Friday 4 November 2022

MIMPI BIDAN

Asalamualaikum...

Alhamdulillah pokcik masih diberikan kesempatan untuk menitipkan satu lagi kisah. Kisah kali ini merupakan rentetan daripada mimpi seorang bidan kampung.

Pengalaman pokcik kali ini berlaku secara tidak sengaja dan tidak dirancang. Biasanya sesuatu kes yang pokcik usahakan sudah tentu melalui janji temu dan masa yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak...

Dipendekkan cerita, pada hari Isnin baru-baru ini pokcik telah mengikuti satu taklimat. Oleh sebab taklimat kali ini berakhir agak awal, tergerak hati pokcik untuk menziarahi sahabat yang baru sahaja menerima cahaya mata...

Tanpa memberitahu sahabat itu, pokcik terus menghala ke rumah mereka. Sesampainya di rumah beliau, pokcik disambut oleh suami dan bapa saudaranya. Kami berbual seperti biasa.. Tak lama kemudian ibu dan bapa saudaranya meminta diri untuk beredar...

Kali ini perbualan menjadi lebih serius.

Azmi: Berat baru ini si Anis. Tapinya malaslah nak berubat takut mengganggu kandungannya.

Pokcik: Berat macam mana tu?

Azmi: Badannya lemah. Lepas tu kami panggillah bidan untuk mengurut.

Pokcik: Oklah tu...

Azmi: Bidan yang mengurut kata ada sesuatu pada si Anis. Bidan tu datang mengurut tiga hari. Ketiga-tiga malam dia bermimpi rumah kami dikelilingi oleh sami India.

Pokcik: Pelik juga tu...

Azmi: Saya kebetulan sakit tengkuk. Saya minta dia urut tengkuk saya juga...

Pokcik: Amboi... Hahahahaha

Azmi: Sikit je... (Sambil ketawa). Tapinya malam tu dia bermimpi juga. Katanya ramai orang India dalam rumah saya sampaikan susah nak berjalan. Ruang jadi sempit untuk bergerak.

Pokcik: Pelik juga berkait dengan si Anis tadi.

Azmi: Anak saya di sekolah tahfiz pun sakit. Dia dah hafal sampai juz 16.

Pokcik: Alhamdulillah. Sakit macam mana tu?

Azmi: Katanya dia sering kena tindih. Dia akan demam dan sakit ketika nak menghafaz. Kawan-kawannya mula pandang serong.

Pokcik: Boleh tengok gambar dia? Nak kenal juga orangnya...

Azmi: Kejap saya cari dalam handphone ni. Haa ni gambarnya... Ingatkan masa dia bercuti nanti nak bawa dia jumpa pokcik.

Pokcik: Ooo ini orangnya. Aah. Sefaham pokcik dia sakit pada bahagian kanan. Bahagian kiri tubuhnya ok...

Azmi: Lagi satu. Dia tak boleh tengok cermin. Dia akan sakit dan hampir merasuk. ( Dalam fikiran pokcik, ramai juga pokcik pernah jumpa kes seumpama ini. Saka? Wallahua'lam )

Pokcik: In shaa Allah. 

Tak lama pokcik balik, katanya di anak menelefon Azmi mengatakan bahu sebelah kanannya sudah ok. Dia dah boleh memusingkan kepalanya. Kepalanya pun sudah ringan. Kebetulan sahaja tu. Takkan pokcik tengok sahaja gambarnya jin dah lari. Kan....

Setelah agak lama berada di situ, pokcik menyatakan hasrat untuk pulang. Azmi dan Anis menghantar ke muka pintu. Ketika duduk untuk memakai kasut, pokcik terlihat wajah Anis. Kelihatan Anis terlalu tua berbanding usianya. Oleh sebab hubungan pokcik dan suami isteri itu sangat rapat, pokcik meminta Anis duduk di sebelah pokcik.

Pokcik: Anis, cuba duduk sebelah sekejap. Bukannya nak berubat. Nak check sekejap je. 

Anis: Boleh.

Pokcik meminta izin daripada suami Anis untuk meletakkan hujung satu jari sahaja di belakang Anis. Azmi mengizinkan. Sebaik sahaja pokcik meletakkan hujung jari di atas belakangnya sambil membaca beberapa potong ayat, si Anis terus mendengus dan pengsan di pangkuan pokcik. Jadi kerja pula kali ini. Maklumlah kejadian berlaku di luar rumahnya.

Oleh sebab hanya kami bertiga yang ada ketika itu, pokcik dan Azmi sama-sama mengangkat Anis masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah, pokcik terus berdoa mengusir jin dan berdoa untuk menghapuskan gangguan tersebut seizin Allah. 

Selang beberapa minit Anis pun tersedar. Kepalanya sakit dan dia sendawa tanpa berhenti-henti. Pokcik terus berdoa dan usaha menarik gangguan dan angin. Alhamdulillah Anis berhenti sendawa. Pokcik terus meminta Anis membuat air limau nipis dan dicampurkan sedikit gula.

Alhamdulillah beliau kembali seperti biasa. Akhirnya niat pokcik untuk menziarahi mereka terus bertukar menjadi suatu kejadian yang tidak disangka-sangka. Bab mimpi bidan itu, pendapat pokcik, ia lebih terarah kepada sihir yang dikenakan dan diletakkan di kawasan rumahnya. Wallahua'lam. Sesungguhnya hanya Allah yang Maha Mengetahui. 

Apa pun sebagai umat Islam, jauhilah perbuatan sihir dan khianat serta mensyirikkan Allah. Moga kita semua dilindungi oleh Allah daripada khianat dan bisikan jin dan manusia. Wallahu'alam. Salam hormat.