memuji Raju di hadapan ibu bapa Shanti. Lama-kelamaan perangai mak saudara Shanti semakin pelik. Dia seolah-olah cemburu kepada mereka. Dalam masa yang sama, dia semakin cuba untuk mendekati Raju. Dia selalu menghantar makanan dan sebagainya kepada Raju dan keluarganya. Kebetulan pula, rumah mak saudara Shanti berdekatan dengan rumah Raju...

Dia turut membelikan kereta buat Raju. Namun, Raju tidak mahu terhutang budi.. Dia membayar secara ansuran kereta tersebut kepada mak saudara Shanti. Hal ini diketahui oleh Shanti. Shanti juga memberikan Raju wang untuk membayar keretanya itu. Dalam masa yang sama, dia menasihati Raju supaya berbaik sangka dengan mak saudaranya itu. Dia tahu mak saudaranya suka kepada Raju tetapi dia tak mahu Raju melukakan hatinya. Tambahan pulak Raju menghormati mak saudara Shanti dan menggangapnya sebagai kakak.

Pada suatu malam nenek Shanti ternampak seorang wanita mirip mak saudara Shanti sedang berada di hadapan bilik Shanti sambil meniup sesuatu di tangannya. Apa yang berada di tangannya itu tidak dapat dipastikan kerana kegelapan malam. Hal ini diberitahu kepada Shanti pada suatu hari. Sejak itu Shanti juga kerap ternampak seorang wanita berambut panjang di penjuru biliknya apabila dia menghubungi Raju melalui telefon sedang memerhatikannya. Setiap kali setelah selesai menelefon Raju perempuan berambut panjang itu akan hilang serta merta.

Suatu hari mak saudara Shanti membuat fitnah tentang Raju kepada ibu bapa Shanti.. Ibu bapa Shanti marah kepada Raju dan mengupah samseng untuk memukul Raju. Hubungan Shanti masih elok tetapi mereka sukar untuk berjumpa kerana ibu bapa Shanti menghalang mereka untuk bertemu. Shanti dipukul oleh adiknya serta dikurung oleh ibu bapanya di dalam biliknya. Sejak itu Shanti keluar dan berjumpa dengan Raju secara sembunyi-sembunyi. Ibu bapanya tidak tahu akan perkara itu. Mak Shanti akan menelefon Shanti setiap sejam untuk memastikan keselamatan mereka apabila si Shanti keluar dengan Raju..

Suatu hari, dia menelefon adik ipar pokcik untuk berjumpa dengannya. Dia selalu mengadu masalahnya kepada adik ipar pokcik melalui whatsapps namun dia tidak berpuas hati. Dia ingin menceritakan kisahnya secara bersemuka. Adik ipar pokcik bersetuju untuk berjumpa dengannya. Apabila tiba hari yang dijanjikan, adik ipar pokcik dan anak perempuan terus pergi ke rumah Shanti. Setibanya di sana, Shanti kelihatan amat letih. Sesekali dia menguap tanda mengantuk.

Awak tengok saya mengantuk, kan? Tapi saya tak boleh tidur, kata Shanti kepada adik ipar pokcik. Dia menceritakan perihal perempuan berambut panjang di dalam biliknya setiap kali dia menelefon Raju. Sebaik sahaja dia selesai menelefon Raju, perempuan itu akan hilang. Begitulah yang berlaku setiap kali, katanya lagi. Dia juga tidak dapat melelapkan mata meskipun dia mengantuk yang amat sangat. Adik ipar pokcik ditanya adakah dia mengenali seseorang untuk merawatnya.. Adik ipar pokcik cuba meminta pokcik ikhtiarkan sahabatnya itu tetapi kebetulan pokcik sangat sibuk...

Pada suatu hari adik ipar pokcik bertanyakan kepada sahabat di tempat kerjanya. Sahabatnya itu memberitahu kepadanya bahawa dia ada mengenali seorang ustazah. Dia memberikan nombor ustazah itu kepada adik ipar pokcik.. Adik ipar pokcik terus menghubunginya. Ustazah itu meminta nama sahabatnya itu.. Setelah diberikan nama, ustazah itu memberitahu bahawa ada seorang perempuan yang suka kepada Raju. Menurutnya lagi, perempuan itu berada di Klang. Dia telah pergi ke sebuah kuil di sana untuk memisahkan Raju dan Shanti...

Adik ipar pokcik tertarik dengan cerita ustazah itu. Dia mengajak Shanti untuk berjumpa dengan si ustazah. Apabila tiba hari yang dijanjikan, mereka pun pergi ke sana. Adik ipar pokcik membawa anak perempuannya bersama dengan Shanti. Setibanya di sana, mereka disambut oleh suami ustazah itu. Dia mempelawa mereka masuk ke dalam rumah. Kelihatan ada beberapa balang kuih yang dibuatnya diletakkan di atas meja. Sedapnya kuih, kata anak perempuannya. Best ni kalau boleh makan, sambung anaknya lagi...

Adik ipar pokcik menegur anaknya itu. Lama mereka menunggu namun ustazah itu masih tidak muncul. Lebih kurang 15 minit menunggu akhirnya ustazah itu turun dari bahagian atas rumahnya. Entah apa yang dibuatnya di atas tu mereka pun tak tahu. Pada tangannya ada handset. Bukan main lagi dia main handset sambil turun dari tangga rumahnya. Makanlah, memang buat biskut itu untuk dimakan, katanya tiba-tiba.

Mereka memandang sesama sendiri. Ustazah itu seperti tahu perbualan adik ipar dan anaknya tadi. Tanpa membuang masa anaknya terus membuka balang kuih itu lalu memakannya. Dia juga membawa sebuah buku log. Dalam buku log itu ditulis nama pesakit dan sebagainya. Sebaik sahaja berada di hadapan mereka, dia meminta nama si sakit dan pakwenya itu. Sebaik sahaja dia menulis nama pakwenya itu dalam buku, ustazah itu menggelengkan kepalanya. Huhhhhhh huhhhh. Berat ni.. Arghhhhhh arghhhhhhh arghhhh.. Dia mula mendengus seperti orang kerasukan. Shanti memandang dengan takut.

Dia kemudiannya membacakan surah alfatihah dan kemudiannya terkumat kamit membacakan sesuatu. Dia seperti tidak berada di alam ini. Tangannya seperti sedang menahan sesuatu dan berlawan dengan makhluk itu.. Mmmmmmmmm hmmmmmm. Dia mendengus lagi. Dia kemudiannya sedar. Sambil menggelengkan kepalanya dia berkata, berat kes awak ni.. Awak dan kekasih awak telah disihir. Orang yang sihirkan awak menggunakan sami di kuil Klang. Di situ, nak buat baik pun boleh nak buat jahat pun boleh. Penyihir itu telah PASAK hati awak berdua.

Kalau awak berdua kahwin sekalipun tidak akan bahagia. Dia telah pasak dan pasang dinding atau tembok tinggi dalam hati awak berdua. Pada tembok tu ada diikat sehelai kain. Tapi tak apa, saya boleh uruskan. Sekejap, kata ustazah itu. Sekali lagi dia pejamkan mata. Dia mula mengomel seorang diri dan berlawan lagi dengan makhluk tu. Urgggggg aargghhhhh hisssssss mmmmmmmmm, dia berlawan. Huhhhhhhh berat ni katanya lagi. Tak lama kemudian dia pun berhenti. Selesai dah agaknya... Hihihihihi....

Macam mana nak kira ni, kata Shanti. Lima ratus lima puluh, kata ustazah itu. Tanpa banyak bicara Shanti mengeluarkan wang lalu diberikan kepada ustazah itu.. Ustazah mengambil duit lalu diletakkan ke dalam  BUKU LOGnya lalu ditutupnya. Tercengang semua sebabnya Shanti seolah-olah dipukau tanpa membantah. Tiba-tiba anak kepada adik ipar pokcik bersuara, bolehkah tengokkan emak saya?

Suaminya mana? tanya si ustazah. Dah meninggal, kata adik ipar pokcik. Dia diam. Tak Baiklah mak menipu, kata si anak. Emak bercerai dengan abah, kata anaknya. Siapa nama, kata ustazah itu. Adik ipar pokcik berikan namanya dan nama ex nya. Mmmmmmmmm uuhhhhhhhhhhh rrrrrrrrrrrrrrrrr, berat ni. Kata ustazah tu Tiba-tiba setelah pejamkan mata. Kakakakkakaka dan-dan jadi tak sedar kononnya. Awak dan ex telah disihir. Ada orang ketiga. Kakakakkakaka.... Adik ipar pokcik menahan gelak. Tipu ni, kata si anak berbisik kepada emaknya.

Dia berkata begitu sebab dia tahu sebab apa mereka berpisah. Setelah itu mereka meminta diri. Shanti tidak mahu meneruskan rawatan biarpun selepas itu sepatutnya dia akan diberi mandi bunga. Mungkin dia beringat agaknya. Dia takut kena banyak lagi. Hahahahahhaha. Sampai ke hari ini masalahnya masih belum selesai. Nampak gayanya pokcik juga akan ikhtiarkan dia gamaknya selepas ini. Hihihihihi. Senang betul hidup.. Buat-buat scan, buat bunyi sikit-sikit, mata jegil sikit, suara buat-buat kasar, hentam RM550. Boleh gitu? Macam-macam ada.. Baiklah. In shaa Allah pokcik akan buka kisah baru. Tajuknya penarikan duit dan harta karun. Moga berjumpa lagi. Salam hormat..