Friday 6 May 2022

MENJEMPUT PENDAMPING

 Assalamualaikum

Apa khabar semua? Masih di kampung agaknya. Beraya di mana agaknya. Tahun ini pokcik beraya di Johor. Agak lama juga pokcik tidak menulis. Maklumlah faktor usia. Mata pun dah kelabu.


Kisah ini berlaku tiga hari lepas. Pokcik sampai di Pekan (rumah ibu saudara) lebih kurang pukul 9.30 malam. Usai solat Isya', orang rumah pokcik meminta pokcik ke rumah bapa saudaranya yang terletak berhampiran dengan rumah ibu saudara pokcik. Pokcik sudah tahu apa yang dimaksudkan kerana lebih kurang sebulan lalu pokcik dihubungi oleh bapa saudara isteri pokcik itu...


Tanpa berlengah lagi pokcik terus ke rumahnya. Kelihatan ahli keluarga sedang berkumpul di luar rumahnya sedang berbual. Pokcik bersalaman dengan bapa saudara orang rumah pokcik lalu bertanya keadaan orang rumahnya. Tanpa melengahkan masa pokcik terus dibawa ke biliknya. Kelihatan si isteri sedang terbaring lesu. Badannya yang dahulu gempal kini hanya dibaluti kulit yang nipis dan kekurangan isi.


Pokcik sempat berbual seketika dengannya untuk bertanya keadaannya. 


Pokcik: Macam mana keadaan?

Mak Teh: Macam inilah. Lama dah tak boleh jalan. Terbaring sahaja. Malam tak boleh nak tidur. Badan terasa sejuk. Runsing.


Pokcik: Sabarlah. Berubat orang cakap macam mana?

Mak Teh: Kena santau angin. Nak makan pun tak boleh. Muntah. Nak balik ke rumah di Kuantan lagi tak boleh. 


Pokcik: Tak apalah. Ini semua ujian. Sabarlah. Bertenang dan zikirlah di dalam hati. Saya akan cuba usahakan.


Sebenarnya, pokcik sudah merasakan ada sesuatu di dalam bilik itu semenjak pokcik sampai lagi. Namun pokcik abaikan sahaja. Maklumlah, nak bercerita tentang jin itu hanya menambah besar kepala mereka. Pokcik terus bersedia memulakan langkah pertama.


Pokcik terus ikhtiar mengunci dan memagar Mak Teh (bukan nama sebenar). Dia kelihatan tenang. Lebih kurang lima minit ruqyah, kedengaran ada seseorang sedang muntah di luar rumahnya. Ternyata anak saudaranya yang bertandang ke rumahnya sedang muntah teruk di luar rumah. Bapa saudara yang turut berada di dalam bilik bersama pokcik terus meluru ke luar bilik untuk melihat keadaan anak saudaranya itu. Tinggallah pokcik bersama dengan ibu saudara di dalam bilik buat seketika.


Mak Teh kelihatan gelisah dan mula sendawa angin. Kakinya mula bergerak ke kiri dan ke kanan. Tak lama kemudian masuklah anak saudaranya itu ke dalam bilik. Dia duduk seketika lalu keluar semula kerana tidak tahan melihat muka ibu saudaranya yang berubah menjadi seorang perempuan tua. 


Lebih kurang dua puluh lima minit, semuanya kembali tenang. Bapa saudara pokcik masuk semula ke dalam bilik. Alhamdulillah selesai segala urusan seizin-Nya. Bapa saudara pokcik memberitahu bahawa si Anis muntah dan berat di bahagian bahunya. Anis yang tadi keluar dari bilik dipanggil semula masuk ke situ.


Anis: Berat bahu saya ni.

Pokcik: Nak saya usahakan bagi ringan?


Anis: Nak.

Pokcik: Baiklah.


Pokcik terus bangun dan sengaja letakkan sedikit hujung jari di belakang bahunya seketika.Adoiiiii sakitlah, jerit Anis dengan kuat sekali.


Pokcik senyum lalu terus mengalihkan jari. Pokcik terus menarik jin yang bertenggek di bahunya.


Pokcik: Macam mana?

Anis: Ringan dah. 


Pokcik: Kenapa keluar dari bilik tadi. ( Pokcik sengaja mencungkil rahsia)

Anis: Saya tengok rupa Mak Teh berubah. Buruk sangat. Saya tak tahan.


Pokcik: Kebiasaannya hanya jin melihat jin.

Anis: Maksudnya?


Pokcik: Ada jin berdamping dengan Anis. Anis melihat dari sudut pandangannya. Maksudnya ada dua ekor jin. Pada Mak Teh dan pada Anis.

Anis: Oohhh. Lama dah saya tengok jin. Saya dulu memang sakit. Pak Abu dan Pak Njang pernah merawat saya.


Pokcik: Nak saya tutupkan pandangan dan ikhtiar buang pendamping yang ada pada Anis?

Anis: Tak mahulah. Lama dah dia bersama dengan saya. Nanti tak nampaklah jin. Sekarang ini saya selalu nampak. Tapinya tak mengganggu hidup saya. Pernah juga pendamping ini datang berjumpa dengan saya. Dia datang bersama dengan angin yang kuat. Saya bukalah pintu mengalu-alukan kedatangan dia. Hihi...


Pokcik: Kalau dah macam tu tak boleh nak kata apalah. Terpulanglah.


Pokcik kemudiannya memanggil pendampingnya itu untuk kepastian. Sebaik sahaja pokcik mengangkat tangan ke atas, Anis mula sendawa kembali. Nak muntah katanya. Pokcik terus memberhentikan tindakan pokcik itu. Ternyata memang pendampingnya datang kembali mengadap pokcik.


Anis: Haaa tenang dah. Dia dah tak ada. Malam ini pasti dia akan datang menegur Anis. Pokcik bunuh dia ke tadi? Sakit betul Anis masa jari pokcik diletakkan di bahu Anis. Rasa macam kena tikam.

Pokcik: Taklah. Tapi elok juga dia lari cepat. Hihi.


Akhirnya pokcik, bapa saudara dan Anis keluar bilik. Kami berbual seketika. 


Pokcik: Cuba Anis pergi tengok Mak Teh. Dah tidur agaknya.

Anis: Baiklah...


Tak lama kemudian Anis pun keluar. 


Anis: Mak Teh dah tidur nyenyak.

Pokcik: Alhamdulillah. In shaa Allah.


Setelah itu pokcik terus balik ke rumah ibu saudara pokcik. Keesokan harinya pokcik terus ke rumah bapa saudara untuk melihat keadaan Mak Teh. Kelihatan ramai orang bertandang dan sedang berbual. Salah seorangnya ialah Mak Teh yang sedang berbual ruang. Alhamdulillah Mak Teh sudah boleh berjalan. Dia juga sudah boleh makan

seperti sedia kala. Pokcik berbual seketika lalu meminta diri kerana ingin meneruskan perjalanan.


Sekian kisah pada kali ini. Kesimpulannya jauhi perbuatan syirik dan salah satunya SIHIR. Selain itu, tiada guna berdamping dengan jin. Sebaik-baik penolong hanya Allah. Moga berjumpa lagi. Salam hormat.