Saturday 23 July 2022

Wajah Berubah Menjadi Lelaki


Assalamualaikum..


Alhamdulillah kita masih dipanjangkan usia oleh Allah. Sudah lama pokcik tidak menulis atas kekangan masa dan sebagainya. Kali ini pokcik akan kongsikan satu lagi kisah dan semoga kita mendapat manfaat daripada kisah ini.

Kali ini pokcik telah pergi ke Melaka dan menginap di Ibis Hotel selama tiga hari bagi mengikuti mesyuarat pengurusan. Pokcik menaiki kereta sendiri dan ada sebahagian daripada sahabat pokcik menaiki bas yang telah disediakan.

Setibanya di hotel, tiada apa-apa perkara yang menarik berlaku. Pada malam itu kami telah dibawa ke sebuah kedai untuk merasai masakan asam pedas Melaka. Alhamdulillah. Keesokan harinya iaitu pada sebelah pagi bermulalah mesyuarat pengurusan. 

Pada petang harinya pokcik dan sahabat yang lain dibawa ke Bandar Hilir untuk membeli buah tangan untuk dibawa pulang. Dalam perjalanan pulang, tiba-tiba salah seorang sahabat pokcik iaitu Ina (bukan nama sebenar) telah meminta pokcik usahakan salah seorang peserta mesyuarat itu. Katanya sahabatnya iaitu Siti (bukan nama sebenar) sudah lama menderita sakit misteri.

Siti yang kebetulan berada di dalam bas yang sama dan duduk bersebelahan dengan Ina terus mengiyakan apa yang diberitahu oleh sahabatnya itu. Menurut Siti, suaminya menegur wajahnya sering bertukar menjadi hitam. Pelik juga, sebabnya Siti berkulit putih. 

Lama-kelamaan Siti pun sedar akan perubahan yang sering berlaku kepada wajahnya itu apabila dia sendiri melihatnya di cermin. Sejak itu, dia mula ikhtiar dari satu tempat ke tempat yang lain. Rupanya kita sudah mula berubah daripada wajahnya yang asal.

Apabila pokcik mendengar sendiri kisah Siti daripada dia sendiri, pokcik bersetuju untuk ikhtiar dirinya itu. Namun begitu, timbul pula masalah kerana Siti berada di tingkat dua manakala pokcik berada di tingkat empat. Pokcik bimbang sekiranya Siti merasuk, pokcik tidak boleh turun ke tingkatnya kerana kad itu khas untuk tingkat empat.

Pokcik memberitahu Ina agar terus menelefon pokcik dan tunggu di tingkat bawah sekiranya Siti merasuk dan tidak terkawal. Kecoh pula nanti seisi hotel sekiranya berlaku kes kerasukan. Pokcik berjanji akan pergi ke bilik mereka bersama salah seorang sahabat lelaki sekiranya perkara itu berlaku. Pokcik juga berpesan agar Siti dan Ina mengajak dua orang lagi sahabat untuk menemani mereka pada malam itu.

Akhirnya masa yang dijanjikan telah tiba. Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 10 malam. Ina dan Siti ditemani oleh dua orang sahabat mereka yang lain. Alhamdulillah. Kurang-kurang, sekiranya ada perkara yang tidak diingini berlaku, Ina atau pun sahabat mereka yang lain bolehlah bertindak tanpa meninggalkan Siti keseorangan.

Sebelum bermula, Ina dan mesej pokcik memberitahu keadaannya dan sahabat yang lain. Mereka ketakutan katanya. Pokcik meminta mereka duduk berdekatan dan pokcik ikhtiar pagar diri mereka dari jauh. Alhamdulillah selesai satu perkara. Mereka kini lebih berkeyakinan.

Kini tibalah masanya untuk ikhtiar Siti. Pokcik mula berzikir dan menenangkan diri. Setelah berdoa sebentar, pokcik mula membacakan beberapa potong ayat suci Al-Quran. Suasana malam dan pendingin hawa membuatkan keSERAMan lebih terasa. Hihihi... Sedang kusyuk membacakan ayat-ayat suci Al-Quran, tiba-tiba kelihatan dari ekor mata pokcik, lembaga hitam melintas dan lalu di belakang dengan cepat sekali. Pokcik abaikan. Ada kemungkinan,jin di dalam bilik pokcik kepanasan. Maklumlah, mungkin juga bilik pokcik itu sudah lama tiada tetamu... Wallahua'lam.

Semakin pokcik memberi tumpuan dan mengharapkan pertolongan Allah, semakin terasa kerdil dan hina diri ini. Maklumlah, sebagai manusia, kita tidak sunyi daripada melakukan kesalahan namun tetap mengharapkan ehsan kepada Allah. Pokcik meneruskan lagi membacakan ayat-ayat suci Al-Quran serta doa. 

Ketika itu, keadaan di bilik Siti mula berlaku ketegangan. Salah seorang sahabat Ina mula menggigil ketakutan apabila lampu di bilik itu mula bergerak serta berpusing. Lampu bilik mula padam dan tertutup tanpa berhenti-henti. Mereka melihat kepada Siti yang masih duduk berlunjur di situ. Alangkah terkejutnya mereka apabila dilihat wajah Siti sudah berubah menjadi wajah seorang lelaki.

Tiba-tiba, suiz lampu bilik itu ditutup oleh sesuatu. Bilik itu menjadi gelap-gelita. Salah seorang daripada mereka terus mencapai selimut lalu lari keluar dari bilik itu diikuti oleh Ina dan seorang kawannya yang lain. Tinggallah Siti keseorangan di dalam bilik itu. 

Akhirnya barulah pokcik mesej kepada Ina. Barulah lega hati mereka kerana pokcik mengatakan bahawa ikhtiar yang dijalankan baru sahaja selesai. Kini barulah mereka bertiga berani untuk masuk semula ke bilik itu. Mereka terus menekan suiz lampu lalu menghidupkannya. Lampu bilik juga sudah tidak bergerak lagi. Suasana menjadi tenang semula.

Alhamdulillah muka Siti juga sudah berubah seperti sedia kala. Keesokan harinya Siti menemui pokcik lalu mengucapkan terima kasih. Katanya mukanya kembali seperti dahulu dan tidak lagi hitam ketika melihat di cermin. Seperti biasa, pokcik ditanya punca kejadian yang berlaku ke atas dirinya... Seperti biasa juga, pokcik menasihati agar tidak terlalu memikirkan punca kejadian sama ada sihir, saka atau sebagainya tetapi lebih mendekatkan diri kepada Allah.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kita haruslah sentiasa bersangka baik kepada Allah. Ada hikmah di sebalik sesuatu yang berlaku...

"Barangkali kamu membenci sesuatu pada hal ia amat baik bagimu, dan barangkali kamu menyukai sesuatu pada hal ia amat buruk bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 216)


Salam hormat...