Thursday 9 May 2019

DIGANGGU JIN PADA BULAN PUASA


DIGANGGU JIN PADA BULAN PUASA

Assalamualaikum..

Kali ini pokcik nak kongsikan kisah yang berlaku pada malam tadi. Pokcik sebenarnya dihubungi oleh seorang sahabat pokcik dan menceritakan perihal anaknya pagi semalam. Ketika ingin ke sekolah, anaknya mengadu sakit kepala yang amat sangat. Ketika ayahnya menghampirinya tiba-tiba dia berasa seram sejuk dan meremang bulu roma. Mata anaknya juga bulat dan menjeling tajam kepadanya. Haih, bukan dia dah ni, kata ayahnya. Ayahnya itu terus menghubungi pokcik. Ketika dihubungi pokcik sedang bersiap untuk pergi kerja jadinya pokcik tak dapat melakukan apa-apa. Dia faham.

Lebih kurang pukul 3.30 petang, ayahnya menghubungi pokcik lagi. Katanya dia berhajat untuk membawa anaknya berjumpa dengan pokcik selepas solat taraweh. Pokcik bersetuju. Lebih kurang pukul 8.15 malam dia menghubungi pokcik lagi. Kebetulan hujan telah turun dengan lebatnya. Dia jangka pokcik tidak pergi solat sunat taraweh kerana keadaan cuaca yang tidak begitu mengizinkan. Sebenarnya betul jangkaannya. Sebaik sahaja pokcik bersedia untuk pergi ke surau tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Pokcik membatalkan niat untuk ke sana. Ketika itulah hamba Allah itu menghubungi pokcik dan menyatakan hasratnya untuk membawa anaknya datang lebih awal ke rumah pokcik..

Ketika mereka sekeluarga bersiap untuk ke rumah pokcik, si sakit terus pengsan. Mereka menjadi gelabah. Mereka terpaksa menunggu anak mereka sedar terlebih dahulu. Setelah menunggu sekian lama barulah anaknya sedar. Mereka terus bertolak ke rumah pokcik ketika itu juga. Lama juga pokcik menunggu. Hal ini mungkin kerana keadaan jalan yang licin dan kesukaran untuk memandu kerana hujan yang agak lebat. Tak lama kemudian hujan pun beransur reda. Pokcik keluar rumah dan menunggu mereka setelah pokcik memberikan location rumah pokcik. Akhirnya mereka tiba juga. Si ayah memandu manakala si ibu berada di bahagian belakang kereta bagi menemani anak mereka yang sakit.

Setelah bersalaman dengan hamba Allah itu, kelihatan si ibu membuka pintu kereta dan mengeluarkan anaknya. Anaknya kelihatan amat letih. Si ibu terpaksa memimpin dan memapahnya dengan berhati-hati. Pokcik mempelawa si ibu dan anaknya masuk terlebih dahulu sementara pokcik dan si ayah berbual sebentar di luar rumah sambil menghirup udara segar. Hihihihihi..

Sebenarnya kisah gangguan pada bulan puasa pernah pokcik dengar daripada seorang perawat D**** S**** ketika kami sedang menjamu selera di sebuah hotel. Katanya dia pernah dipanggil oleh seorang hamba Allah lebih kurang pukul 3 pagi pada bulan puasa. Sebaik sahaja dia sampai, ternyata si isteri pemanggil itu sedang kerasukan. Sebaik sahaja dia membacakan beberapa potong ayat suci, si perempuan itu mula mengejeknya. Tak perlu Kau ulang-ulang. Dua orang perawat tadi pun membacakan ayat yang sama. Aku sudah tahu ayat itu lama daripadamu, kata perempuan yang kerasukan itu. Setelah hampir mati akal, dia mula berkomunikasi dengan jin yang merasuk itu. Katanya dia suka akan perempuan itu kerana perempuan itu sangat baik, suka beribadah, suka mengaji dan sebagainya. Rupa-rupanya jin Islam yang merasuk kerana asyik dan suka akan wanita itu..

Kita kembali kepada kisah kali ini. Berdasarkan kisah yang disampaikan oleh ayah si sakit dan ibunya, si sakit ini mula mengalami gangguan ketika sedang belajar di SBPI. Dia kemudiannya bertukar ke SMK** kerana tidak tahan dengan gangguan ketika berada di SBPI. Kejadian gangguan dan rasukan semakin menjadi-jadi pada bulan puasa. Pada masa bulan lain, biasa sahaja gangguan yang berlaku. Pelik juga. Mereka berpendapat, sekiranya sudah bertukar sekolah maka gangguan akan berakhir namun ternyata jangkaan mereka tidak benar. Kalau dulu, tengok nombor sekolah naik kat handset, tahu dah anak lelaki saya buat perangai. Biasalah lelaki, katanya sambil gelak. Sekarang ini, kalau naik nombor sekolah, tahu dah, anak perempuan saya mesti pengsan atau terkena gangguan, sambungnya lagi.. Pokcik hanya diam mendengar cerita daripada si bapa..

Pernah dahulu anaknya itu berjalan tanpa sedar dan menuju ke arah bukit di belakang sekolah. Tangannya seolah-olah dipimpin oleh seseorang yang tidak kelihatan pada mata kasar kita. Alhamdulillah ketika kejadian, ada seorang guru yang nampak lalu membawanya ke bilik darjah. Kalau tak, agaknya masuk surat khabar pula kes seorang remaja perempuan hilang di bukit. Agaknya laa kan.. Si ibu pula menambah cerita. Katanya, pernah anaknya mengejutkan dia pada waktu pagi. Lebih kurang pukul 2 pagi agaknya kerana kata si anak ada orang yang sedang menunggunya untuk ke sekolah. Sekolah apa agaknya pukul 2 atau 3 pagi. Hihihihihi.. Pergi jumpa doktor tiap-tiap kali pengsan, doktor akan check darah. Sampai bila, kan? tanyanya kepada pokcik. Asyik ambil darah saja. Bila nak selesai, katanya lagi. Doktor pernah beritahu bahawa ia berkaitan dengan perubahan hormon. Saya boleh terima tapi kalau asyik ambil darah saja, mana tahan. Pokcik diam mendengar. Setahu pokcik, tak pernah lagi pokcik dengar orang asyik pengsan dan kerasukan disebabkan perubahan hormon. Hihihihihi..

Kini anak mereka sudah berada di tingkatan 5. Lagilah risau si ayah dan ibu. Tambahan pula dia akan menduduki Peperiksaan SPM pada tahun ini. Puas berubat dengan cara moden maka mereka mula terarah kepada Perubatan Alternatif. Mereka mula pergi ke Pusat Perubatan Islam D**** S**** namun masalah ini terus berlaku. Sebelum menghubungi pokcik juga mereka menghubungi seorang perawat di sana tetapi katanya dia/mereka di D**** S**** tidak merawat pada bulan puasa. Mungkin mereka mahu lebih membuat amalan dengan mengaji, berzikir dan sebagainya. Kali ini pokcik mempunyai pandangan berbeza daripada mereka. Menolong orang juga merupakan amalan dan boleh dijadikan amal jariah atau sedekah. Tambah-tambah lagi pada bulan puasa. Apa pun terpulang atas pendirian masing-masing. Ini sekadar pandangan peribadi pokcik sahaja.

Menurut pemahaman pokcik, gangguan berlaku disebabkan jin asyik. Pendapat pokcik sama dengan seorang perawat yang ditemui oleh mereka ketika berubat di Jaya Gading. Antara sebab pokcik berkata demikian ialah gangguan terus berlaku biarpun dia sudah bertukar sekolah. Ini menunjukkan jin itu mengikutnya walau ke mana sahaja dia pergi. Gangguan juga berlaku dalam bulan puasa di mana iblis dan syaitan dibelenggu. Ini menunjukkan hanya jin Islam yang masih lepas bebas. Wallahuaklam.

Setelah semuanya bersedia maka pokcik pun beritahu akan memulakan rawatan. Setelah memagarnya dia kelihatan gelisah namun masih tidak bersuara. Jinak laa agaknya kot. Hahahahahhaha.. Jenis ni paling bahaya. Sama juga dengan manusia. Kalau nampak macam baik je, hati-hatilah. Silap-silap kita terkena dalam diam. Kalau nampak jahat, elok pula kita berhati-kali. Kan? Hihihihihi.. Kalau jinak takkan merata juga berubat. Entahlah. Tapi dalam bab ini pokcik pegang hanya Allah Maha Menyembuhkan. Perawat mana pun hanya berusaha sahaja selagi tidak menyegutukan Allah.

Pelik juga pokcik sebab berbeza dengan cerita perawat yang pernah berdepan dengan jin asyik dalam bulan puasa. Banyak helah, liat dan perawat berkenaan terpaksa menggunakan helah untuk menghalau keluar jin itu. Sebelum ini pun pokcik pernah berjumpa dengan kes jin asyik ni. Alhamdulillah memang tak banyak karenah seizinNya biarpun berat kerosakan yang dibuat kepada suami isteri berkenaan. Mungkin depa pun tahu pokcik tak suka nak bersembang jadi elok depa bersembunyi mencari tempat selamat dan kalau boleh pergi ke tempat sulit. Berpeluh wajah anak dara yang pokcik usahakan ini. Wajahnya yang kusam kembali cerah dan ceria. Perubahan wajahnya diberitahu oleh si ayahnya. Kali ini gangguan bertumpu pada bahagian kepala dan pahanya.

Nak dijadikan cerita, selepas pokcik ikhtiarkan bahagian kepalanya, dia berasa sakit pada bahagian paha kanan. Setelah pokcik usahakan paha kanannya, dia sakit pada bahagian paha kiri pula. Alhamdulillah semuanya dikeluarkan seizinNya. Dia berasa lega serta merta. Setelah makan juadah yang pokcik beli dari bazar Ramadan mereka pun pulang...Apabila pokcik fikirkan semula, pelik perangai jin ini. Katanya sayang pada perempuan tu. Tapinya si emaknya beritahu pokcik, pernah berlaku kepada anaknya, ketika anaknya mengambil wuduk, darah keluar melalui hidung tanpa henti. Apabila dia berhenti mengambil wuduk, automatik darah berhenti. Kata suka dengar orang tu mengaji dan sebagainya. Takkan mengganggu ketika si dia mengambil wuduk? Sebab itu pokcik kata, jin penuh dengan tipu daya. Kalau dikatakan bukan perbuatannya. Apa pula tujuan dia mengekori perempuan itu ke mana saja. Kata sayang. Takkan tak boleh nak tolong perempuan itu. Ini menunjukkan jin tiada apa-apa kuasa. Semuanya atas kehendakNya..

Pada pagi ini lebih kurang pukul 7. 45pagi pokcik menghubungi ayahnya untuk bertanya khabar anaknya. Alhamdulillah katanya. Sebaik sahaja pulang malam tadi anaknya terus tidur. Puas juga dia kejutkan untuk bangun sahur kerana dia tidur dengan lena kerana keletihan. Pagi ini dia kelihatan ceria dan bersemangat untuk ke sekolah. Alhamdulillah sekali lagi Allah permudahkan urusan. Jin Islam seperti manusia Islam juga. Ada yang taat dan ada yang engkar. Namun, kalau dah mengganggu urusan sehingga menyebabkan seseorang itu sukar beribadah kepadaNya maka hukuman yang berat patut dilaksanakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Moga berjumpa lagi. Wallahuaklam

Salam hormat...

Friday 3 May 2019

BESAR MATA HITAMNYA TERJOJOL KELUAR



Malam tadi pokcik pergi ke rumah hamba Allah yang pokcik usahakan dua hari lepas kerana diadakan sedikit jamuan.. Sesampainya di sana pokcik terus menjamu selera di tempat yang disediakan. Sahabat pokcik yang mengetuai bacaan tahlil selepas solat Maghrib menemani pokcik makan. Sebenarnya A****** ada perkara nak beritahu, kata sahabat pokcik. Awat pulak, tanya pokcik ringkas. Sahabat pokcik kemudiannya memanggil A***** yang sedang melayan tetamu untuk datang ke meja kami.

Dia pun menceritakan perihal dirinya yang pokcik usahakan dan perihal isterinya. Oleh sebab perkara yang ingin dibincangkan merupakan perkara serius maka pokcik mengajaknya untuk berbicara di dalam rumahnya. Dia bersetuju. Kami terus masuk ke bilik belakang di rumahnya. Sebaik masuk ke dalam bilik dia meminta pokcik doakan air untuk pulihkan semangatnya kerana bimbang sekiranya ada sesuatu yang datang mengganggunya lagi. Pokcik turuti kemahuannya dan doakan segelas air lalu pokcik memintanya sapu pada bahagian dadanya. Alhamdulillah makin semangat katanya. Alhamdulillah segala puji bagi Allah..

Setelah itu barulah dia meneruskan bicara perihal isterinya. Dia berkata dia membaca dan melihat YouTube dan bercerita perihal eczema yang dikatakan ada juga kaitan dengan jin.. Pokcik dengar sahaja ceritanya.. Kemudian dia memberitahu bahawa isterinya mengalami eczema yang teruk dan perubatan moden sudah puas dia usahakan.. Dia menyebut nama Klinik yang memang popular di Kuantan, pakar kulit. Namun keadaan isterinya begitu juga. Dia juga menceritakan perihal isterinya yang panas baran. Tu nampak lubang, katanya sambil menunjukkan lubang tombol pintu. Dia laa yang tendang tu, katanya lagi. Menurutnya lagi anaknya juga sering menjadi mangsa. Pantang salah sikit mesti tangan atau kakinya sampai. Isterinya juga sering meminta cerai sekiranya mereka berselisih faham. Jadi dia meminta jasa baik pokcik untuk melihat keadaan isterinya itu.. Pokcik meminta dia pergi memanggil isterinya itu.

Dia terus keluar dan memanggil isterinya itu. Isterinya datang tidak lama kemudian. Sebaik sampai tiba-tiba isterinya pula berbicara. Sekarang ini saya jadi seorang yang panas baran. Saya bukannya begitu, katanya lagi. Pokcik hanya mendengar luahannya. Setelah suasana tenang barulah pokcik menyuarakan hasrat suaminya itu. Suaminya memintanya menunjukkan jarinya yang mempunyai kesan lecuh dan ruam. Dia mula menunjukkan jarinya. Saya suka memasak. Saya tukang masak. Sekarang ini saya berhenti kerana keadaan saya ni. Siapa yang selera nak makan kalau tengok tangan saya macam ni. Sekarang saya hanya masak untuk suami saya sahaja, katanya bercerita.

Pokcik meminta dia bertenang dan jangan terpengaruh dengan emosinya. Suaminya juga menenangkannya. Tanpa dipinta dia pun merebahkan badan. Suaminya terus mengambil dua biji bantal untuk alas kepalanya.

Bertenang ya. Pokcik nak cuba tengok apa yang mengganggu, kata pokcik. Dia diam. Pejamkan mata, kata suaminya. Si isteri terus memejamkan mata. Percaya pada pokcik. Ingat Allah. Suami awak pun ada di sini, kata pokcik. Pokcik meminta suaminya duduk bersebelahan isterinya itu. Dia mula tenang. Suasana tenang hanya berlaku sementara waktu sahaja. Sebaik pokcik pagarkannya pokcik dah dapat mengesan tempat gangguan seizinNya. Meremang. Besar dah kepala ni, kata suaminya. Hihihihihi. Oleh sebab pokcik tak mahu berlaku sesuatu yang tak diingini, pokcik meminta dia bergerak jauh daripada isterinya.

Pokcik dapat kesan tiga tempat, dada kanan, atas pusat dan kaki kiri, kata pokcik kepadanya. Dia mengakui kesemuanya. Baiklah, pokcik akan usahakan buang gangguan berkenaan. Doakan semoga Allah permudahkan urusan kita. Ingat Allah, kata pokcik lagi. Dia sudah mula diam. Gangguan sudah mula mengganggunya. Dadanya mula turun naik dengan cepat seperti orang yang sedang menahan marah. Nafasnya mula semakin ganas. Hembusannya amat kuat seperti kerbau gayanya. Gangguan mula menunjukkan diri. Sebaik sahaja pokcik mengangkat tangan dia mula menangis. Air matanya mula keluar dengan deras.

Apabila pokcik mengangkat tangan di atas bahagian mukanya, suaminya melihat mata hitam isterinya amat besar, terjojol keluar dan menakutkan. Hodohnya isteriku, gamaknya itulah yang terdetik di hatinya. Si suami mengalihkan kedudukan. Dia tak berpuas hati dengan apa yang dilihat. Mungkin bayang tangan pokcik, detik hatinya. Walaupun berubah kedudukan, mata hitam besar tetap kelihatan. Dari bahagian mata tangan pokcik ke bahagian hidungnya pula. Terus hidung isterinya besar. Sebesar buah epal pada pandangan suaminya. Sekali lagi suaminya beralih kedudukan. Memang itu yang dilihatnya. Begitu juga dengan kedua-dua belah pipi isterinya. Gamaknya dah sebesar bola sepak agaknya. Wallahuaklam.. Itu yang diceritakan oleh suaminya kepada pokcik selepas selesai semuanya seizinNya.

Setelah lebih kurang 10 minit pokcik doakan, dia mula bertindak ganas namun masih tidak boleh bangun seizinNya. Dia mendengus, menyentak tangan dan kaki dengan ganas dan tangannya mula menggaru bahagian mukanya. Pokcik ikhtiarkan menolak semua gangguan ke bahagian kakinya. Kakinya mula bergerak. Sekejap lurus dan sekejap dibengkokkan. Setelah itu pokcik pergi ke arah kakinya. Pokcik meletakkan limau pada bahagian tapak dan jari kaki kirinya. Dia mengalihkan kakinya. Sakit, katanya tiba-tiba. Pokcik tak mahu layan. Pokcik ikhtiar keluarkan gangguan itu secara paksa. Setelah itu pokcik ikhtiarkan bahagian kaki kanannya. Kali ini dia semakin bertindak ganas. Limau langsung tidak dibenarkan mendekati kakinya. Pokcik meminta izin daripada suaminya untuk memegang jari kaki isterinya. Dengan menggunakan sehelai tuala mandinya, pokcik berjaya juga meletakkan limau dan usaha keluarkan gangguan berlangsung secara paksa tanpa sebarang kompromi meskipun dia meraung sakit. Sakit apa, pokcik hanya letakkan limau. Bukannya memicit jarinya.

Setelah itu dia berasa ingin muntah. Pokcik cepat-cepat meminta suaminya mengambil bekas. Dia dibangunkan oleh suami. Dia muntah dengan banyaknya. Badannya mula lembik. Sakit tekak, tak nak lepas, katanya. Ketika itu pokcik memegang limau dan limau itu jatuh berhampirannya. Dia terus mengambil limau itu. Pokcik minta tetapi dia berkeras tak mahu berikan kepada pokcik. Berikan, kata pokcik.

Tak mahu. Biar saya yang buang, katanya. Walaupun suaminya memujuk dia tetap berkeras. Ambilkan limau tu, kata pokcik kepada suaminya. Suaminya cuba mengambil limau itu tetapi dia tidak berjaya kerana tenaganya seperti beberapa orang lelaki kuatnya. Tak boleh. Kalau saya paksa nanti pecah limau tu, kata suaminya. Pokcik meminta izin daripada suaminya untuk mengambil limau itu. Suaminya benarkan. Memang kuat genggamannya. Selepas meminta doa kepada Allah di dalam hati, lembut sahaja dia lepaskan limau itu. Dia kemudiannya muntah lagi.

Aku nak balik. Aku nak balik, katanya tiba-tiba. Boleh tak saya nak keluar sekejap nak tengok anak. Kesian kat tetamu. Tak ada orang yang layan, katanya lagi. Ramai orang di luar sana. Ramai yang boleh melayan, kata suaminya. Dia cuba bangun tetapi tidak boleh. Dia merengus.

SAKA, kata pokcik. Siapa namanya, kata pokcik lagi. Si suami berikan namanya. Pokcik memanggil namanya dengan lembut. Dia tak layan. Ketika itu sahabat pokcik masuk ke dalam bilik bersama dengan isterinya. Pokcik memanggil lagi. Kali ini pokcik memanggil nama penuhnya. Dia menjeling pokcik.

Awak pergi ye. Tinggalkan dia. Dia tak mahu mahu awak bersamanya. Awak pergilah. Allah ada untuk menjaganya. Suaminya juga ada bersamanya jadi awak tak diperlukan, kata pokcik lembut.

Tangisannya menjadi lebih kuat. Kali kedua pokcik cakap dengan lembut dan kali ini dia kata tak mahu dan sayangkan dia. Sekali lagi pokcik meminta dengan lembut buat kali ketiga. Kali ini dia mencebikkan dan meludah sahabat pokcik yang baru masuk.. Baiklah. Saya saya minta dengan elok dan cara baik. Nampaknya saya akan memohon kepada Allah untuk membunuh awak. Ketika itu Tangisannya semakin kuat. Serentak dengan itu juga pokcik memancungnya. Terus dia pengsan. Pokcik kata biarkan dia. Kami terus keluar dan pokcik gulung rokok daun di luar rumahnya. Berselang 15 minit dia bangun. Si isteri yang baru bangun dari pengsan memanggil pokcik. Kami masuk ke dalam bilik. Kenapa muka saya besar, katanya. Hahahahahhaha alamak. Pokcik pancung sahaja tetapi lupa nak keluarkan.

Setelah itu pokcik doakan dikeluarkan semua sisa gangguan. Alhamdulillah selesai seizinNya. Dia terus lembik. Pokcik meminta si suami memandikan isterinya pada malam itu juga dengan limau yang pokcik doakan. Tiga empat orang perempuan termasuk si suami mengangkatnya yang lembik. Ketika mandi limau dia berasa pedih di seluruh badan. Biasalah apabila PAKAIAN yang selama ini berdamping dengannya dicabut, itulah yang dirasakan seizinNya. Alhamdulillah semuanya berakhir dengan baik. Setelah dibawa ke bilik, dia terus tidur tidak sedarkan diri... Manis mukanya. Bersih, kata salah seorang isteri sahabat pokcik yang melihatnya di dalam bilik. Alhamdulillah semuanya Allah permudahkan. Itulah serba sikit pengalaman pokcik yang tak seberapa ini. Pokcik bukannya orang yang arif. Sekadar usahakan dan memohon ehsan Allah semata-mata. Moga berjumpa lagi. Wallahuaklam


Salam hormat...