Friday 12 February 2021

JIN DI DALAM BILIK

 Assalamualaikum 


Alhamdulillah dipertemukan kembali pada hari Jumaat yang penuh dengan barakah ini. Agak lama juga pokcik tak membuat posting kisah mistik. Namun apabila tadi ditanya oleh seorang sahabat, tiba-tiba terbukalah hati pokcik untuk berkongsi pengalaman pokcik dalam beberapa hari ini. Kisah lain mungkin akan pokcik kongsikan sekiranya ada kelapangan. 


Malam tadi pokcik ke rumah sahabat untuk berbual. Tak ada tujuan khusus sebenarnya. Namun, sebelum berangkat pulang pokcik sempat bertanya tentang keanehan yang berlaku di rumahnya itu. Bukan apa, pokcik berasa ada sesuatu yang tak kena di dalam rumahnya itu. Sebaik sahaja pokcik mula berbicara tentang hal tersebut, barulah sahabat pokcik mula bersuara. 


Pokcik: Rasanya ada sesuatu yang tak kena di dalam rumah ini. Ada apa-apa yang pelik berlaku? 

Zamri: Nasi dan makanan di rumah ini cepat basi. Tapinya sekarang ini boleh tahan lagi. Dulu lagi teruk. 


Pokcik: Boleh tak saya cuba scan? 

Zamri: Silakan


Pokcik pun bukannya tahu sangat. Buat-buat macam pandai sahajalah. Sesekali geleng kepala sekali menganggukkan kepala nak bagi nampak lebih real. Hahahahaha... Jangan marah. Gurau sahaja... 


Pokcik dapat rasa kehadiran entiti di dalam bilik tidurnya dan di atas bumbung rumah. 


Pokcik: Tak rasa apa-apa ke semasa berada dalam bilik tidur? 

Zamri: Rasa letih dan malas kalau masuk ke bilik. Kalau keluar dari bilik, ok sahaja. 


Pokcik: Ada sesuatu di dalam bilik itu. Cuba dapatkan sebiji limau. 

Zamri: Baiklah. 


Sahabat pokcik kemudiannya keluar dari rumah lalu tak lama kemudian ada sebiji limau dalam genggamannya. Apabila sudah mendapat limau tersebut pokcik terus berdoa. Alhamdulillah Allah permudahkan. Setelah itu pokcik scan sekali lagi. Rupa-rupanya ada seekor lagi yang bertenggek di belakang tengkuk sahabat pokcik itu. 


Pokcik: Ada apa di belakang leher awak tu? 

Zamri: Entahlah. Saya ingatkan sakit disebabkan darah tinggi. Makan ubat pun sakit tak hilang. 


Pokcik: Mari sini pokcik tengok 

Zamri: Baiklah 


Zamri terus duduk membelakangkan pokcik. Tanpa banyak bicara pokcik terus berdoa dan menarik gangguan itu. Alhamdulillah Allah permudahkan. Hilang serta-merta sakit di belakang tengkuknya dengan izin Allah. 


Untuk pengetahuan semua, dua tiga hari lepas pokcik ada dihubungi oleh seorang rakan lama. Menurut beliau, adiknya berasa seram apabila berada di rumahnya. Kalau dah seram duduk di rumah sendiri tak munasabah kalau nak tumpang tidur di rumah orang lain. Rumah sendiri ada takkan nak tidur di rumah jiran. 


Posting kali ini pokcik sertakan rumah adiknya itu yang terletak di Shah Alam. Zaman PKP ini mungkin sukar baginya untuk mendapatkan khidmat perawat, jadinya pokcik sebagai PELAWAT  yang dihubungi oleh sahabat lama pokcik itu. 


Apabila melihat gambar itu, pokcik dapat rasakan ada sesuatu di bahagian kiri tembok pintu pagar dan di atas atap porch rumahnya itu. Entah apa makhluk yang ditinggalkan di situ sama ada sihir atau sebagainya, wallahua'lam. Sempatlah pokcik doakan dari jarak jauh pula kali ini. 


Alhamdulillah Allah permudahkan. Pada pukul 11.00 tadi pokcik sempat menghubungi sahabat lama pokcik itu. 


Pokcik: Assalamualaikum 

Mona: Waalaikumussalam 


Pokcik: Haaa apa cerita rumah yang saya usahakan baru ini. 

Mona: Ooooo. Memang pelik rumah tu baru-baru ini. Adik saya takut nak balik. Meremang katanya. 


Pokcik: Pastu 

Mona: Dia bela ikan puyu dua ekor. Semuanya mati. Lepas tu bela empat ekor. Mati juga. Kini bela tiga ekor. Alhamdulillah hidup sampai sekarang. 


Pokcik: Saya dapat kesan sesuatu di sebelah kiri pintu pagar dan atas atap porch. Tak jumpa ke duit syiling dan sebagainya? 

Mona: Dia berbau busuk di kawasan porch. Tahu tahu busuk tu datang dari mana. Jirannya juga memberitahu adik bahawa mereka selalu mendengar orang berlari di atas atap. 


Pokcik: Kucing kot. Hihihi... 

Mona: Dia memang ada bela empat ekor kucing tetapi tak memanjat ke bumbung. Duit syiling dia tak pernah jumpa. 


Pokcik: Kalau tak pernah jumpa tak apalah. Saya bimbang diletakkan syiling dan sebagainya. Berhati-hati sahajalah. Macam mana dia sekarang? 

Mona: Terima kasih atas pesanan. Alhamdulillah dah tak meremang semasa balik ke rumahnya. Bau busuk pun dah hilang. Dia baru sahaja balik ke rumahnya di Shah Alam. Sebelum lupa, nak bagi berapa kepada pokcik ini? 


Pokcik: Tak apalah. Sedekahlah pisang ke masjid atau surau. 

Mona: Terima kasih. Entah macam mana nak balas budi pokcik. 


Pokcik: Biarlah Allah membalasnya. Assalamualaikum 

Mona: Waalaikumussalam 


Begitulah dua kisah yang pokcik kongsikan. Tak kisahlah bab sihir atau sebagainya. Sebagai orang Islam yang beriman, jauhilah perkara syirik, dekatkan diri kepada Allah dan berbuat baiklah sesama makhluk. Mohonlah dan merayulah kepada Allah apabila ditimpa musibah kerana sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Kepada Allah juga kita memohon petunjuk dan pertolongan. Moga berjumpa lagi. Mohon maaf andai ada tersalah bahasa dan kurang adabnya. Sesungguhnya kita hanyalah hamba Allah yang tak lekat dari salah dan silap. Salam hormat.